Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia , begitulah indah dan cantik nama diberi kepada ngo yang dipanggil Pekida ini . Ianya sebuah Ngo yang ditubuhkan sejak awal 80’an lagi . Kalau tidak salah ingatan saya , dulunya Pekida adalah sebuah Ngo yang aktif mengumpul ahli dalam aktiviti – aktiviti kebajikan seperti kenduri kendara , khairat kematian dan seumpamanya .
Sebagai anak peneroka , saya dapat lihat dengan jelas perkembangan Pekida yang cukup popular seketika dulu di kawasan – kawasan seperti Felda dan desa – desa tradisi . Walaupun sedari awal tidaklah nampak penglibatan mereka secara aktif memperjuangkan Islam dan kedaulatannya di negara ini berbanding Parti Islam Se Malaysia PAS atau lain – lain jamaah Islam yang wujud samaada lebih dulu atau seangkatan dengannya .
Namun Pekida dihormati sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan yang menaungi orang melayu dan menganjurkan pelbagai aktiviti sihat yang memberi kelebihan kepada masyarakat melayu muslim .
Imej Pekida Tercemar Teruk
Malangnya akhir – akhir ini , imej yang dulunya dilihat baik dan hebat telah dikotori atau dicemari oleh beberapa insiden yang membabitkan perlakuan ahli – ahli Pekida sendiri . Akhirnya kini kedengaran orang berkata Pekida adalah Mafia Melayu , Pekida adalah Kumpulan Gengster Melayu , Pekida adalah Kumpulan Penarik Kereta dan macam – macam lagi yang tidak mencerminkan nama asal Pekida iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia .
Mungkin tidak semua ahli pekida terlibat dalam aktiviti – aktiviti yang tidak sihat ini , tetapi sesuatu perlu dilakukan oleh kepimpinan Pekida agar pertubuhan Ngo ini tidak terus dilanda keruntuhan moral dan penyelewengan akhlak .
Saya melihat Pekida sewajarnya tampil sesuci dan seindah nama yang diberi . Bergabung pula dengan Ngo – Ngo lain bagi memperjuangkan Islam dan mempertahankan maruah ummah yang kini dicela dan diperlekeh oleh musuh – musuh Islam di dalam dan luar negara .
Ketika sunnah Rasulullah saw dicabar , syariat dipersenda malah ummat Islam diperkecil , kita tertanya – tanya di mana Pekida dan ahli – ahlinya ?
Pemulihan Imej Pekida
Sebagai sebuah Ngo yang mempunyai ramai ahlinya pula matang usianya , Pekida mestilah tampil dengan wajah Islam yang jelas untuk menjadi perisai kepada ummah . Tidak hanya terhad kepada majlis kenduri kendara atau khairat kematian . Sebaliknya Pekida mestilah agerasif dengan aktiviti kebajikan ummah yang melampaui sempadan ahli sendiri dan lebih penting berdiri sebaris dengan kumpulan – kumpulan Islam seperti PAS atau lainnya untuk memperjuang dan mendaulatkan Islam di atas tanahair tercinta .
Pekida sewajarnya keluar dari imej kumpulan kaki pukul , gengster , mafia dan pelbagai imej yang negatif . Ahli – ahli Pekida mestilah dididik dan diasuh atau ditarbiyyah dengan orientasi aktiviti amal Islami berpaksi kalimah at tauhid Laa Ilaha Illallah bersesuaian dengan nama yang diberi .
Apatah lagi berpijak di atas realiti , betapa ummat melayu hari ini perlu kepada asuhan dan bimbingan yang mendorong mereka mengukuhkan Iman dan Islam mendepani cabaran yang pastinya menggugat aqidah , akhlak dan pemikiran mereka .
Tidak ada gunanya Pekida dibiarkan atau digunakan sebagai platform samseng dan kaki pukul mengumpul pengaruh lalu membina empayar meluaskan kuasa jajahan agar ditakuti dan digeruni oleh lawan . Jika inilah situasinya , ia adalah sangat jelas bercanggah dengan nama indah pertubuhan ini iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia .
Aktiviti Kebajikan tidak boleh dibangunkan dengan pengaruh samseng demikian juga Dakwah tentu sahaja tidak akan berjaya melalui empayar kaki pukul .
Saya yakin , kepimpinan Pekida pasti sahaja menafikan bahawa Pekida adalah pertubuhan mafia dan samseng sebagaimana juga saya berkeyakinan penuh bahawa tidak semua ahli Pekida demikian sikap mereka . Namun maksud saya ialah Pekida mesti melakukan sesuatu untuk mengikis imej buruk yang kini bermain di setiap bibir rakyat dalam negara kita .
Saya mengesyorkan agar Pekida memprogramkan pertubuhan malah mewajibkan ahlinya dengan aktiviti – aktiviti amal Islami yang lebih aktif dan terancang seperti operasi Amar Makruf Nahi Mungkar , dakwah mengedar risalah kepada sasaran yang leka dan alpa terhadap Islam , Mendalami ilmu agama dan menyertai bengkel pembinaan syakhsiyah agar lahir sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab terhadap agama dan perjuangannya .
Kepimpinan dan anggota senior Pekida mestilah juga menampilkan qudwah yang soleh . Saya percaya , melalui perwatakan yang indah , imej yang tenang , pertuturan yang sopan , penampilan yang mulia dan kepimpinan yang berkarisma akan banyak membantu Pekida membersihkan imej sekaligus menepati ikrar mereka sesuci nama pertubuhan mereka sendiri .
Saya menyeru agar Pekida turut sama menyertai atau menyokong misi besar Parti Islam Se Malaysia PAS yang mahu mendaulatkan syariat Islam di atas tanahair tercinta ini . Melalui proses pembinaan dan pembentukan Aqidah yang sohih , Fikrah yang syumul dan Akhlak yang soleh .
Kerjasama boleh dibuat bagi melengkapkan pelan pelaksanaan misi dan visi PAS menjulang kalimah Allah swt dengan orientasi Amar Makruf dan nahi Mungkar serta dakwah yang terancang di negara kita ini .
Bayangkan , sewaktu Ngo seperti Yayasan Amal Malaysia , Unit AMAL DPP dan Muslim care turun membantu mangsa musibah seperti banjir besar , tanah runtuh , kebakaran , misi kemanusiaan ke Acheh dan kini ke Gazzah turut sama disertai oleh Ngo yang bernama Pekida ini .
Terus terang saya sebut , Pekida tidak sesuai menyokong apalagi menyertai UMNO dan BN yang sangat tebal semangat perkauman dan semangat menolak perlaksanaan syariat Islam di negara ini . Sedangkan …. apa lagi kalimah yang paling tinggi selain kalimah Laa Ilaha Illallah yang diperjuangkan oleh Pekida terdahulu dan itulah juga yang diperjuangkan oleh PAS sejak ia ditubuhkan tahun 51 .
UMNO dan BN pasti sahaja mengabaikan perkara ini sebaliknya UMNO dan BN kaya dengan pelbagai mungkar dan maksiat malah melindungi dan membajainya . Selayaknya UMNO dan BN tersenarai dalam operasi Nahi Mungkar yang mesti digerakkan oleh Pekida .
Dari segi nama sudah cukup membuatkan Pekida [ Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyyah Malaysia ] tidak layak untuk duduk sebilik dengan UMNO dan BN . Bahkan suka saya tegaskan bahawa ahli UMNO dan BN selayaknya menjadi sasaran utama dakwah Pekida untuk membimbing mereka melaksanakan tuntutan kalimah tauhid Laa Ilaha Illallah .
Ust. Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan
(Timb. Ketua Dewan Pemuda PAS Melayasia)