RSS

Hikmah Poligami – Siri 1

14 Sep

POLIGAMI …..IBADAH SUCI

 

        

       Kepada semua pembaca terutamanya kaum wanita yang amat dihormati,   dengan ikhlas dan rendah diri menasihati anda semua agar terus membaca rencana ini, biarpun mungkin ada antara anda yang selama ini tidak yakin , marah atau mempersoalkan konsep poligami dari segi hokum mahupun “implementation in actual society”. Istiqamah anda semua untuk terus membaca rencana ini hingga selesai amatlah dihargai. Soal anda dapat menerima kandungan rencana ini ataupun tidak adalah tidak diutamakan.

 

                 Yang penting ialah anda membaca kesemuanya dan berfikir dengan ikhlas. Segala yang benar adalah dari ALLAH SWT dan segala yang salah dan tersilap adalah kerana kelemahan dan kedhoifan saya sebagai hambaNYA yang lemah dan kurang ilmu. Semoga rencana ini dapat mencanai kembali fikrah dan perancangan kita seterusnya , baik kepada muslimin apatah lagi muslimat.

 

Muqqadimmah

 

Sabda Nabi SAW:

“ Apabila anak perempuan kamu telah baligh, maka nikahkanlah dia”

 

Jika kita mengkaji dan mengupas hadis yang tersebut diatas, tentulah  perlu kita tekankan tujuan ianya disampaikan oleh Baginda SAW. Mengapakah perlu disegerakan seseorang gadis yang telah mencapai akhil baligh untuk bernikah. Pasti ada jawaban terhadap tuntutan ini. Perkahwinan itu sendiri adalah amat dituntut oleh Islam. Di samping ianya dapat menyelesaikan keperluan dan tuntutan zahir dan batin insaniah, menyambungkan zuriat keturunan keluarga, ianya juga merupakan suatu formula rawatan kepada permasalahan sosial ummah.

 

Firman ALLAH SWT:

 “ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu

perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat ( yang membawa kerosakan ).”

Surah Al-Israa’ : 32

 

Jalan yang halal lagi barokah untuk memenuhi tuntutan zahir, batin dankesinambungan zuriat keturunan adalah melalui jalan perkahwinan yang sah disisi syarak.

 

Sabda Rasulullah SWT :

 

“ Orang-orang yang buruk diantara kamu ialah mereka yang masih hidup membujang dan diantara kamu yang matinya sia-sia ialah mereka yang hidup membujang”  Riwayat  Ahmad bin Hambal

 

 

Sabda Rasulullah SWT :

“ Dua rakaat yang dilakukan oleh yang berkeluarga lebih afdal daripada tujuh

puluh rakaat yang dilakukan oleh orang yang hidup membujang”

Hadis dikemukakan oleh ‘Adiy berasal dari Abu Hurairah

 

Antara asbab  yang menjadikan perkahwinan itu salah satu faktor utama penyelesaian masalah ummah ialah kerana setiap masyarakat bermula daripada individu insaniah yang mana setiap insaniah pula terdiri daripada elemen akal,  ruh, jasad, nafsu dan naluri. Tuntutan untuk memenuhi segala aspek elemen insaniah ini adalah asas kepada keseimbangan kesihatan dan kesempurnaan insaniah tersebut, lantas menjalinkan ikatan kekeluargaan  yang mantap seterusnya kepada suatu masyarakat yang beriman, bertaqwa dan harmonis.

 

Wanita

 

           Wanita  atau  kaum Hawa adalah amat dimuliakan oleh Islam. Islam yang dibawa oleh para Rasul-rasul dan Nabi-nabi turut sama membawa pembelaan terhadap kaum Hawa yang telah dizalimi oleh mereka yang tidak beriman. Dizaman Jahiliah, kaum wanita dianggap pembawa masalah, aib dan beban terhadap sesebuah keluarga. Malah kaum Hawa dilayani secara zalim, membatasi norma-norma kemanusian hanya sekadar untuk memuaskan nafsu serakah lelakijahiliah. Umat Islam tidak wajar melemparkan tuduhan bahawa ada antara hokum ketentuan dari ALLAH SWT bersifat menzalimi mereka kerana ALLAH SWT telah mengharamkan sifat zalim itu dari diriNYA.

 

Sabda Rasulullah SAW:

“ Barangsiapa menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang senantiasa menangis kerana takutkan ALLAH. Orang yang menangis kerana takutkan ALLAH diharamkan ALLAH akan api neraka ke atas tubuhnya”

 

 Sabda Rasulullah SAW:

“ Syurga itu dibawah telapak kaki ibu”  – Riwayat An-Sa’i

 

                Namun begitu , disebalik Islam memuliakan kaum Hawa, Islam juga memberi suatu peringatan akan bahaya mereka kepada ummah. Kisah yang dinukilkan dari datuk kita Nabi Adam a.s dan nenda kita Siti Hawa rmh. berkenaan  penyingkiran mereka dari syurga cukup untuk mengajar kita hakikat sebenar. Bilamana sahaja seseorang wanita itu telah mencapai akhil baligh, ia secara tidak langsung boleh menjadi suatu fitnah kepada lelaki, sekiranya wanita tersebut tidak mentaati tuntutan Islam. Bentuk tubuh, rambut, suara dan gaya penampilan wanita dengan mudah membangkitkan syahwat dan mengaburi mata ramai lelaki, apatah lagi sekiranya lelaki tersebut tidak beriman malah jahil agama. Sebaliknya, sekiranya wanita tersebut memenuhi tuntutan syarak, Islam akan menungkat naik martabat dan maqam wanita tersebut ke tahap yang mulia.

 

Sabda Rasulullah SAW:

“ ……dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita-wanita yang solehah”

 

            Islam  sebagai Ad-Din menyediakan suatu platform yang jelas dalam menangani segala aspek  permasalahan Bani Adam, baik dari segi zahir dan batin insaniah hinggalah kepada soal perundangan negara malah hingga kepada soal akhirat. Oleh yang demikian, memandangkan hanya Islamlah satu-satunya silibus dan “ Way Of Life” yang benar dan efektif bagi Bani Adam, maka adalah menjadi suatu kewajiban bagi setiap insan yang mengakui dirinya sebagai Muslim /Muslimat untuk mempelajari dan memahami Islam itu sendiri agar dapat mempraktikkan Islam di dalam kehidupannya dan seluruh persekitarannya. Ibarat suatu ubat yang mujarab untuk merawat sesuatu penyakit, namun jika seorang pesakit itu tidak faham akan kegunaan ubat tersebut, dosnya dan cara pengambilannya, tentulah ubat mujarab itu tidak akan menyelesaikan dan menyembuhkan sakitnya dengan baik (biarpun begitu, hakikatnya ialah yang menyembuhkan ialah ALLAH. Ubat hanyalah suatu alat dan ikhtiar yang bertindak dengan izin ALLAH jua).

 

 

BERSAMBUNG SIRI 2

 
Tinggalkan komen

Posted by di 14 September 2008 in KELUARGA SAKINAH

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: