Kepimpinan: PAS wajar gerakkan jentera memperjelaskan isu

d2cfa820f258e5a88f1466b7e60eb419Tahun 2008 adalah Pilihanraya Umum (PRU) ke 12, Pakatan pembangkang yang menggelarkan nama mereka dalam 1 Pakatan iaitu Pakatan Rakyat (PR), megah dan gagah menawan 5 buah negeri.

Sama ada dirancang, atau terancang atau terduga atau luar dugaan itu adalah kemenangan yang wajar diterima dan diurus, kerana selama hari ini pun itulah matlamat akhir dan kehendak mereka.

Maka uruslah mereka. Negeri Kelantan mendahului negeri terawal di tangan PAS lebih 19 tahun mampu bertahan. 4 buah negeri Kedah, P Pinang, Perak dan Selangor adalah 4 buah negeri yang baru dimenangi melalui PRU ke 12 yang lepas.

Penulis ingin menfokuskan tentang apa yang berlaku sekarang dalam parti PAS, iaitu jemaah yang dicemburui dan diperhatikan dengan penuh minat oleh semua. Parti Alternatif ( walaupun istilah parti alternatif  UMNO enggan digunakan oleh rakan penulis. Beliau lebih suka parti pilihan ).
Semalam penulis mengembara untuk menziarah bapa saudara yang bakal menunaikan fardu haji kali ini. Pemilihan jemaah ke Mekah kali ini satu hal yang menarik juga jika mahu diperbahasakan.

Berbalik dengan isu PAS diperhatikan, penulis berkesempatan bertemu dengan beberapa orang ahli-ahli PAS, malah dalam ramai yang ditemui semua bercakap tentang apa yang berlaku ‘kini’ dalam PAS. Rata-rata mahukan penjelasan yang sebenar-benar daripada penulis tentang apa yang berlaku kini.

Terasa penulis ‘megah’ diri kerana memperjelaskan tentang apa yang berlaku, tetapi dalam hati apa yang penulis perjelaskan itu adalah daripada persepsi diri penulis, bukan duduk pendirian sikap PAS yang sebenar, malah PAS juga kini bermazhab-mazhab yang mana masing-masing pemimpin mentafsir dan memberikan pandangan berdasarkan pendirian dan fahaman masing-masing. Itulah sebabnya orang bawahan dan orang awam menerima tafsiran yang pelbagai.

Di peringkat negeri, kawasan mahupun cawangan Pas telah dilihat mula berpuak-puak, geng aku, geng si anu, keputusan yang telah dibuat oleh mesyuarat boleh saja diubah lantaran desakan  dan ia adalah geng aku.

Bila datang tahun pemilihan mereka akan mencatur kepimpinan di peringkat kawasan-kawasan agar selari dengan kehendak dan kumpulan mereka, mereka sanggup tinggal beratusan kilometer dan memegang jawatan di kawasan bukan tempat tinggal mereka kerana beralasan kawasan tersebut tiada calon kepimpinan yang baik, maka berlakulah penipuan dalam pemilihan peringkat kawasan demi menaikkan kumpulan mereka, kesan dan akibatnya PAS lesu di sana sini, program PAS ala kadar hanya sekadar buat jangan tak buat.

Kejujuran, keikhlasan bukan lagi menjadi daya ukur, mereka yang bermasalah dari segi moral tidak lagi menjadi perkiraan asalkan  dari kumpulan yang sama , bermazhab-mazhab dan mengwujudkan kumpulan di dalam parti  di semua peringkat amat merbahaya , sikap yang begini wajib dikikis sebelum pengundi menolak PAS pada PRU ke 13 nanti.

Sikap ego setengah pemimpin dan wakil rakyat (YB) amatlah tidak disenangi pengundi malah petugas-petugas parti merasa tidak selesa dengan tindakan sedemikian, perubahan dalam sudut penampilan YB kepada penampilan elit, bergaya, membina rumah tersergam indah, kereta menjalar besar, pakaian berjenama mewah ianya merupakan racun-racun halus menghambat sokongan pengundi untuk PRU akan datang.

Sedarlah sebelum terlambat marilah kita hiasi amanah yang digalas di bahu kita dengan penuh kejujuran, jujur terhadap diri kita, jujur terhadap ahli parti kita, marilah kita baiki sebelum terlambat, hidupkan kembali ukhuwah di kalangan kita yang tercalar akibat adanya mazhab-mazhab, adanya kumpulan kumpulan didalam parti, adanya usrah  di dalam usrah adanya jemaah di dalam jemaah dengan membawa fikrah yang lain ke dalam PAS, ianya akan merugikan perjuangan PAS.

Merujuk semula dengan sikap dan pandangan ahli akar umbi, luahan, keluhan dan pandangan yang diberikan oleh beliau kepada penulis, rata-rata penulis blog dapat simpulkan soal asas iaitu kepimpinan dalam PAS. Justeru hujah yang diberikan oleh Dr Abu Hassan Hasbullah dalam wacana 7 November 2009 di Taman Melewar tempoh hari adalah pandangan yang tepat  iaitu rakyat yang mendasar melihat kepimpinan PAS itu sebagai liabiliti.

Hatta beliau melihat kemelut kepimpinan dan pemimpin peringkat kawasan yang beliau berada sama seperti dengan apa yang berlaku kini peringkat atasan. Ini semua melemaskan dan mencemaskan beliau. Beliau mendesak penulis supaya PAS kena agresif bergerak membuat penjelasan kepada ahli-ahli bawahan khasnya dan rakyat amnya tentang situasi kini yang berlaku.

Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.