Dupahang’s Weblog

Apabila Sultan akui budaya kini tidak selari ajaran Islam

31 Disember 2008 · Tinggalkan Komen

Oleh PUTERA SEMANTAN

Selama ini kita sering dibuai dan didendangkan dengan lagu (propaganda) kononnya Malaysia adalah sebuah negara Islam. Begitu rakus dan bernafsunya pihak pemerintah untuk melabelkan negara ini sebagai negara Islam, demi untuk itu kadang-kadang ulamak dari Timur Tengah dibawa untuk mengiya dan membenarkan bahawa Malaysia sesungguhnya negara Islam.

Apabila disebut negara Islam, sudah tentu di dalamnya berjalan sistem yang mengikut Al-Quran dan rakyatnya berada dalam aman dan tanpa sebarang ketakutan kerana penduduknya berpekerti mulia.

Rujukan kepada negara Islam ialah sebutan dalam Al-Quran “baldatun thaiyyibatun wa robbun ghafur”.

Sudah lama minda rakyat dipaksa agar menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam, apatah lagi hujah propagandis Umno, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi.

Demi menghadapi PAS, pernah satu ketika Umno menguar-uarkan dirinya sendiri sebagai parti Islam ketiga terbesar di dunia dan Malaysia adalah negara Islam contoh.

Hampir 30 tahun yang lalu Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamed telah memperkenalkan dasar “Penerapan nilai-nilai Islam”. Ketika itu bergegas dan berduyunlah ulamak kerajaan dan ulamak pengampu berkempen dan berhujah merata ceruk merasionalkan Islam perspektif Dr M itu.

Apabila bertakhta sahaja Perdana Menteri sekarang pada penghujung 2003, Pak Lah terus mencanangkan Islam Hadhari. Ia ditambah lagi beberapa istilah islamik seperti nilai-nilai murni dan modal insan. Jentera gerak saraf parti itu pun bekerja keras bertungkus lumus mempsikokannya kepada masyarakat.

Kita hampir pasti apabila Najib mengetuai kerajaan nanti, beliau juga akan mengisytiharkan dasar Islamnya yang tersendiri. Kerana semua orang tahu, dengan memainkan sentimen Islam, Umno akan mendapat kredit dan political milleage daripada pengundi-pengundi Melayu.

Persoalan yang penulis mahu bangkitkan di sini, setelah beberapa tahun dicanang dan diperecerkan pelbagai slogan Islam itu, setelah jutaan wang ringgit rakyat dicurahkan demi mengisi program-program Islam ciptaan Umno, apa buah hasilnya? Ke mana halanya rakyat Malaysia masa kini? Adakah rakyat negara ini terutamanya orang Melayu makin kuat Islamnya?

Adakah masyarakat kini lebih baik akhlak dan budayanya (kerana Islam itu sinonim dengan akhlak yang mulai)?

Bagi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, baginda telah melahirkan kebimbangan apabila terlalu banyak budaya yang tidak selari dengan ajaran Islam menjalar dan berakar umbi di kalangan umat Islam masa kini.

Titah baginda itu sebahagiannya tersiar dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Disember (Selasa) di bawah tajuk ‘Budaya kini tidak selari ajaran Islam: Sultan’

Baginda bertitah, masalah ini (budaya songsang dalam masyarakat) membawa kepada keruntuhan pegangan akidah di kalangan masyarakat sekali gus melemahkan kekuatan umat Islam di negara ini.

“Walau pun negara ini tidak berhadapan secara langsung dengan ancaman musuh namun keruntuhan pegangan akidah, keruntuhan budaya dan sistem nilai masyarakat sangat membimbangkan,” titahnya.

Teks ucapan baginda itu dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakub pada majlis Sempena Sambutan Maal Hijrah 1430 Hijrah / 2008 Masihi Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Titahnya, masalah remaja seperti merempit di jalanan, pengkid, ancaman gejala murtad, isu serangan pemikiran liberalisme, pluralisme, feminisme adalah gejala yang belum ada noktah penyelesaian.

Demikianlah antara titah Sultan. Titah Baginda Sultan itu tidak disiarkan oleh lain-lain akhbar arus perdana, meski pun isinya sangat penting.

Apa yang dimusykilkan apakah kesan yang didapati hasil program-program keagamaan yang telah diwacana dan dilaksanakan mengikut acuan Umno selama ini. Apa faedahnya setelah wang negara dicurahkan bertimbun-timbun tetapi hasilnya nihil, lompang dan kosong?

Semakin banyak pimpinan negara dari Umno berkempen dan mempropagandakan Islam mengikut acuan mereka, semakin banyak pula timbul kesan negatif. Ini terbukti dengan beberapa statistik rasmi.

Antaranya:
• 1.12 juta penagih dadah berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini.

Rujukan : Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, sejak 1988 seramai 279,907 bilangan penagih direkodkan, setiap satu perlu diganda empat, anggaran bilangan penagih sebenar.

• 8% daripada 4.6 juta perokok di negara ini adalah terdiri daripada golongan remaja, manakala 14 peratus remaja di dunia pula merokok.

Rujukan : Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Datuk Profesor Ir. Ismail Hassan berkata, statistik itu juga menunjukkan 50 hingga 60 perokok baru setiap hari, terdiri daripada remaja di negara ini.

• Purata 6 orang bunuh diri setiap hari, 2500 orang setiap tahun dan 50,000 kes cuba bunuh diri setiap tahun.

Rujukan : TERAS Pengupayaan Melayu. Apakah ini memberi gambaran bahawa negara ini sedang berhadapan dengan ramai rakyat yang tidak stabil jiwanya. Mengikut pakar psikologi, sememangnya sakit jiwa dan mental di negara ini bagaikan bom jangka.

• 588 kes bunuh bagi tahun 2007 manakala bagi tahun 2008 sehingga bulan Jun sahaja sudah mencecah 319 kes

Rujukan : Menurut statistik yang dikeluarkan oleh PDRM – ini bermakna setiap hari hampir 2 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa bunuh

• 80,938 orang yang dijangkiti HIV sehingga penghujung 2007, terdapat sementara untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, terdapat 1,766 kes baru, menjadikan bilangan orang yang hidup dengan HIV di negara ini melonjak kepada 82,704.

Rujukan : Berdasarkan perangkaan Kementerian Kesihatan, angka tersebut adalah yang tertinggi iaitu 28.5 peratus bagi setiap 100,000 orang tetapi ianya kini menurun kepada 16.7:100,000 pada 2007. Perangkaan orang yang hidup dengan HIV (OHH) di negara ini dijangka meningkat kepada kira-kira 300,000 menjelang 2015 seandainya tidak ada usaha konkrit untuk membendung penyebaran HIV dan Aids.

• Jumlah keseluruhan kes jenayah ragut ialah 6,215 kes, rompak (13,075 kes) dan 330 kes bunuh. Mengikut statistik polis, sebanyak 9,551 kes ragut, rompak (21,419 kes), bunuh (604 kes) dikesan sepanjang 2006, manakala 9,617 kes ragut, rompak (15,409 kes) dan 497 kes bunuh pada 2005.

Rujukan : Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow, Berita Harian 25 Oktober 2007

• Terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran anak luar nikah didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Rujukan : Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat! Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Semua ini dikutip daripada tulisan pemerhati sosial Nur Mutiara.

Bukan itu sahaja, menurut statistik Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) jenayah khalwat di Pahang sahaja begitu mendadak meningkat dari tahun-tahun 2001 hingga 2007. Jumlah kes 2001 ialah 108. 2002 (194), 2003 (215). 2004 (242). 2005 (285). 2006 (316). 2007 (712). Sebahagiannya ditangkap semasa program Jom Heboh di Kuantan.

Jangan ditanya dari mana penulis dapat maklumat ini, tetapi ianya nyata dan saheh.

Kepada umat Islam negara ini, berfikirlah secara rasional bukan emosional. Apakah selepas ini kita mahu mengekalkan Umno/BN menjaga agama kita setelah terbukti kegagalan mereka?

Jika di zaman dua perdana menteri ini sahaja pun keadaan masyarakat dan kebobrokan sosial dan akhlaknya begitu meruncing dan kritikal, apakah kita mengharapkan zaman Najib (yang sering kali dipertikaikan akhlaknya) Islam di negara ini semakin baik?

Lihatlah ke dalam diri Umno itu sendiri, bagaimana feel perangai mereka menggunakan duit untuk merebut jawatan. Islam Hadari-kah itu?

Tepuk dada tanya iman… ingatlah, ini masa untuk berubah!

Kategori: BERITA PAHANG

0 responses so far ↓

  • Tidak ada komen buat masa ini...Sila isikan borang dibawah ini.

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.