RSS

Generasi kedua Felda kecewa projek perumahan dibatal

03 Mei

BANDAR JENGKA: Keperluan perumahan untuk anak-anak peneroka atau lebih popular dengan panggilan generasi kedua Felda sememangnya begitu mendesak, jadi tidak hairanlah isu strategik itu sering menjadi ‘janji pilihan raya’ sehingga memenangkan parti pemerintah.

Umpamanya, menjelang pilihan raya umum (PRU) 2008 lalu, generasi kedua Felda sekitar Gugusan Jengka telah dijanjikan dengan perumahan. Janji itu telah diucapkan sendiri oleh menteri yang menjaga hal ehwal Felda Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Tiga projek perumahan yang diumumkan Najib itu ialah di Felda Melati Jengka 11 sebanyak 240 buah dan Felda Siantan Jengka 19 (300) selain di Felda Triang 3 (300) di Gugusan Bera.

Beberapa hari sebelum PRU 12 itu, calon BN Dewan Undangan Negeri (Dun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail sekali lagi mengisytiharkan projek perumahan generasi kedua di Jengka 11 itu dengan mengatakan ia termasuk dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Felda memperuntukkan RM16 juta untuk tujuan itu.

Bagi menyokong tawaran tersebut, sebidang tanah seluas 8.1 hektar (20 ekar) di persimpangan masuk ke Felda Jengka 11 telah disodok dan diratakan bagi pembinaan rumah yang berharga antara RM35,000 hingga RM58,000 setiap satu mengikut jenis rumah. Difahamkan kira-kira 2,000 generasi kedua sekitar Jengka telah memohonnya.

Setelah lebih setahun generasi kedua menunggu, baru-baru ini exco kerajaan negeri Pahang Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak telah menjelaskan bahawa perumahan kawasan tersebut dibatalkan berikutan dikatakan tidak sesuai kerana terdapat saliran air bawah tanah di kawasan tersebut.

Pengumuman pembatalan projek tersebut sudah tentu menimbulkan pelbagai reaksi generasi kedua yang ‘putih mata’ tidak dapat memiliki rumah, namun tetap tidak berpuas hati kerana seolah-olah dipermainkan.

SidangOnline ketika dibawa melawat ke tapak projek perumahan di Jengka 11 yang telah disodok setahun lalu itu mendapati kawasannya sudah dipenuhi semak samun.

Seorang anak peneroka Jengka 11 yang ditemui, Siti Salwa Gusti Hasan, 31, yang sudah berkeluarga tetapi masih tinggal dengan ibu bapa melahirkan rasa kecewa dan berharap perumahan untuk generasi kedua Felda tetap dibina juga walaupun berpindah ke tapak kawasan lain.

“Saya antara anak peneroka yang isi borang masa pilihan raya dulu. Bukan saya saja, bila diumumkan nak bina perumahan untuk generasi kedua, ramai anak peneroka yang tinggal di luar balik semata-mata untuk isi borang. Tok-tok tak jadi, tentulah kami rasa terkilan sangat”.

“Rumah merupakan keperluan asas kepada yang sudah berkeluarga. Cuba bayangkan dalam sesebuah rumah peneroka sekarang ini ada yang sampai empat ke lima keluarga. Memang tak bagus… dah duduk satu bumbung begitu pasti timbul banyak masalah”.

“Macam saya pulak berniaga. Bila nak buat pinjaman Amanah Ikhtiar antara syaratnya kena ada kediaman sendiri. Jadi susahlah. Sebab itu saya harap perumahan ini dibina juga walau berpindah tempat. Kalau susah sangat, bagi saja anak peneroka lot kosong yang banyak di Felda ini supaya kami boleh buat rumah sendiri,” ujar Siti.

Bagi Arifin Shamsuddin, 37, yang juga dari Jengka 11, beliau lebih suka jika Felda menjual tapak perumahan dalam bentuk lot kepada generasi kedua. Katanya untuk pembelian rumah itu mereka tidak mampu membeli tunai jadi terpaksa membuat pinjaman bank yang memerlukan slip gaji. Senagkan bagi mereka yang bekeja sendiri tidak memiliki slip gaji.

Cara tersebut dipersetujui oleh seorang lagi anak peneroka, Aris Fezul Ismail yang lebih cenderung jika kawasan itu dijual mengikut lot-lot sahaja kerana mereka boleh membina rumah secara beransur-ansur.

“Kalau cara jual rumah seperti ini Felda seolah-olah mengambil kesempatan untuk berniaga dengan anak peneroka. Sedangkan Felda dah untung berbilion ringgit setahun hasil titik peluh peneroka. Jadi kenapa nak berniaga lagi, tidak adakah sedikit kebajikan?”.

“Anak-anak peneroka yang memerlukan sangat rumah ini kebanyakannya sudah berkeluarga yang menyewa sekitar Jengka atau masih tinggal dengan ibu bapa di tanah rancangan. Mereka inilah yang membantu ibu bapa mereka menguruskan ladang. Jadi mereka inilah sebenarnya yang membangunkan ekonomi Felda selama ini, sebab itu mereka sepatutnya diberi keutamaan”.

“Memang mereka tidak ada slip gaji, tapi bayangkan jika perumahan yang dimaksudkan dibuka kepada anak-anak peneroka yang bekerja makan gaji di Kuala Lumpur atau mana saja. Betul kerana ada duit mereka boleh beli rumah tapi rumah itu akan tinggal… dan inilah yang terjadi kepada perumahan di Mempaga Jaya”.

Seorang lagi generasi kedua Felda, Rusdi Ismail, 38, berkata merekalah selama ini yang menggiatkan ekonomi Felda dengan bertungkus lumus di ladang setiap hari tapi sehingga kini masih terpaksa tinggal dengan ibu bapa kerana ketiadaan rumah.

“Sebenarnya kami generasi kedua ini dah banyak kali dipermainkan orang politik untuk mendapatkan rumah. Perumahan generasi kedua dah jadi umpan politik setiap kali pilihan raya,” katanya.

Seorang ahli Pemuda Umno Jengka 15, Abd Wahab Mat Rahim, 38, berkata dulu wakil rakyat berjanji jika BN menang kami generasi kedua akan diberi peluang membeli rumah yang akan disediakan Felda.

“Puas saya bergelumang dengan parti untuk masa depan saya dan keluarga. Masa nak guna kami tengah malam pun saya sanggup bekerja untuk parti. Sampai masa saya dengar-dengar projek perumahan di Jengka 11 itu batal, mana tak kecewa. Sekarang saya masih menyewa di Jengka 16,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah.

Engku Amizahar Engku Mohamed, 32, anak peneroka Jengka 15 berkata sebagai manusia dan sudah berkeluarga, memang kehendak utamanya ialah rumah kediaman.

“Bukan itu sahaja, kerja-kerja dan peluang-peluang yang ada dalam tanah rancangan ini tidak diberi keutamaan kepada anak peneroka. Kami sedih dan kecewa dengan keadaan ini”.

Sementara itu Suhaimi Hamid, 40, melihat bukan sahaja isu perumahan yang menjadi masalah kritikal kepada generasi kedua Felda, tetapi juga peluang-peluang untuk mendapat tanah rancangan seperti ibu bapa mereka.

“Banyak lot-lot kosong dalam tanah rancangan Felda tetapi diberi kepada syarikat Felda Plantation. Jadi generasi kedua macam kami yang ramai adik beradik ini jadi susah”.

“Ibu bapa dah tua, bila anak-anak keluar dari Felda cari rezeki ladang tidak ada orang yang menjaga. Mulalah dikerjakan oleh buruh asing. Mereka ini yang akhirnya membawa banyak masalah sosial seperti yang berlaku di Jengka sekarang,” katanya.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 3 Mei 2009 in ISU FELDA

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 33 other followers

%d bloggers like this: