RSS

Hudud: Tg. Hadi yakin tidak jejas undi bukan Islam di Kuala Terengganu

28 Dis
(Yakin: Abdul Hadi sedang menjawab soalan wartawan. Turut bersama beliau Datuk Zahar dan Dr Halimah)

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin isu hudud yang sedang dimainkan oleh media ketika ini tidak akan menjejaskan undi masyarakat bukan Islam kepada PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Menjawab soalan wartawan selepas melancarkan kempen Jom Sertai PAS peringkat negeri Selangor dekat sini, Presiden PAS itu berkata dalam kontek negeri Terengganu masyarakat bukan Islam sudah memahami dan mengenali PAS.

“PAS pernah memerintah Terengganu dengan melaksanakan dasar lebih baik, menghapuskan cukai pintu termasuk kepada orang bukan Islam,” kata beliau.

Perlimen Kuala Terengganu mempunyai lebih kurang 25 peratus pengundi bukan Melayu daripada 80,325 jumlah keseluruhan pengundi.


Polimik hudud mula dicetuskan kembali daripada Wacana Transformasi Politik Negara di Kota Bharu Sabtu, 20 Disember lalu antara Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dengan Naib Ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Ekoran jawapan Husam yang menegaskan “kita akan buat (hudud)” ketika ditanya oleh Khairy mengenai kesediaan PAS melaksanakannya, DAP dan MCA telah menyuarakan bantahan terbuka dengan reaksi daripada pimpinan tertinggi mereka.

Abdul Hadi ketika diminta penjelasannya sama ada PAS akan melaksanakan hudud atau tidak menjawab, ” Kita (PAS) tahu berapa bilangan kita dalam parlimen”.

“Tanggungjawab (melaksanakan hudud) sekarang pada Umno bukan pada PAS kerana mereka (Umno) mempunyai mejoriti dalam Parlimen.

“PAS di Kelantan sudah berusaha dan meluluskan dalam Dewan Undangan Negeri tetapi tidak dapat melaksanakan kerana halangan daripada kerajaan pusat yang dipimpin oleh Umno,” ujar beliau.

(Orang ramai menghadiri program kempen ‘Jom Sertai PAS’ di Dataran Shah Alam)
Ketika ditanya bagaimana hudud boleh dilaksanakan, Abdul Hadi yang menolak anggapan bahawa hudud adalah undang-undang yang zalim berkata, ia bukanlah begitu mudah untuk terus dilaksanakan kerana pelbagai perkara perlu diambilk kira.

Menurut beliau, hudud tidak boleh dilaksanakan ketika rakyat dalam kesusahan ekoran faktor ekonomi, pengganguran yang ramai, pendidikan dan sosial masyarakat yang bermasalah.

“Kena selesaikan masalah kemiskinan, perbaiki ekonomi rakyat, peluang pekerjaan, pendidikan termasuk mengambil kira hubungan kekeluargaan dalam masyarakat terlebih dahulu,” kata beliau yang memberi keyakinan aspek tersebut akan menjadi keutamaan kepada PAS.

‘Kita tahu Umno tidak dapat menyelesaikan masalah ini,” tambah beliau.

Kata beliau, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.
“PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

Sementara itu, kempen ‘Jom Sertai PAS’ yang diadakan di Dataran Shah Alam mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Majlis yang berlangsung selama lebih dua jam itu berjaya mendapatkan lebih 300 penyertaan ahli baru pada petang itu.

Majlis bermula dengan persembahan kumpulan nasyid dan ucapan daripada pimpinan PAS.

Turut hadir ialah Naib presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang; Setiausaha Pemuda PAS, Sabky Yusuf; Ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh; Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, Ketua Kawasan Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmod. (Gambar: Abdul hadi melancarkan kempen ‘Jom Sertai PAS’)

Bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim yang baru menyertai PAS turut diundang sebagai tetamu khas di majlis tersebut.

Kempen ini akan berlangsung selama lima bulan bermula Januari depan yang akan menjelajah ke beberapa buah negeri khususnya yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Menurut sekretariat kempen, PAS mensasarkan pertambahan 100 ribu ahli baru PAS dan kelab penyokong PAS dalam kempen tersebut. (Gambar: Ustazah Nuridah berbual-bual dengan keluarga Datuk Zahar)

 
Tinggalkan komen

Posted by di 28 Disember 2008 in POLITIK, PR Kecil K.Trg

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: