RSS

KITA MUSAFIR YANG BERTEDUH

12 Okt

Masa berjalan begitu cepat. Sya’ban dah berlalu, Ramadhan telah pergi, kini syawwal bersama kita.

Adakah kita akan sempat bertemu ZulQaedah? Hanya TUHAN yang tahu. Naik nombor, pasti Malaikat maut mengambil nyawa kita. Dunia tempat kita berteduh sekarang hanya sementara. Walaupun sementara, waktu yang sementara itu pasti akan ditanya juga.

Jom kita meneliti tazkirah oleh Tn Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nikmat(MUSAFIR YANG BERTEDUH DI BAWAH POHON RENDANG)
Kemudian kita ‘check’ diri kita masing-masing, pastu buatlah ‘balancing‘ dan ‘alligment’ supaya tepat dengan perintah ALlah dan panduan Nabi saw.

AbduLlah bin Mas’ud seorang sahabat yang juga murid setia RasuluLlah saw sentiasa berada di sisi RasuluLlah saw di mana jua Nabi berada. AbduLlah bin Mas’ud meneliti dan mencatit setiap apa jua yang diucapkan oleh RasuluLlah saw serta mengambil pengajaran daripada setiap perbuatan RasuluLlah saw. Demikianlah caranya AbduLlah bin Mas’ud menimba ilmu.

Suatu ketika AbduLlah bin Mas’ud melihat RasuluLlah saw sedang baring, apabila Nabi bangun dari tempat pembaringannya, AbduLlah bin Mas’ud terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang RasuluLlah saw. Ini kerana disebabkan tikar alas tidur RasuluLlah saw diperbuat daripada daun kurma yang kasar, maka kesan tikar itu amatlah ketara. Timbullah rasa belas kasihan di hati AbduLlah bin Mas’ud.

Berkata Ibn Mas’ud: “ Ya RasuluLlah sekiranya kamu perintah aku untuk mencari sebidang hamparan yang lembut untuk Mu nescaya aku akan berusaha mendapatkannya”.

Tetapi RasuluLlah saw bersabda yang bermaksud:
“ Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan”.

Hadith Nabi saw itu adalah satu peringatan terhadap manusia, bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya dunia hanyalah tempat persinggahan untuk membuat persiapan, mencari bekalan bagi menghadapi suatu penghidupan yang abadi di akhirat.

Inilah hakikat yang diajar oleh RasuluLlah saw kepada umatnya, tentang kehidupan di dunia ibarat singgah berteduh di bawah sepohon kayu ketika panas. Beerti singgah sejenak sekadar berteduh untuk menghilangkan letih atau singgah mencari bekalan. Setelah badan kembali segar selepas rehat , seharusnya mereka tidak lalai untuk meneruskan perjalanan.

Contoh yang diberikan oleh Nabi tentang kehidupan di dunia ini amat mudah difahami. Meskipun Nabi menyebut ibarat singgah sejenak berteduh di bawah pohon yang rendang, tetapi kadangkala manusia menjadi asyik dan terlena, apatah lagi jika pohon tempat berteduh itu sedang berbuah lebat dan ranum. Berehat sambil makan buah-buah serta hembusan bayu yang nyaman sungguh mengasyikkan.

Walaupun ia disebut singgah hanya sekejap, namun ia bergantung dengan umur manusia, lazimnya antara sekitar 60 tahun iaitu sekitar usia RasuluLlah saw. Jika dibandingkan dengan usia dunia tentulah tidak lama, apatah lagi jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat, yang ukuran sehari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia, maka kehidupan yang disebut sebentar di dunia itu hanyalah satu detik yang amat singkat.

Masa yang sangat singkat itu adalah suatu kesempatan yang mesti dihargai. Jika kesempatan itu tidak diambil sepenuhnya untuk menyediakan bekalan, keranan dilalaikan oleh kenikmatan mata benda yang tidak seberapa, maka kesempatan kedua tidak akan ada lagi.

Manusia yang dilalaikan dengan kehidupan dunia akan menghadapi penyesalan yang tidak berkesudahan. Di dalam al-Quran telah digambarkan:

وَلَوْ تَرَى إِذْ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (as-Sajadah : 12 )

Demikianlah sesalan orang-orang yang lalai akan peranan mereka dihidupkan di dunia. Mereka cuba mohon kepada Tuhan agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal yang soleh, selepas mereka melihat dengan mata kepala sendiri datangnya hari akhirat, seperti yang dikhabarkan oleh para Rasul semasa di dunia dahulu.

Ad-Dunya Dar al-Amal ( اَلدُّنْيَا دَارُ الْعَمَلِ ) , dunia tempat melakukan segala amal atau kerja, dan setiap amalan menurut apa yang telah digariskan oleh para Rasul as. Dengan adanya para Rasul bagi setiap umat, ini beerti manusia telah dibekalkan segala keperluan. Bekalannya ialah akal, ilmu, aqidah, harta dunia, masa dan tubuh badan.

Manusia mesti beramal atau bekerja bagi menyediakan bekalan hari akhirat. Bekalan akhirat itu bukan sekadar ibadah solat, puasa, zakat, haji dan lainnya. Tetapi sebarang urusan yang melibatkan harta dunia seperti bertani, berniaga, menjadi nelayan, usahawan, pengurusan, pentadbiran dan sebagainya. Semuanya akan menjadi urusan akhirat jika ia dilakukan mengikut garis yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.

Visi akhirat bagi manusia bukan sekadar menghubungkan diri dengan ALlah melalui ibadat-ibadat khusus, tetapi juga mesti melakukan perhubungan sesama manusia , samada dalam urusan muamalah atau juga dalam urusan kemasyarakatan, kenegaraan dan lain-lain seumpamanya adalah merupakan kepelbagaiaan dalam menyediakan bekalan akhirat, untuk menempuh suatu perjalanan yang jauh, oleh itu bekalan juga harus berpadanan.

Jika hidup di dunia dalam masa yang singkat ibarat berteduh di bawah pohon, manusia mesti menggunakan segala peluang yang ada. Masa yang begitu singkat mesti digunakan semaksima mungkin bagi membina kepakaran dan kesungguhan dengan menggunakan modal yang ada iaitu ilmu, akal, tenaga, tubuh badan, harta dunia, aqidah dan syariah dan lainnnya bagi menjamin bekalan akhirat dapat dipenuhi.

Meskipun kehidupan di dunia ini ibarat singgah sebentar sekadar berteduh di bawah pohon, namun ia amat beerti bagi seorang musafir yang berjalan jauh ketika hari panas. Mereka pasti mengambil peluang untuk berehat serta makan minum untuk memulihkan tenaga fizikal dan dapat juga melakukan amal ibadat untuk kekuatan dan bekalan ruhaniahnya.

Demikianlah hakikat dunia yang disebut sebagai Ad-Dunya Dar al-Amal, wa al-Akhirat Dar al-Jaza’ –

اَلدُّنْيَا دَارُ الْعَمَلِ والأخرة دار الجزاء
[ Dunia sebagai negeri melakukan amal dan segala gerakkerja, sementara akhirat itu adalah negeri untuk menerima pembalasan].
Jika di dunia yang singkat waktunya ini terlalai dengan kenikmatan yang sementara, dibimbangi bahawa penyesalan akan menunggu di akhirat.
– Jadi kita teruskan kehidupan dengan meneruskan kerja-kerja dakwah, siasah dan tarbiyah; menyambung risalah perjuangan Nabi Muhammad saw.

 Ust Yusuf Embong ( Timb. Pesuruhjaya PAS Pahang) والله أعلم

 
Tinggalkan komen

Posted by di 12 Oktober 2008 in BERITA PAHANG, MINDA PEMIMPIN

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: