Oleh KHAIRIL ABDUL RAHIM
TEMERLOH: Pahang kehilangan sebutir permata apabila tokoh budaya, tokoh belia, pejuang bahasa, penulis dan guru politik terkenal negeri ini, Saiyed Ahmad Saiyed Abdullah, 81, (gambar) kembali ke rahmatullah kira-kira jam 11.15 pagi pada 7 Julai lalu.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Wosto Tanjung Besar, Paya Pulai selepas waktu Asar dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran. Beliau meninggalkan seorang balu, Siti Halimah Syeikh Said serta lima orang cahaya mata.
Menziarahi jenazah beliau ialah Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad, Exco Kerajaan Pahang, Mohd Sharkar Shamsuddin, Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Rahim Bakar dan Suhaimi Said. Sementara tokoh bahasa dan penulis yang kelihatan pula ialah Profesor Zainal Abidin Borhan, Dr. Mansor Abdullah, sasterawan Daeng Ramli Akil, Ami Masra, Nazri Sham. L.Man Kadir Shamsi dan ramai lagi.
Allahyarham gigih memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu, juga aktif dalam Pergerakan Belia MAYC peringkat Kebangsaan dan pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Belia Pahang. Allahyarham juga dianggap ‘guru’ dalam politik kepada generasi baru terkenal di kalangan penduduk tempatan dengan panggilan “abah”, sepanjang hidupnya penuh dengan cerita perjuangan.
Abah memulakan kerjaya sebagai guru dengan menjadi guru pelatih pada 1 April 1946 di Sekolah Melayu Kampung Pasir Panjang, Pekan selama dua tahun sebelum melanjutkan pengajian ke Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (SITC).
Semasa menuntut di SITC abah bergaul rapat dengan sastrawan ASAS ’50 seperti Suratman Markasan, Masuri S.N. dan Mohd Ariff Ahmad dari Singapura. Dari situlah bakat penulisannya terserlah melalui penulisan cerpen dan puisi.
Tema-tema penulisan Sahmad dianggap sentiasa “menggemparkan” kerana menjurus kepada isu kemasyarakatan dan ketidakadilan serta hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan. “Bukit Tinggi” dan “Janda Baik” pernah menggegarkan persada sastera tanah air kerana menentang ura-ura Kerajaan Persekutuan mengambil kedua-dua kawasan tersebut daripada kerajaan negeri.
Kerjaya politiknya pula bermula sebaik pulang dari SITC pada tahun 1950 dengan beliau terus menyertai Umno dan dilantik sebagai Ketua Pemuda. Ketika itu berusia 22 tahun dan mengajar di sekolah Melayu. Pada tahun 1955 Ketua Umno Pekan Datuk Mohamad Jusoh (bekas Menteri Besar Pahang) ketika itu telah melantik beliau menjadi Setiausaha pilihan raya membantu Abdul Rahman Talib (bekas Menteri Pelajaran) yang bertanding kerusi parlimen.
Pada Mesyuarat Agung Umno Pekan tahun 1959 pergerakan pemuda telah membuat tiga usul. Pertama kerajaan digesa mengambil balik lombong Sungai Lembing yang melibatkan ribuan ekar tanah daripada penjajah dan diserahkan kepada kerajaan negeri. Kedua meminta dalam perlembagaan Umno disebutkan kedaulatan sultan sahaja dan bukan kedulatan raja-raja. Dan ketiga kerajaan tidak menarik balik kerakyatan Ibrahim Yaakob yang ketika itu berada di Indonesia.
Usul tersebut telah ditolak oleh Umno Pekan sehingga menyebabkan semua AJK Pemuda yang diketuai Syed Ahmad bertindak melepaskan semua jawatan dalam Umno dan keluar parti lalu menyertai Front Sosialis kerana mengkagumi Ishak Mohamed (Pak Sako).
Bagaimanapun abah terpaksa membayar harga yang mahal kerana sebaik meninggalkan Umno beliau terpaksa berpindah randah. Mula-mula ditukarkan ke Sungai Lembing dan selepas itu pada 1962 ditukarkan ke Tanjung Batu, Nenasi. Selepas itu ke Ulu Tembeling (1964-65), Kampung Bantal (1966-69), Beserah (1970-74), Tanjung Perang, Maran (1975- 80) dan Temerloh (1980 – 85) sebelum bersara.
Difailkan dalam: BERITA PAHANG






















