RSS

Petikan Kitab Jawi Mengenai Adab Menegur Pemimpin

24 Oct
http://sauhdibongkar.blogspot.com/
(Kitab ini dibaca dan diijazahkan kepada semua pelajar pondok Ontah Dimano oleh Tok Guru Tahful Hari. Baca dengan hati-hati sebab tiada titik dan koma.)

 

Bermula ini adalah satu kitab pada menyatakan akan adab menegur akan pemimpin ada pun pemimpin itu orang mulia-mulia jua maka menegur mereka itu tidaklah harus dengan sebarangan jika adalah salah sekali pun mereka itu bahkan jika adalah salah mereka itu besar sekali pun maka sayugialah ditegur mereka itu dengan seelok-eloknya bayugia diingat bahawa menegur akan pemimpin itu hendaklah dengan caranya dan adabnya maka ada pun adabnya dan caranya itu banyak sekali setengah daripadanya ialah hendaklah dimulakan akan tegur akan pemimpin itu dengan puji-pujian jua maka misal puji-pujian itu banyak sekali seperti katanya perkara yang dilakukan ini tidak salah juga pada pandangan hamba cuma adalah ia tidak betul sahaja atau pun dikatanya begini tidak mengapa buat salah ini jika buat salah ini adalah sekali-sekali sahaja atau tidak salah buat salah begini jika adalah buat itu untuk satu malaysia jua maka qiaslah akan lafaz puji-pujian untuk pemimpin itu mengikut kadar upaya kita jua dan sayugia hendaklah diingat puji-pujian itu hendaklah setara ia dengan makam pemimpin itu pula jika besar dia maka tinggilah pujinya dan jika kecil dia maka patut padanlah dengan kecilnya itu

begitu juga jika pemimpin itu berada ia di tengah-tengah orang banyak maka pujiannya juga hendaklah banyak dan jika tiada ia ditengah orang banyak maka cukuplah sekadarnya sahaja dan jika dibanyakkan akan puji-pujian pun adalah baik jua

maka ada pun jika mengherdik dia akan pemimpinnya itu maka salahlah dia kerana pemimpin itu sama sekali tidak layak diherdiknya seperti mengherdik dia akan kerbau yang dipeliharanya

dan lagi puji-pujian itu seperti katanya perkara ini tidak mengapa tidak berdosa kalau dibuat kerana satu malaysia atau seumpamanya

Maka jika tidak memulai ia akan dia dengan puji-pujian maka jadilah tegur itu tidak beradab dan berdosalah dia jika tidak beradab dia dengan pemimpinnya lebih-lebih pula jika pemimpinnya itu adalah wanita pertama pula

ada pun sebab mengapa isteri pemimpin itu tidak boleh diherdik dia akannya adalah kerana dia bukanlah seperti isteri-isteri orang lainnya misalnya isteri fak fandir atau isteri si luncai

maka ada pun jika menegur kita akan isteri siluncai atau isteri fak fandir maka tidak memulai kita dengan memuji-mujinya itu tidaklah bersalah jua kerana Si Luncai dan Pak Pandir itu bukanlah layak keduanya untuk dipuja-puji akan keduanya

(Edisi berikut adalah kitab jawi yang telah dimodenkan dengan titik dan koma).

Maka jika isteri selain keduanya, seperti isteri PM misalnya, atau isteri TPM atau mana-mana isteri atau isteri-isteri mana-mana satu daripada mereka, maka menegur mereka itu hendaklah dimulai dengan puji-pujian jua, tidak boleh dengan selainnya.

Dan lagi adab menegur akan pemimpin itu, hendaklah memegang ia akan tangannya sama ada kiri atau kanannya. Dan sayugia dengan tangan kanan kerana kanan itu mulia jua. Ada pun tujuan memegang akan tangan pemimpin itu hanya sanya untuk melahirkan kemesraan jua, bukan kerana selainnya.

Setelah dipegang elok-elok akan tangannya, maka berbisiklah pula di telinganya. Seelok-eloknya telinga kanan sebab kanan itu lebih mulia juga. Ada pun jika telinga kanannya pekak maka tidak mengapa berbisik ia di telinga kirinya.

Ada pun tangannya, jika ia tidak ada tangan kanannya, seperti putus ia, atau lumpuh ia, atau apa jua kerana yang dikeranakan ia akan tangannya, maka bolehlah dipegang tangan kirinya. Jika tiada tangan kiri jua, maka bolehlah dia memegang dimana-mana sahaja kecuali tempat yang geli ia akannya jika dipegangnya.

Ada pun berbisik jua ada adabnya. Janganlah berbisik itu sampai terhambur akan air liurnya kerana sayugia diingat bahawa telinga yang dibisikkan itu adalah telinga pemimpin bukan telinga siapa-siapa. Adalah tidak elok jika terkena air liur orang berbisik itu akan telinga pemimpin.

Maka ada larangan air liur terkena telinga pemimpin itu adalah kerana mulianya pemimpin itu jua.

Maka jika dipegang tangannya dan dibisikkan ke telinganya, maka tidak mengikut pemimpin itu akan teguran itu, maka memeluknya para pujangga lama berselisih pendapat mengenainya. Pendapat taifah Satu Malaysia katanya, adalah boleh peluknya kerana untuk tujuan menasihati juga. Bahkan jika peluknya itu kuat sekali pun…

… Kalau ada orang rajin boleh sambung. Lepas ini kita hantar cetak dan kita hadiahkan kepada Ketua Ulama Muda Umno untuk jadi rujukannya. Demikianlah adanya…

Posted by Zolkharnain Abidin

 
Tinggalkan komen

Posted by di 24 Oktober 2010 in PENDAPAT

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: