RSS

Awas politik perkauman – Sedang Dikitar Semula

09 Sep
http://selamatkanpahang.blogspot.com/

Mutakhir ini senario politik negara agak berserabut dengan mainan isu-isu perkauman sehingga kadang-kadang menyesakkan dada. Ironinya, ia disemarakkan sendiri oleh parti-parti dalam kepimpinan kerajaan sendiri.

Jika sebelum ini pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Tony Phua yang dijadikan sasaran kritikan terbuka, terbaru Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula yang menjadi mangsa hentaman pemimpin Umno dan pertubuhan Melayu seperti Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Kes terbaru ini bermula dengan Soi Lek menekankan kesamaan dalam peluang ekonomi semasa memberi ucapan di Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua minggu lalu. Dalam deklarasi kongres itu, beliau menyatakan bahawa parti itu berpendapat bumiputera diberikan keutamaan harga didalam sektor-sektor tertentu dengan ekonomi dianjalkan dalam tender terbuka.

Katanya, untuk membolehkan bumiputera bersaing di atas asas yang adil, MCA mencadangkan agar 30 peratus ekuiti bumiputera dikurangkan beransur-ansur dengan pengenalan harga keutamaan yang baru.

Sebelum itu Soi Lek juga menggesa supaya diperkenalkan dasar yang lebih inklusif berhubung penyertaan bukan Bumiputera dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Membaca deklarasi 12 perkara itu, beliau berkata pendekatan yang radikal ini adalah penting untuk merealisasikan seruan Perdana Menteri berteraskan konsep 1Malaysia.

Bagi Ketua Publisiti DAP Pahang, Lee Kok Yeep, 36, cadangan Soi Lek dari konvensyen partinya itu ada rasionalnya jika orang Melayu mahukan persaingan yang sihat bagi mencapai ekuiti yang disasarkan dan tidak mahu bergantung lagi kepada ‘tongkat’.
“Malangnya idea yang boleh diperdebatkan dengan matang itu telah disambut dengan ucapan-ucapan yang berbaur perkauman termasuk mengungkit pelbagai hal. Bagi saya rakyat tidak lagi selesa dengan pendekatan politik perkauman terutama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008,” katanya.

Seperti yang diketahui umum berikutan kenyataan Soi Lek itu, beliau telah mendapat kritikan keras daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi Presiden MCA itu bingkas memberi reaksi bahawa perubahan itu perlu bagi MCA jika parti itu mahu terus relevan untuk perjuangan kaum Cina dan beliau tidak akan menarik balik cadangannya itu.

Ertinya Soi Lek terpaksa melahirkan isi hati kehendak masyarakat Cina yang mahukan perubahan atau partinya tidak lagi popular di kalangan etnik tersebut.

Dalam kenyataannya yang lain beliau menyatakan bahawa MCA tidak mempertikaikan Hak Keistimewaan Orang Melayu tetapi menegaskan mana-mana parti boleh memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing-masing sebaliknya tidak mempersoalkan kedudukan orang Melayu.

Namun penjelasannya tidak meredakan kemarahan pertubuhan-pertubuhan radikal Melayu sehingga mereka membuat laporan polis dan meminta Soi Lek didakwa di bawah Akta Hasutan. Media juga tidak ketinggalan menyiarkan tulisan bersifat rasis.

Bahang perkauman tersebut melarat juga ke sekolah-sekolah apabila dua orang pengetua di Johor dan Kedah didakwa berucap dalam nada perkauman di hadapan murid-murid mereka.

“Saya nampak suasana masa ini mirip-mirip seperti senario 1987 jika tidak terkawal, sebab itu semua pihak perlu berhati-hati,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad ketika diminta mengulas perkembangan semasa berkaitan mainan isu perkauman.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu khuatir dengan ‘pertelagahan’ Muhyiddin dan Soi Lek kerana ia mengingatkan peristiwa pada tahun 1987 apabila Najib dan Lee Kim Sai cabar mencabar dalam isu perkauman tetapi akhirnya berlaku Operasi Lalang di mana akhirnya pemimpin PAS dan DAP yang disumbatkan ke dalam ISA.

Namun bekas Setiusaha Agung MAYC, Datuk Sheikh Badar Sheikh Embong, 62, tidak bersetuju dengan tindakan pertubuhan berkenaan kerana baginya menjadi hak Soi Lek untuk bercakap bagi kepentingan masyarakat Cina.

Katanya, tindakan tersebut boleh dianggap mengapi-apikan lagi suasana yang sudah sedia panas dan tidak sesuai dengan sensitiviti negara berbilang kaum.

“Negara kita telah mengamalkan sistem parti berdasarkan perkauman sejak dulu, jadi pemimpin-pemimpin parti tentulah mahu menjadi juara kepada kaum masing-masing.

“Desakan ini boleh menyebabkan Najib dalam keadaan tersepit. Adalah lebih baik pertubuhan pro-Umno ini menegur cara lain seperti meminta pemimpin BN berbincang secara dalaman demi untuk menjaga keharmonian.”

Sememangnya cara berpolitik dan sistem parti berperkauman seperti di negara ini sudah memerangkap dan menjadi amalan sejak sebelum merdeka terutama dalam BN sendiri. Pemimpin Umno akan menjadi juara Melayu, MCA juara Cina manakala MIC menjadi juara orang India kerana ketiga-tiga parti tersebut ditubuhkan di atas asas perkauman.

Sementara ini bukan kali pertama politik perkauman dimainkan. Pada tahun 1969 selepas pilihan raya umum (PRU) politik perkauman juga dimainkan sehingga tercetus tragedi 13 Mei yang tercatat sebagai sejarah hitam negara ini.

Bekas Pengarah Kebudayaan Negeri Pahang, Zainuddin Ali, 72, berpendapat mainan isu perkauman sememangnya sensitif tetapi amat mudah membangkitkan semangat seseorang tetapi perlu dikawal.

“Memang isu perkauman jika dibangkitkan mudah merangsang seseorang sebab itu sudah kebiasaan naluri. Tetapi kena ingat kita duduk dalam negara yang berbagai kaum jadi eloklah semua pihak tutup mulut.

“Dalam kes ini mungkin NGO Melayu menganggap kenyataan Presiden MCA sebagai satu ugutan, tetapi oleh kerana beliau seorang pemimpin gabungan dalam BN eloklah dibincang secara dalaman,” ujarnya.

Zainuddin yang juga merupakan cicit pahlawan Mat Kilau berkata mainan sentimen perkauman sesama dalam parti pemerintah menggambarkan kelemahan kepimpinan gabungan tersebut sendiri tidak berupaya mengawal hasutan-hasutan tersebut yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Bekas pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Burhanuddin Abdul Hamid, 54, berpendapat politik perkauman mula dicetuskan oleh Pemuda Umno sendiri apabila ketuanya Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pada satu perhimpunan pergerakan itu mencabut dan menjulang keris.
Menurut Burhanuddin peristiwa tersebut dikatakan menimbulkan kesan yang mendalam kepada kaum lain dan dipercayai antara faktor menyebabkan bukan Melayu menolak BN secara silence protest pada PRU 2008 yang lalu.

“Tetapi saya tidak menolak kemungkinan isu politik perkauman ini sengaja dibangkitkan secara terancang bagi mengalih perhatian kepada isu besar yang lain. Umpamanya berkaitan kenaikan mendadak harga barang pada masa ini, saman ekor, pretasi ekonomi negara dan sebagainya,” katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa Dewan Persuratan Malayu Pahang (DPMP) Abdul Kadir Abdul Manap, 53, pihak yang meniupkan isu perkauman sebenarnya sengaja dimainkan sebagai gerak saraf bagi kepentingan politik dan menarik undi.

“Untuk mudah popular tentulah apabila memainkan isu perkauman. Saya rasa semua pihak tahu pada PRU akan datang pengundi Melayu dominan dengan merangkumi sehingga 70 peratus pemilih. Jadi isu perkauman adalah jalan pintas untuk menarik simpati mereka,” katanya yang juga seorang pengarah filem.

Namun di sebalik semua itu kita percaya bahawa mainan politik perkauman sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa. Mungkin terdapat manfaatnya kepada kepentingan politik pihak tertentu, namun amat berisiko bagi sesebuah pembinaan negara bangsa kerana kesannya boleh mengkucar-kacirkan masyarakat sedia ada.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 9 September 2010 in BERITA PAHANG

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: