RSS

Perkahwinan dan hak suami ke atas isteri serta hak isteri ke atas suami

04 Jan

Perkahwinan merupakan fitrah yang Allah anugerahkan ke atas manusia, baik lelaki mahupun perempuan. Menurut Islam perkahwinan bukanlah atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan syahwat tetapi untuk memenuhi kehendak tujuan kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada  Allah. Kerana itu setiap Muslim mahupun Muslimah perlu merancang agar perkahwinan mereka tergolong di dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ila Allah).

Dalam sebuah hadis yang  diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;

Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia”. [HR Bukhari dan Muslim]

Hadis di atas menerangkan pedoman dari Rasulullah bahawa asas perkahwinan mestilah didasarkan kepada ketakwaan. Muslimin dan Muslimat di sarankan agar memotivasikan diri untuk menjadikan perkahwinan itu sebagai rangka mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Perkahwinan merupakan pangkal, sementara berbagai-bagai hubungan lain hanyalah cabang dari adanya hubungan perkahwinan. Dengan kata lain, jika tidak ada perkahwinan, tidak mungkin muncul status suami, isteri, anak, bapa, ibu dan sebagainya.Islam telah menganjurkan kaum Muslimin untuk melangsungkan perkahwinan. Ibnu Mas’ud radhiallahu anhu menuturkan bahawa Rasulullah bersabda sebagai berikut:

Wahai para pemuda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu memikul beban, hendaklah ia segera bernikah, kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana hal itu dapat menjadi perisai.”

Seorang Muslim atau Muslimah yang baik selalu berharap kepada Allah agar mendapatkan pasangan yang dapat menjaga kehormatan dirinya, keluarganya dan kedekatannya kepada Allah Subhanahu wa Taala. Ia akan bersyukur jika ia berhasil memiliki pasangan yang soleh/solehah. Sebab ia telah mendapat keberuntungan yang paling besar.

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” [HR Muslim]

Seorang Muslim tidak dianjurkan menikahi seseorang kerana kecantikannya, kekayaannya mahupun darjatnya, tetapi dianjurkan agar memilih yang bertaqwa. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;

Janganlah kalian menikahi perempuan itu kerana kecantikannya, mungkin kecantikannya itu akan membawa kerosakan bagi mereka sendiri. Janganlah pula kalian menikahi mereka kerana mengharap harta mereka, mungkin hartanya itu akan menyebabkan mereka sombong. Akan tetapi, nikahilah mereka dengan dasar agamanya. Sesungguhnya hamba sahaya yang hitam lebih baik, asalkan ia beragama.” [HR Ibnu Majah]

Hadis di atas menuntut agar seseorang berkahwin kerana agama dan bukan kerana selainnya. Apa yang penting, setiap perkahwinan itu mestilah berdasarkan cinta kasih pasangan kerana Allah. Jika setiap pasangan berkahwin atas cinta kerana Allah, nescaya mereka akan beroleh rahmat dari perkahwinan tersebut sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kalian rasa kasih dan sayang.” [TMQ ar-Rum (30):21]

Kehidupan suami isteri

Pada dasarnya, hubungan suami-isteri adalah hubungan yang didasarkan pada prinsip persahabatan yang akrab, saling mengerti dan saling memerlukan. Hubungan suami isteri ini akan menjadi lebih bermakna jika suami isteri itu tahu menjalankan tanggung jawab masing-masing. Dengan ini syariat Islam telah menjelaskan apa yang menjadi hak isteri atas suaminya dan hak suami atas isterinya.

Sebagaimana Firman Allah:
Para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” [TMQ al-Baqarah (2):228]

Ertinya hak yang dimiliki oleh seorang isteri atas suaminya sama seperti hak suami atas isterinya dari sudut masing-masing mesti mematuhi perintah dan larangan Allah. Oleh sebab itu Ibn Abbas pernah bertutur demikian,

Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana ia berhias untukku. Aku pun suka meminta agar ia memenuhi hakku yang wajib dia tunaikan untukku, sehingga aku pun memenuhi haknya yang wajib aku tunaikan untuknya.”

Dan kata-katanya lagi;
Para isteri berhak merasakan suasana persahabatan dan pergaulan yang baik dari suami mereka, sebagaimana mereka pun berkewajiban untuk melakukan ketaatan dalam hal yang memang diwajibkan atas mereka terhadap suami mereka.”

Antara hak dan kewajiban suami ke atas isterinya ialah:

(1) Suami berkewajiban memberi nafkah kepada isterinya seperti makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal dengan cara yang baik. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:

Engkau (suami) harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah engkau menempeleng wajahnya, janganlah engkau menghinanya, dan jangan pula membiarkannya kecuali di dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Dawud, Ibn Hibban]

(2)  Suami berkewajiban memenuhi keperluan seksual isterinya, walaupun hanya sekali dalam masa empat bulan, yakni jika keadaan tidak mengizinkan. Keadaan ini ditetapkan berdasarkan Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Kepada orang-orang yang hendak bersumpah untuk menjauhkan dirinya dari isteri-isterinya, bagi mereka ada masa tangguh sampai empat bulan. Kemudian jika mereka kembali kepada isterinya maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Baqarah (2):226]

(3)  Minimum tidur bersama isteri sekali dalam setiap empat hari. Pada masa Umar bin al-Khatthab ketetapan semacam ini pernah dilakukan. Ketetapan Umar ini diambil dari firman Allah;

Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga, atau empat.” [TMQ an-Nisa’ (4):3]

Ini bermaksud, jika seorang suami itu mempunyai empat orang isteri (maksimum) maka jarak giliran antara setiap orang isteri adalah empat hari. Jadi, berdasarkan mafhum ayat, empat hari adalah had maksimum bagi suami melayani hak tidur isteri, walaupun isterinya adalah seorang.

(4) Berbuat adil dalam pembahagian jika suami mempunyai isteri lebih dari seorang. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

Siapa saja yang mempunyai dua orang isteri, kemudian dia lebih cenderung kepada salah satunya, maka orang itu pada hari kiamat akan dipapah oleh seseorang kerana jatuh atau tertatih-tatih.” [HR at-Tirmidzi]

(5) Jika isterinya seorang gadis, maka si suami hendaklah tinggal bersamanya selama tujuh hari dari permulaan pernikahannya dan tiga hari (dari tarikh pernikahan) jika isterinya seorang janda. Ini di ambil dari sabda Rasulullah yang ertinya:

Bagi gadis tujuh hari, sedangkan bagi janda tiga hari, kemudian barulah ia kembali kepada isterinya yang lama.” [HR Muslim]

(6) Suami disunnahkan memberikan izin kepada isterinya jika ingin melihat saudaranya yang sakit atau menziarahi jika ada yang meninggal dunia.

Di antara hak suami atas isterinya ialah:

(1) Isteri wajib mentaati suaminya dalam hal kebaikan, bukan dalam kemaksiatan kepada Allah. Namun demikian, seorang suami hendaknya tidak memberatkan atau menyusahkan isterinya. Ketentuan semacam ini diambil dari Firman Allah:

Jika isteri-isteri kalian mentaati kalian maka janganlah kalian mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” [TMQ an-Nisa’ (4):34]

Rasulullah juga bersabda:
Sekiranya aku dibolehkan menyuruh seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang isteri bersujud kepada suaminya.” [HR at-Tirmidzi]

(2) Seorang isteri wajib menjaga harta kekayaan dan rahsia suaminya. Ia juga tidak boleh keluar rumah kecuali atas izin suaminya. Ketentuan ini diambil dari sabda Rasulullah:

(Sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya” [HR an-Nasa’i]

(3) Berpergian bersama suaminya jika diajak. Sebab, berpergian bersama suami merupakan hak suami yang wajib ditaati oleh isterinya.

(4) Isteri wajib melayani suami jika suami mahu bersamanya. Ini kerana, melayani keperluan seksual suami merupakan kewajipan isteri dan hak bagi suami. Dalam sebuah hadis disebutkan:
Jika seorang suami mengajak isterinya untuk tidur bersama, kemudian isterinya menolaknya, hingga suaminya marah, maka malaikat akan melaknatnya hingga pagi hari.” [Muttafaq ‘alaih]

(5)  Seorang isteri wajib meminta izin suaminya jika ia hendak mengerjakan puasa sunat. Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah:
Tidak halal bagi isteri untuk melakukan puasa ketika suaminya menyaksikannya, kecuali berdasarkan izinnya.” [Muttafaq ‘alaih].

Apa yang diterangkan di atas hanyalah sebahagian dari hak dan tanggungjawab di antara suami isteri di dalam kehidupan rumah tangga. Jika suami tidak menunaikan hak isterinya, suami tersebut telah melakukan kesalahan. Begitu juga, jika seorang isteri tidak memenuhi hak suaminya ia telah melakukan nusyuz.

Nusyuz

Nusyuz adalah pelanggaran isteri terhadap perintah dan larangan suami secara mutlak. Hukum nusyuz berlaku apabila si isteri melanggar perintah dan larangan suami semasa berada di dalam hayatul khas/kehidupan khusus (rumah tangga) seperti di dalam rumah. Adapun jika seorang isteri melanggar perintah suaminya di luar kehidupan khusus itu, ini tidak dinamakan nusyuz.

Syariat Islam telah menetapkan beberapa hak suami yang perlu dijalankan oleh seorang isteri. Antaranya menguruskan rumah tangga. Apabila seorang suami menyuruh isterinya membancuh teh, membasuh pakaian, memasak, memandikan anak-anak dan menggosok pakaiannya, jika isterinya tidak mahu melakukannya, ini bermakna isterinya itu telah melakukan nusyuz terhadap suaminya.

Begitu juga, jika seorang suami melarang isterinya bertabarruj (berhias diri) atau tidak memakai tudung di hadapan tetamunya di dalam rumah, jika isterinya melanggar larangan suaminya itu, maka isteri tersebut telah melakukan nusyuz.

Sebaliknya jika suami tersebut melarang si isteri keluar rumah bertabarruj atau tidak memakai tudung (di luar rumah – hayatul am), jika si isteri tersebut tidak mengikut larangan suaminya itu, ini tidak dinamakan nusyuz kerana perbuatan itu bukanlah di dalam hayatul khas. Isteri tersebut telah melakukan keharaman kerana melanggar perintah Allah, cuma perbuatan tersebut tidak termasuk kategori nusyuz kerana berlaku di dalam hayatul am.

Contoh yang sama adalah jika si suami melarang isteri dari mencuri. Namun isteri melanggar perintah suami dan tetap mencuri (contohnya mencuri di pasar raya), maka isteri tersebut telah melakukan dosa dan keharaman. Namun ini tidak termasuk di dalam kategori nusyuz. Dan dari segi hukuman, isteri tersebut wajib dipotong tangannya oleh negara (Khilafah) dan bukannya dikenakan hukuman nusyuz oleh suami.

Ketika syariat Islam telah menetapkan hak suami secara umum untuk memerintahkan isterinya melakukan sesuatu, atau melarangnya, syariat juga telah membenarkan beberapa hal dari keumuman tersebut. Misalnya, syariat membolehkan seorang wanita untuk menjalankan perniagaan, mengajar, menghubungkan silaturrahim, pergi ke masjid, menghadiri ceramah ataupun seminar dan sebagainya.

Seandainya si isteri melanggar larangan suaminya ini, maka si isteri tersebut tidak jatuh nusyuz kerana ini merupakan hak di dalam kehidupan umum yang dibenarkan oleh Allah ke atas wanita. Namun si isteri mestilah meminta izin kepada suami untuk keluar rumah dan mesti mentaati keputusan suaminya selama mana tidak melanggar syarak.

Syariat Islam juga telah mewajibkan wanita untuk berdakwah dalam masyarakat. Ini bermakna wanita/isteri juga wajib berdakwah, sebagaimana lelaki/suami. Seandainya si suami melarang si isteri untuk keluar berdakwah, ini adalah satu kesalahan bagi pihak suami. Meski demikian, jika di rumah ada kewajipan lain seperti menguruskan anak-anak, menyiapkan pakaian, makan dan minum suami, maka hal ini hendaklah dilakukan terlebih dahulu oleh si isteri.

Hukuman nusyuz.

Hukuman nusyuz telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Wanita-wanita yang kalian khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya, dan pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak membekas), jika mereka mentaati kalian, janganlah kalian mencari-cari alasan untuk menghukum mereka” [TMQ an-Nisa’(4):34)

Jadi bentuk hukuman tersebut (dan mesti dilakukan menurut urutan) adalah:
1. menasihatinya dan memberi peringatan kepadanya.
2. mengasingkan tempat tidur.
3. memukulnya dengan pukulan yang tidak membekas.

Semua hukuman tersebut ditetapkan sebagai cara agar seorang isteri mentaati suaminya. Jadi, apabila isteri melakukan nusyuz, maka penyelesaiannya mestilah mengikut hukuman di atas.

Di samping itu, satu hal yang semestinya diperhatikan adalah bahawa kehidupan suami isteri harus merupakan bentuk kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan rahmat (mawwadah wa rahmah ). Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan akulah orang yang terbaik di antara kalian terhadap keluargaku.” [HR Muslim]

Wallahu a’lam bi sawab

 
1 Komen

Posted by di 4 Januari 2010 in FIQAH ISLAM, KELUARGA SAKINAH

 

One response to “Perkahwinan dan hak suami ke atas isteri serta hak isteri ke atas suami

  1. shafifah

    4 Januari 2010 at 12:02 PM

    Siaran Langsung Multaqa Ulama Bersama Habib Umar Bin Hafiz di Indonesia http://wp.me/piAx4-12i

    Pengajian Kitab bersama Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam : http://wp.me/piAx4-12d

    Penyelewengan Tauhid & Kalimah ALLAH : http://wp.me/piAx4-12a

     

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers

%d bloggers like this: