RSS

Sejarah PAS Johor menjelang PRU 13

27 Jun
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, 23 Jun 2012

Mutakhir ini, perkembangan politik di negeri Johor telah menjadi bualan di kalangan para pemerhati politik sama ada yang daripada pihak pemerintahan mahu pun kumpulan pembangkang.

Kemampuan gabungan parti politik pembangkang memenangi satu kerusi Parlimen (Bakri) dan enam kerusi DUN (Sungai Abong, Maharani, Mengkibol, Skudai, Senai dan Bentayan) telah membuka mata banyak pihak terhadap status kekebalan UMNO/BN di Johor yang mitosnya disebut sebagai “Kubu Kuat Umno di dunia” semakin diragui.

Lebih-lebih lagi, kemenangan PAS untuk menawan dua kerusi DUN iaitu di Dun Maharani dan Sungai Balang telah meletakkan satu harapan baru kepada perkembangan politik Johor yang sebelum ini tidak pernah yakin bahawa PAS akan dapat bertapak di Johor.

Malah, kemenangan PAS di Dun Senggarang dilabelkan sebagai kemenangan ‘betina’ kerana calon PAS iaitu Dr Mohd Ramli bin Kari menang di atas faktor kesilapan teknikal BN.

PAS tampil dengan gagah dan berwibawa di pentas Dun Johor apabila YB Dr Mohamad bin Taslim dan YB Dr Sheikh Ibrahim bin Sheikh Salleh berjaya memainkan peranan mereka di dalam dewan persidangan serta disayangi oleh rakyat setempat kerana mereka benar-benar dapat menterjemahkan peranan sebenar sebagai seorang wakil kepada rakyat.

Justeru apabila PAS dan Pakatan Rakyat berkira-kira untuk menawan Nusa jaya di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang ini, pemimpin UMNO/BN di Johor menggelupur tidak tentu fasal dan membuat respon yang luar daripada kebiasaan.

Jika dulu, pembangkang tidak berpeluang untuk hadir di bibir-bibir pemimpin BN walaupun kali ini berduyun-duyun pimpinan BN khususnya daripada Umno berlumba-lumba untuk memberikan pandangan dan kenyataan tentang masa depan PR di Johor yang sebahagian besar daripada mereka memperlekeh cita-cita dan harapan murni ini.

Sebagai contohnya, apabila YB Salahudin Ayub muncul di dalam media cetak dan internet dengan gambaran bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor maka ketidaktenteraman jiwa para pemimpin BN Johor jelas kelihatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kekuatan PAS belum mampu menandingi BN dan meminta agar PAS jangan memasang angan-angan dan hanya bermimpi di siang hari untuk mengambil alih Kerajaan Negeri  Johor.

Beliau masih yakin bahawa Johor adalah kubu kuat BN.

Walau apa pun yang diperkatakan tentang kemampuan PAS untuk tampil sebagai kerajaan menanti bersama PR ia akan ditentukan nanti oleh kuasa rakyat.

Namun, perlu juga kita melihat dengan lebih mendalam sejauh mana kemampuan PAS untuk memenangi hati pengundi lebih-lebih lagi PAS telah pun mengisytiharkan bahawa PAS bersedia untuk menggantikan UMNO.

Perkembangan PAS di Johor

Perjalanan politik PAS di Johor bukanlah satu perjalanan pemusafiran yang mudah kerana ia telah dilalui dengan penuh ujian dan cabaran yang luar biasa.

Membentuk satu kekuatan yang jitu telah mengambil masa yang lama dan jauh sehingga ia tersergam pada hari ini. Tidak ramai yang mengetahui dan mengambil tahu tentang perkembangan PAS di Johor jika ingin dibandingkan dengan perkembangan PAS di negeri lain kerana Johor terlalu kebal dengan pengaruh Umno di semua peringkat.

Penyertaan PAS di dalam politik Johor sebenarnya telah bermula awal iaitu tiga tahun selepas PAS ditubuhkan pada tahun 1951. Dalam satu laporan yang disiarkan oleh Utusan Melayu yang dikeluarkan pada 20 Mac 1954, PAS telah menubuhkan cawangannya yang pertama di Johor iaitu di Johor Bahru pada 19 Mac 1954 dan Haji Ariffin Alias dipilih menjadi Yang Dipertua, Sdr Othman Abdullah dilantik menjadi Setiausaha manakala Penyimpan Wang diamanahkan kepada Sdr Yusuf Abdul Rahim.

Seramai lapan orang Ahli Jawatankuasa telah dilantik bagi menerajui PAS cawangan. Bermakna, PAS bukanlah parti baru di Johor, barangkali disebabkan kekuatan UMNO yang terlalu besar menyebabkan PAS di lihat sebagai parti ‘nyamuk’ yang tidak mungkin akan memberikan ancaman kepada UMNO.

Keterbukaan media cetak pada ketika itu dengan memberikan laporan penubuhan PAS telah membawa kepada penyebaran berita yang baik kepada PAS apabila satu rombongan masyarakat Bugis dari Benut telah bertemu dengan pimpinan PAS Cawangan Johor Bahru dan pada 6 Mei 1954 cawangan kedua PAS Johor telah ditubuhkan di Benut.

Haji Abdul Razak telah dipilih menjadi Yang Dipertua manakala Saudara Muhamad Tahir dilantik menjadi Setiausaha dan jawatan Bendahari dipegang oleh Haji Yusuf Abdul Rahim. Seramai enam orang Ahli Jawatankuasa cawangan turut terpilih.

Walaupun usia PAS cawangan Benut ini masih baru namun PAS Benut telah tampil dengan berani dan berjaya mengumpulkan ahli yang ramai sehingga dilaporkan keahlian PAS di Benut mencecah seramai 750 orang pada ketika itu.

Di atas kesedaran untuk memartabatkan Islam di Johor, PAS Benut melalui mesyuarat Agong telah meluluskan usul untuk meminta PAS Pusat mengadakan pendidikan politik Islam kepada ahli-ahli di semua cawangan PAS dalam negara ini serta mendesak PAS Pusat agar menerbitkan majalah `Al-Islam’.

Sebelum Pilihan raya Umum tahun 1959, pengaruh PAS semakin berkembang dengan penubuhan banyak cawangan di Pontian dan Batu Pahat. Pada 24 Mei 1959 cawangan PAS telah ditubuhkan di Sungai Tempayan, Pontian.

Pada 3 Ogos 1959, cawangan PAS ditubuhkan di Pulai Sebatang dan pada 4 Ogos, cawangan Parit Karimon ditubuhkan. Pada penghujung bulan Julai 1959, sebuah cawangan PAS di Kampung Parit Jatuh, Batu Pahat diwujudkan.

Dalam majlis penubuhannya, ketua penerangan PAS Johor ketika itu, Haji Muhamad Taib Haji Ahmad telah memaklumkan bahawa PAS Johor akan menubuhkan 10 cawangan lagi di seluruh negeri. Pada 14 Ogos 1959, sebanyak 15 cawangan PAS telah diwujudkan di Batu Pahat.

Pertumbuhan PAS dengan pesat di kawasan Pontian dan Batu Pahat sememangnya dapat dilihat sehingga ke hari ini hasil daripada usaha gigih pejuang terdahulu. Usaha PAS untuk menubuhkan cawangan terus berkembangan di Muar, Segamat, Mersing, Ari Hitam dan Kluang.

Pengaruh PAS di Kota Tinggi mula terserlah pada awal tahun 1964 atau lebih awal dari tahun tersebut, PAS turut meletakkan calonnya di kawasan Johor Lama. Daripada maklumat yang tersebut, bolehlah dibuat rumusan bahawa PAS mula berkembang dan bertapak di Johor secara keseluruhannya menjelang pertengahan tahun 1964.

Dalam suasana PAS Johor berkembang pesat, PAS Johor dikejutkan dengan tindakan dua pimpinan tertinggi mengisytiharkan diri keluar daripada PAS pada tahun 1969 iaitu  Pesuruhjaya PAS Negeri, Puan Khadijah Sidek dan bekas Pegawai Penerangan PAS Negeri, Kiai Saifullah bin Zamzam.

Ia sedikit sebanyak mendatangkan kesan kepada ahli dan para penyokong kerana Khadijah Sidek adalah merupakan seorang yang gigih dan kuat bekerja. Khadijah yang berasal daripada Indonesia menyertai PAS pada tahun 1958 setelah dipecat dari UMNO pada tahun 1956.

Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Dungun pada tahun 1959 dan  menjadikan wakil rakyat PAS yang pertama dari kalangan wanita. Dalam pilihan raya umum 1964, beliau bertanding di kawasan parlimen Johor Bahru menentang Tun Dr Ismail Datuk Abdul Rahman namun berjaya ditewaskan.

Tahun 1974, PAS telah bertindak menyertai komponen Barisan Nasional. Ada di kalangan ahli PAS di Johor mengambil memprotes penyertaan PAS ke dalam BN dengan mengisytiharkan diri sebagai calon bebas walaupun akhirnya tewas di tangan calon perikatan.

Peristiwa pahit, PAS ditendang daripada menjadi komponen Barisan Nasional telah memberikan banyak iktibar. Ini diikuti dengan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya Mac 1978 apabila PAS gagal mengekalkan kuasanya di Kelantan, walaupun sudah menguasai Kelantan hampir 18 tahun lamanya.

Tragedi yang menimpa PAS itu telah memberi kesan kepada perkembangan PAS di seluruh negara termasuk di Johor. Dalam pilihanraya ini, PAS hanya berjaya mempertahankan lima kerusi daripada 14 kerusi yang dimenangi sebelum ini dalam tahun 1974 di samping mempertahankan 9 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding 50 kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya sebelumnya.

Bagi PAS Johor, kekalahan sudah menjadi asam garam dalam perjuangannya. Ia sudah menduga kekalahan teruk itu. Walaupun PAS sudah lama bertapak di Johor, namun selera pengundi masih belum membenarkan PAS bertapak di hati mereka.

Sebaliknya hasil dari penyingkiran PAS itu, berbagai insiden politik berlaku secara negatif di Johor. Seramai 300 orang ahli PAS telah menyertai UMNO pada bulan Julai 1978 iaitu menjelang pilihanraya umum. Turut dilaporkan juga seramai 60 orang guru-guru agama yang simpati dengan PAS berpaling tadah menyertai UMNO.

Di Johor, bekas aktivis-aktivis ABIM telah berpeluang mengambil alih teraju pimpinan PAS Johor dalam tahun 1982 setelah berlakunya perubahan PAS kepada kepimpinan ulama’ seperti mana yang berlaku di peringkat nasional.

Peralihan ini bukan dibuat secara revolusi tetapi sebaliknya melalui amalan biasa PAS iaitu dengan cara pemilihan. Haji Hasan Hussein telah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS yang baru bagi menggantikan Haji Yusof Hakim yang sudah uzur.

Beliau adalah salah seorang pengasas ABIM Johor. Di samping beliau beberapa orang aktivis ABIM turut dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Negeri seperti Tuan Haji Ismail bin Ibrahim, Ustaz Omar bin Jani.

PAS dipimpin oleh Ustaz Omar bin Jani, Dr Sanusi Daeng Mariok dan kini datuk Dr Haji Mahfodz bin Mohamed  selaku Pesuruhjaya Negeri.

Dr Sanusi Daeng Mariok dilantik sebagai Pesuruh Jaya PAS negeri Johor pada tahun 1996 setelah Ustaz Omar bin Jani telah meninggal dunia. Ketika itu, Dr Sanusi yang lebih mesra dipanggil Pak Daeng sedang menjawat jawatan sebagai Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen di Rantau Panjang.

Pak Daeng telah mengambil pelbagai pendekatan politik yang bersesuaian dengan lebih menekankan konsep menerang bukan menyerang lebih-lebih lagi apabila Almarhum Datuk Fadhil Noor telah mengangkat kertas kerja Pak Daeng yang pada satu ketika dahulu ditolak oleh jawatankuasa PAS Pusat di atas konsep yang telah disebutkan tadi.

Dr Mahfodz mula memimpin PAS Johor pada tahun 2005 setelah Dr Sanusi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri setelah memimpin Johor selama hampir 10 tahun.

Sebelum dilantik menjadi Pesuruh jaya PAS Johor, Dr Mahfudz terlebih dahulu diberikan kepercayaan oleh Dr Sanusi sebagai Timbalan Pesuruh Jaya Negeri bermula tahun 2001 sehingga tahun 2005. Dr Mahfodz telah menjual rumahnya di Damansara dan membina sebuah Maahad Tahfiz di Kundang Ulu sebagai tanda keseriusannya untuk kembali ke Johor sebagai seorang Pesuruh Jaya.

Catatan ringkas berkaitan dengan sejarah perkembangan PAS di Johor ini adalah sebagai maklumat asas kepada pembaca supaya dapat melihat betapa peritnya PAS untuk diperkembangkan di Johor.

Pencapaian PAS di dalam Pilihan raya

Cita-cita PAS untuk tampil buat pertama kalinya di dalam medan Pilihan Raya pada tahun 1955 tidak kesampaian disebabkan masalah kewangan kerana kos untuk menghadapi pilihan raya yang tinggi. Namun ia tidak merencatkan para pejuang PAS di Johor kerana mereka sedar bahawa Pilihan raya bukanlah matlamat utama PAS ditubuhkan. PAS terus melipatgandakan usaha dan gerakerja dengan menubuhkan lebih banyak lagi cawangan dan gerakerja.

Dengan usaha yang telah dilakukan maka PAS telah tampil buat pertama kalinya dalam Pilihan raya Umum Persekutuan 1959 dan PAS Johor telah meletakkan seramai tiga orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara, Muar Selatan dan Segamat Utara.

Seramai sembilan lagi calonnya diletakkan di peringkat Dewan Undangan Negeri Pontian Dalam, Benut, Rengit, Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Parit Bakar, Serom dan Jorak. Dalam pilihanraya ini PAS bukan sahaja gagal mendapatkan sebarang kerusi di Johor malah undi yang diterima adalah pada paras yang sangat rendah.

Pada keseluruhannya, undi yang diperoleh oleh PAS bagi tiga kawasan parlimen yang ditandingi ialah 4992 daripada jumlah keseluruhan iaitu 216 027 undi. Bagi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi, PAS berjaya memungut undi sebanyak 5471 daripada undi ke seluruh yang berjumlah 214 496.

Inilah ukuran sokongan masyarakat terhadap PAS pada masa itu. Peratusan undi yang diterima oleh PAS begitu kecil sekali iaitu di peringkat  Parlimen sebanyak 2.3% manakala di peringkat DUN 2.6%.

Sebab itu saya nyatakan tadi kehadiran PAS tidak dilihat sebagai ancaman kerana rakyat Johor masih belum mampu menerima kehadiran PAS. Bagi rakyat Johor, Umno dan Perikatan adalah pilihan yang paling tepat dan sesuai dengan perkembangan politik di Johor. Namun, ia sedikit pun tidak merencatkan dan mencantas semangat gelora perjuangan-pejuang PAS yang terpencil bilangannya.

Cita-cita untuk menyerlah di dalam politik Johor diteruskan dalam Pilihanraya Umum Persekutuan 1964, PAS Johor telah mengemukakan dua orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara dan Johor Timur. Manakala sebelas lagi calonnya bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri.

Ketika itu PAS Johor dianggap sebagai parti nyamuk oleh komponen Perikatan. Saingan hebat perikatan di Johor pada masa itu ialah Barisan Sosialis. Dalam pilihanraya ini juga, parti-parti pembangkang Johor terpaksa bertanding sesama sendiri setelah hasrat untuk bergabung dalam satu pasukan gagal dilakukan.

Pilihan raya 1964 ini juga telah membuka era baru bagi PAS Johor. Ia telah bertanding di tujuh kawasan baru bagi peringkat Dewan Undangan Negeri dan mengosongkan enam kawasan yang pernah ditandingi dalam pilihanraya 1959.

Tujuh kawasan baru yang ditandingi oleh PAS ialah Endau, Gelang Patah, Mersing, Pelentong, Simpang Kiri dan Tampoi. Kawasan lama yang turut ditandingi ialah Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Jorak dan Parit Bakar.

Dalam pilihanraya ini juga PAS Johor tidak meletakkan calon-calonnya bertanding di kawasan parlimen Muar Selatan dan Segamat Utara sebaliknya mencuba kawasan baru iaitu Johor Timur dan mengekalkan Pontian Utara yang pernah ditandingi dalam pilihanraya tahun 1959.

PAS tidak bertanding di kawasan parlimen Muar Selatan walaupun pengaruh PAS kuat di sini dalam pilihanraya umum 1959. Di Muar Selatan PAS tidak hilang wang pertaruhan berbanding dengan kawasan Pontian Utara. Undi yang diperoleh oleh PAS kawasan Muar Selatan dalam pilihanraya 1959 ialah 2508 undi dan terselamat wang pertaruhan. Sebaliknya di Pontian Utara, PAS hilang wang pertaruhan dan mendapat jumlah undi yang kecil iaitu 1567 undi.

Keputusan pilihanraya umum 1964 menyaksikan satu lagi keputusan untuk penilaian PAS Johor. Secara keseluruhannya, PAS mendapat 7873 undi bagi sebelas kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi dan 7673 undi lagi bagi tiga kawasan parlimen.

Tahun 1983 PAS Johor meletakkan seramai sembilan orang calon di peringkat Dewan Undangan Negeri dan tiga orang di peringkat parlimen. Sokongan terhadap PAS telah meningkat sejak pilihanraya umum 1978 terutama di kawasan Batu Pahat, Segamat, Tenggaroh dan Simpang Renggam.

Inilah perkembangan yang menguatkan lagi PAS Johor. Dengan jumlah undi yang berjaya diraih dalam pilihanraya itu ialah 18 234 undi untuk enam kawasan parlimen yang ditandingi manakala untuk 10 kawasan Dewan Undangan Negeri PAS berjaya meraih undi sebanyak 11 232 undi. Dalam pilihanraya umum 1978 PAS Johor telah mendapat undi sebanyak 25 915 bagi 23 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 32 512 undi bagi 12 kawasan parlimen yang ditandingi.

Walaupun jumlah calon-calon PAS bertanding merosot dalam Pilihanraya Umum 1982 berbanding pilihanraya umun 1978, namun kedua-dua pilihanraya telah menemukan kegagalan yang berulang. Peratusan undi yang diterima oleh PAS dalam pilihanraya umum 1982 tidak jauh berubah dengan peratus undi pilihanraya tahun 1978.

Dalam pilihanraya 1982 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Negeri ialah 7.9% manakala dalam pilihanraya umum 1978 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Neger 2.3%.

Pada tahun 1986, sekali lagi pilihanraya umum diadakan. Pada kali ini PAS meletakkan 10 orang calon di peringkat Parlimen dan 20 orang lain di peringkat Dewan Undangan Negeri. Inilah pilihanraya pengukur bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor dalam Era Kepimpinan Ulama.

Keputusan pilihanraya 1986 telah menunjukkan ciri baru sokongan pengundi kepada PAS. Ia berjaya memperoleh undi sebanyak 28 493 undi bagi 10 kawasan parlimen dan 47 184 undi untuk 20 kawasan Dewan Undangan Negeri. Walaupun tewas, tetapi jumlah undi yang diterima merupakan satu kemenangan yang besar bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor yang telah menguasai tampuk pimpinan parti kira-kira lima tahun.

Pilihanraya Umum Oktober 1990, telah menyaksikan suatu penyatuan di kalangan pembangkang apabila PAS bersama Semangat 46 berjaya bergerak di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dan Semangat 46 bersama parti-parti lain berjaya membentuk Gagasan Rakyat.

Inilah pertarungan paling sengit dihadapi oleh Barisan Nasional apabila pembangkang bersatu dalam pilihanraya. Dalam pilihanraya kali ini, PAS Johor telah meletakkan tiga orang calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Endau dalam parlimen Mersing, Rengit dalam parlimen Batu Pahat dan Benut dalam parlimen Sungai Benut.

Jumlah calon PAS pada kali ini agak kecil berbanding pilihanraya umum 1959, 1954, 1969, 1978,1982 dan 1986. ini adalah disebabkan persepakatan antara PAS dan Semangat 46 dalam Angkatan di mana kuota kerusi telah pun dipersetujui bersama mengikut kekuatan pengaruh sesebuah parti di sesuatu kawasan.

Ketiga-tiga calon yang terpilih ialah Dr Sheikh Ibrahim Salleh (Dun Endau), Ungku Haji Mohd Noor Ungku Mahmood (Dun Rengit) dan Haji Ambok Masek Haji Abdul Latif (Dun Benut). Dalam pilihanraya ini, PAS berjaya meraih 33% undi di Endau, 29.8% undi di Rengit dan 32.7% undi di Benut.

Dalam pilihanraya umum 1986, PAS telah meletakkan seramai 10 orang calonnya di peringkat parlimen dan 20 orang lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri. Pilihanraya Umum 1990 juga telah mengulangi kekalahan PAS Johor.

Tahun 2004, PAS menyertai PRU dengan semangat untuk menang setelah arus reformasi telah berjaya meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS dan Barisan Alternatif. Namun, pakatan BA telah semakin mengecil apabila DAP telah mengisytiharkan bahawa mereka keluar daripada BA pada 21 September 2001 dan berlakunya pergabungan dua parti iaitu PKN dan PKR yang membentuk parti baru iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada bulan Ogos 2003.

PAS telah meletakkan calon di 36 Dun namun pencapaian PAS secara keseluruhannya lebih rendah jika dibandingkan dengan pencapaian pada tahun 1999. PAS bertanding di 36 Dun dan menang satu kerusi iaitu kerusi Dun Senggarang di atas kesilapan BN meletakkan individu yang diamanahkan sebagai Penyokong adalah merupakan bukan pengundi di Senggarang. PAS telah memperoleh 98698 undi berbanding dengan jumlah undi 540572 keseluruhan di kesemua 36 Dun yang PAS telah meletakkan calon. Ia mewakili sebanyak 18.3% undi keseluruhannya.

Pilihan Raya Umum kali ke 12 yang diadakan pada tahun 2008 telah mendatangkan satu keputusan luar biasa kepada PAS di Johor setelah berjaya untuk tampil ke dalam medan pilihan raya dalam satu front iaitu Barisan Alternatif dan kerjasama tidak langsung dengan DAP untuk memastikan bahawa BN hanya akan bertembung secara satu lawan satu di setiap kerusi yang dipertandingkan.

PAS telah bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dun termasuklah kerusi Dun Tiram yang diwakili oleh calon Kelab Penyokong PAS yang bertanding di atas lambang PKR iaitu Cik Kumutha Raman.

Dalam PRU ke 13, PAS memperoleh kejayaan yang luar biasa apabila telah berjaya menang di kerusi N13 Sungai Abong dan N15 Maharani. Begitu juga dengan jumlah undian sebanyak 175 300 undi di peringkat berbanding dengan jumlah undi keseluruhan sebanyak 554158 undi dengan peratusan undi yang telah diperoleh PAS daripada 33 kerusi Dun yang ditandingi itu adalah sebanyak 31.63% menunjukkan pencapaian PAS semakin memberangsangkan.

PAS masa kini, semakin maju atau mundur?

Setelah membaca mengenai sejarah Pas dan penglibatannya di dalam medan politik, saya ingin mencatatkan pula kedudukan PAS di Johor ketika ini sama ada PAS semakin diterima rakyat atau pun sebaliknya. Ini berdasarkan kepada pemerhatian saya secara umum sebagai anak Johor yang terlibat secara langsung dalam medan politik di Johor.

Selepas kejutan besar berlaku dalam PRU ke 12 pada tahun 2008, PAS Johor terus mengorak langkah untuk menggempur persada politik Johor bersama rakan-rakan dalam PR yang lain dan tekad untuk menawan Nusajaya disepakati bersama. Langkah awal, PR Johor telah melancarkan TAWAN di Kluang pada tahun 2009 sebagai satu signal terhadap keseriusan tersebut.

Beberapa tindakan awal disusun oleh PAS Johor. Penubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) di seluruh dijadikan arahan wajib khususnya Dun yang telah diwakili oleh PAS semasa PRU 12. Di antara yang terawal menubuhkan PAR adalah Dun Permas, Kempas, Mahkota dan Nusajaya. Peranan utama PAR adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat setempat sama ada masalah yang melibatkan isu rakyat ataupun isu yang melibatkan kepincangan kerajaan.

Begitu juga dengan peranan kedua-dua Adun PAS iaitu YB Dr Mohamad bin Taslim dan YB Dr Sheikh Ibrahim, kedua-dua digerakkan untuk membantu masalah rakyat bukan sahaja di kawasan mereka sahaja tetapi menjadi wakil rakyat di seluruh negeri Johor untuk disalurkan ke dalam DUN Johor.

PAS Johor dipimpin oleh mereka yang berkelayakan daripada pelbagai sudut. Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad adalah merupakan mantan Dekan Fakulti Pengajian Islam UM dan merupakan tokoh ulama’ yang disegani.

Haji Aminul Huda Hassan, Timbalan Pesuruh Jaya 1 adalah merupakan seorang golongan profesional dalam bidang pendidikan, Timbalan Pesuruh jaya 2 iaitu Haji Dzulkefli Ahmad merupakan profesional dalam bidang perunding harta dan Mazlan Aliman, Pesuruh Jaya 3 adalah merupakan seorang aktivis masyarakat dan merupakan Presiden ANAK yang memperjuangkan isu berkaitan dengan peneroka dan FELDA.

Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Pemuda PAS Johor adalah merupakan mantan pensyarah UTM, Haji Roslan Nikmat (Bendahari PAS Johor) adalah merupakan mantan guru dan pernah dipilih sebagai Guru Inovasi Kebangsaan. Malah, pimpinan PAS yang mengetuai jentera di peringkat negeri turut dipimpin oleh mereka yang berupaya menjana kekuatan dan kemenangan PAS.

Empat daripada PAS kawasan di Johor dipimpin oleh kepimpinan muda iaitu Haji Firduas masod (Segamat/Peguam), Ustaz Khairul Muntanazar (Tebrau/Lulusan Al-Azhar), Ustaz Rozali Jamil (Sekijang/Al-Hafiz) dan Khairul Faizi Ahmad Kami (Kluang/Ahli Politik)

Begitu juga dengan kesediaan YB Haji Salahudin Ayub untuk pulang ke gagang bagi merancakkan gerakerja PAS di Johor telah menimbulkan polemik baru sehingga di sebut sebagai bakal Menteri Besar Johor jika PR berjaya menawan Nusajaya.

Bermakna, PAS Johor semakin maju ke hadapan pada ketika ini dengan melahirkan banyak tokoh politik dan kepimpinan yang berwibawa. Kepimpinan yang beretika, berlatar belakangkan pendidikan yang tinggi di pelbagai peringkat pasti mampu mentadbir negeri Johor jauh lebih baik daripada apa yang telah Umno lakukan selama ini.


Kesimpulan

Melihat kepada sejarah PAS bermula di Johor pada tahun 1954 sehingga kemampuan PAS berdiri bersama PR di persada politik Johor yang dikenali sebagai ‘kubu kuat UMNO di dunia’ telah memberikan satu harapan baru kepada perubahan politik di Johor.

PAS gagal menyertai PRU pada tahun 1955 kerana ketidakmampuan untuk menanggung kos yang tinggi. Tahun 1959 PAS hanya mampu meraih sokongan sebanyak 2.6% di kerusi Dun yang telah PAS tandingi. Tetapi, pencapaian PAS terus meningkat dengan lebih baik dan sebagai buktinya pada PRU ke 12, PAS berjaya meraih sokongan sebanyak 31.63% di peringkat Dun yang PAS tandingi.

Sokongan yang diterima oleh PAS dan rakan-rakan PR yang lain sudah tentu menggerunkan UMNO dan BN lebih-lebih lagi PAS sudah tidak lagi ditakuti oleh pengundi bukan Melayu/Islam. PAS yakin mampu untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu pada PRU ke 13 yang bakal menjadi penentu kepada kemenangan PAS nanti.

Pesuruh Jaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz telah melahirkan keyakinan bahawa PAS akan berjaya untuk menang di 15 DUN yang ditandinginya pada PRU yang akan datang. Dengan gabungan kemenangan PAS, PKR dan DAP di peringkat DUN nanti akan membolehkan PR membentuk kerajaan baru yang akan menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan beramanah daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum daripada ini.

Siapa bakal MB? Itu tidak menjadi persoalan utama pada ketika ini kerana PAS dibarisi oleh ramai kepimpinan dan calon berwibawa.

————————————————-


Penulis boleh dihubungi melalui laman http://www.khairulfaizi.com

 
Tinggalkan komen

Posted by di 27 Jun 2012 in Penerangan Pusat

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers

%d bloggers like this: