RSS

Kemenangan BN di Galas sudah dijangka

05 Nov

Oleh Shaharul Shafie

Apa sebenarnya yang berlaku di Galas? Pastinya Umno dan Barisan Nasional (BN) kini merayakan kemenangan mereka kerana berjaya menambah majoriti sekaligus merampas kerusi kembali tersebut dari lawan mereka iaitu PAS.

Sebelum ini, saya tidak menulis sangat mengenai apa-apa perkembangan semasa kempen di Galas mahu pun di Batu Sapi jika dibandingkan semasa pilihanraya kecil di Hulu Selangor dan Sibu kerana saya sudah menjangkakan keputusan hari ini berdasarkan faktor tertentu.

Di dalam kajian dan kerjaya, saya adalah orang yang menganalisa maklumat dan persepsi serta merekabentuk sistem maklumat sains keputusan bagi melihat kepada faktor-faktor yang sedia ada pada sesuatu perkara yang dikaji di dalam pelbagai bidang termasuklah politik.

Terus-terang saya katakan di dalam isu Galas, faktor besar dan jelas memberikan kelebihan bermakna kepada BN dan kekurangan kepada lawannya. Di sini biarlah saya huraikan sebab-sebab mengapa Galas boleh dirampas begitu sahaja oleh Umno.

Sama ada kita sedar atau pun sengaja buat tidak sedar adalah faktor Tengku Razaleigh Hamzah atau dikenali sebagai Ku Li sendiri sebagai pemimpin Umno setempat di Gua Musang. Siapa yang tidak kenal Ku Li di dalam politik negara. Ku Li sudah lama memimpin parti Umno sama ada sebagai pemimpin setempat ataupun di peringkat nasional.

Ku Li sudah menjadi ahli Parlimen sejak tahun 1969 lagi ketika Parlimen Gua Musang pernah dikenali sebagai Parlimen Kelantan Barat. Parlimen Gua Musang pula memiliki keluasan parlimen terbesar di negeri Siti Wan Kembang itu. Selain menjadi pemimpin bersifat ‘bangsawan’ di sana, beliau juga sememangnya layak dianggap pemimpin ‘feudal’ Kelantan kerana beliau adalah ahli kerabat diraja Kelantan.

Ku Li memainkan peranan besar kemenangan dan bukannya Umno

Ku Li dihormati dan disayangi oleh segenap rakyat Gua Musang. Walaupun Ku Li ditolak di peringkat nasional oleh Umno tetapi bagi Umno Gua Musang, Ku Li adalah ‘Presiden’ Umno mereka. Sudah banyak kali Umno bahagian itu sendiri mencalonkan Ku Li sebagai calon Presiden Umno ketika pencalonan untuk pemilihan Umno Pusat. Malah Gua Musang menjadi satu-satunya Umno bahagian di Malaysia yang berani mencalonkan beliau.

Walaupun pernah ‘keluar Umno lama’ dan memimpin parti baru iaitu Semangat 46, penduduk Gua Musang tetap bersama dengannya walaupun beliau bertukar baju lain. Umno ‘Baru’ tajaan Dr. Mahathir (selepas pengharaman Umno pada tahun 1988)melalui Bahagian Gua Musang terus lumpuh apabila Ku Li tidak menyertai Umno Baru dan menubuhkan Semangat 46. Bukan itu sahaja, ia lumpuh gara-gara ahli-ahli Umno ‘lama’ Gua Musang ketika itu sendiri keluar parti mengikut jejak Ku Li ke dalam Semangat 46.

Walaupun berstatus Presiden Semangat 46 ketika itu, Parlimen Gua Musang terus dipertahankan dan menjalinkan hubungan baik dengan PAS untuk membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Selain itu juga, ketiga-tiga kerusi DUN di bawah Gua Musang turut mengikut rentak dan langkah politiknya.

Tidak kira Ku Li mewakili Umno atau Semangat 46, kerusi-kerusi DUN di bawahnya iaitu Galas, Nenggiri dan Paloh tetap kekal mengikutnya. Hanya pada pilihanraya umum yang lepas, Galas terlepas ke tangan PAS gara-gara tsunami politik nasional yang menghempas badai masuk ke wilayahnya.

Bukan itu sahaja, adanya ahli-ahli Umno ketika PRU 2008 di Gua Musang tidak terkecuali daripada memberi undi tanda ‘protes BN’ kepada Pakatan Rakyat (PR) yang akhirnya menyebabkan Galas terlepas tetapi juga menyaksikan penurunan majoriti Umno-BN di parlimen Gua Musang dan di dua lagi kerusi DUN dibawahnya.

Dengan kata lain, selain dari Galas yang pernah menjadi kubu kuat Umno untuk sekian lama, maka tidak mustahil kekuatan kubu lama yang hanya diperintah orang baru tidak sampai tiga tahun boleh kembali kepada pemilik sebelumnya. Faktor kekuatan Ku Li adalah faktor utama yang sepatutnya lebih awal lagi dilihat sebagai penghalang kepada PAS bagi mengulangi nasib baik kali kedua untuk mengekalkan Galas.

Saya yakin PAS sendiri pun tahu betapa kuatnya faktor Ku Li dan sewajarnya mereka bersedia kebarangkalian kemungkinan kalah. Bukannya hendak menafikan faktor kekuatan peribadi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak kuat di sana tetapi maaf saya katakan, kekuatan Ku Li sememangnya tidak dinafikan lagi hebat di Gua Musang.

Apabila diadakan pilihanraya kecil sebegini, Ku Li pula dilantik oleh Presiden Umno sebagai Pengarah Jentera BN adalah sesuatu strategi Umno Pusat yang betul dan menguntungkan kem Umno sebenarnya. Ku Li berjaya mengemudikan jentera di sana dengan menjadikan pertandingan di sana lebih bersifat persaudaraan dan cuba mengelakkan isu-isu nasional mendominasi politik di sana sepertimana yang pernah berlaku dalam siri-siri pilihanraya kecil sebelum ini.

Perlantikan ini amat penting kerana kesemua ahli Umno dapat disatukan dan komponen-komponen BN yang lainnya di Galas untuk membentuk jentera yang kukuh dan bersepadu. Ini adalah kerana Ku Li adalah pemimpin yang diterima oleh semua komponen BN di sana.

Serangan PAS isu orang Asli ke atas Ku Li adalah satu kesilapan

Sepanjang kempen Galas, Ku Li dilihat jelas mengelakkan melakukan serangan peribadi ke atas calon lawan atau ke atas mana-mana pemimpin PAS sebagai bahan kempennya seperti pemimpin Umno yang lain. Malah, dengan bijak Ku Li berjaya menepis pertanyaan para pemberita yang sememangnya sengaja melaga-lagakan para pemimpin parti-parti bertanding semasa tempoh kempen.

Dua hari lepas, apabila Ku Li dituduh oleh Pengarah Jentera PAS Galas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai punca kepada masalah penempatan dan hak tanah orang Asli Galas pada ketika ini, Ku Li menjawab dengan jujur dan rendah dirinya tanpa menjadi defensif. Maka, adalah menjadi satu kesilapan PAS juga yang memulakan serangan peribadi yang sewajarnya dielakkan terutamanya ke atas Ku Li kerana penduduk Galas termasuklah ahli PAS Galas yang sebenarnya kawan kepada Ku Li dan mereka juga sangat sensitif dengan sebarang tuduhan ke atas Ku Li. Ini adalah hakikatnya yang sudah berlaku dan mungkin memburukkan prestasi PAS di Galas.

Strategi Ku Li yang turun padang dan redah hutan berjam-jam seharian di Hulu Kelantan (Galas merupakan kawasan DUN yang paling besar saiznya di dalam DUN Kelantan kerana 80 peratusnya adalah kawasan hutan) untuk berjumpa sendiri dengan rakyat ataupun pengundi memberi menerangkan polisi dan peranan kerajaan di dalam membantu mereka terutamanya Orang Asli akhirnya membuahkan hasil kemenangan ini.

Ku Li tidak menggunakan kempennya untuk mengutuk dasar kerajaan negeri PAS sekarang tetapi hanya menyuarakan apa yang BN boleh lakukan untuk mereka sekiranya menyokong calon BN. Tiadanya ceramah skala besar sebagai strategi Umno juga adalah satu tindakan yang dilihat betul dengan digantikan dengan pertemuan rakyat secara kelompok kecil.

Orang Asli penentu penting dengan jumlah hampir 20% pengundi Galas

Perlu diingatkan, selain daripada menjadi kawasan DUN terbesar di negeri Kelantan, Galas juga mempunyai jumlah pengundinya hampir 20 peratusnya adalah pengundi orang Asli. Peratusan itu membawa jumlah pengundi orang Asli seramai 2,000 orang.

Berdasarkan keputusan semalam, dipercayai orang Asli di DUN Galas memberikan kemenangan kira-kira 75 peratus kepada Umno dan selebihnya kepada PAS. Dengan peratusan sokongan itu kepada Umno, secara kasarnya kita melihat hampir 1,300 pengundi orang Asli (jika mengambil kira peratusan keluar mengundi bagi orang Asli sama dengan keseluruhan Galas iaitu 82%) memberikan undi kepada Umno.

Jika dilihat dengan majoriti kekalahan PAS sebanyak 1190 undi, jumlah 1,160 undi kepada Umno itu sebenarnya memberi impak yang besar. Jika PAS mampu melakukan strategi terbaik di dalam mendapatkan sokongan orang Asli di Galas, jumlah majoriti kalah mungkin boleh dikurangkan ataupun menang ke atas BN dengan majoriti yang kecil seperti di PRK Manek Urai (perlu dibantu dengan pengekalan undi pengundi Cina di Bandar Baru, Bandar Lama Gua Musang dan Pulai sekurang-kurangnya seperti Pru 2008) .

Calon bekas KESEDAR tarik penyokong kakitangan KESEDAR

Seperkara lagi yang kita perlu akur memburukkan peluang PAS di Galas ialah jumlah pegawai dan kakitangan yang bertugas di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). KESEDAR merupakan agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan pusat untuk membangunkan wilayah luar bandar yang turut merangkumi keseluruhan Galas dan majoriti daripada mereka sememangnya tinggal di kawasan bandar Gua Musang.

Gua Musang sendiri adalah bandar yang berada di dalam DUN Galas. Tidak dinafikan dengan banyak bantuan kerajaan pusat kepada kakitangan kerajaan yang turut melibatkan para kakitangan kerajaan KESEDAR sebagai agensinya, kebanyakan mereka memang cenderung untuk mengundi calon kerajaan lebih-lebih lagi, calon tajaan BN pula adalah bekas kakitangan di KESEDAR yang sememangnya dikenali oleh mereka. Selain itu, Abdul Aziz Yusuf yang pernah bertugas sebagai pegawai KESEDAR pastinya lebih mengenali Galas disebabkan kehendak pekerjaannya yang berhubung dengan rakyat.

Saya tahu ada penganalisa menganggap isu pemberian ‘zakat’ oleh Menteri Besar kepada tiga orang Asli yang memeluk Islam mungkin adalah antara punca dan juga isu pemberian wang RM250 perbelanjaan pulang kepada anak Kelantan yang berada di luar yang mengundi di Galas untuk pulang ke mengundi.

Saya tidak menafikan ada sedikit kesan tetapi tidaklah sehebat faktor kepimpinan dan personaliti Ku Li sendiri. Saya yakin sekiranya bukan Abdul Aziz yang merupakan Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang menjadi calon, sesiapa sahaja calon asalkan orang Gua Musang dan tiada masalah akhlak pasti akan menang juga jika diletakkan sebagai calon. Mungkin calon yang lain itu tidak mencapai majoriti yang besar yang diperolehi Abdul Aziz kerana beliau ada faktor KESEDAR.

Oleh itu, masalah calon PAS didakwa tidak sesuai di sini tidak wujud yang menyebabkan kekalahan PAS. Malah, PAS telah meletakkan calon yang sesuai tetapi sekali lagi tidak kena pada masa dan tempat. Namun begitu, jika dahulunya, perancangan ada menyebut PAS mungkin meletakkan calon Orang Asli, mungkin keputusan agak berbeza.

Beza PRK dan PRU kepada jentera kempen

Kenapa saya sebut tidak kena pada masa? Pilihanraya kecil dan pilihanraya umum sangat berbeza sifatnya. Banyak tumpuan boleh diberikan kepada pilihanraya kecil dengan wang ringgit, logistik dan strategi boleh dirangkakan dengan berkesan. Namun begitu, apabila berhadapan dengan pilihanraya umum, tumpuan adalah khas kepada manifesto perjuangan parti secara keseluruhan dan mengutamakan politik idea bersifat nasional di dalam kempen.

Semasa pilihanraya kecil, isu masyarakat setempat seperti kemudahan asas dan kebajikan setempat tetap menjadi strategi yang bagus untuk dibawa manakala isu nasional kurang relevan. Oleh kerana kesukaran memberi tumpuan strategik kepada kawasanlah menyebabkan Galas terlepas ke tangan PAS semasa PRU 2008. Kini, tanpa menafikan PAS mempunyai peluang untuk menang di Galas, tetapi jalan-jalan menuju mempertahankan kerusi itu adalah amat getir sekali.

Walaubagaimanapun, PR khasnya PAS perlu melihat semula seluruh aspek jentera dan usaha mereka dengan melakukan kajian semula atau post-mortem. Sebelum ini, PAS juga hampir tersungkur semasa pilihanraya kecil Manek Urai pada Julai tahun lepas. Sekali lagi, kerana pilihanraya kecil ini bersifat lokal menyebabkan seluruh tumpuan jentera seluruh negara ke atasnya.

Bukan itu sahaja, PRK Manek Urai yang menyaksikan majoriti kemenangan PAS dikurangkan sehingga 65 undi sahaja turut menjadi antara PRK yang panas dan penuh dengan episod yang ‘ganas’ dalam sejarah kempen pilihanraya negara. Tetapi ketika di Galas, boleh disifatkan sebagai kempen PRK yang paling ‘hemah’ selepas tsunami 2008.

Kalah dan menang menjadi adat dalam mana-mana pertandingan. Jika hari ini kita kalah, esok mungkin akan menang. Jika kita menang pertempuran, tidak semestinya kita menang peperangan. Ambil contoh PRK Ijok pada 28 April 2007 apabila Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR telah tewas kepada Cikgu K. Parthiban dari MIC-BN tetapi tidak sampai tempoh setahun pun, siapa sangka Khalid menang semasa PRU 2008 dan menjadi pula Menteri Besar Selangor.

Kajian semula (post-mortem) di pihak PAS dan BN

Tetapi ingatlah kajian menyeluruh perlu dilakukan bukan sahaja oleh PAS tentang kekalahannya tetapi juga oleh Umno di Gua Musang kerana memenanginya. Terlalu jauh sekali untuk mengandaikan keputusan di Galas sebagai indikasi kepada kemampuan kerajaan PAS boleh ditumbangkan oleh BN pada PRU ke 13.

Kajian boleh dilakukan oleh Umno supaya melihat perkara-perkara yang menyebabkan mereka menang dengan majoriti besar kali ini agar mereka tidak mengulangi kesilapan PRU 2004 apabila setelah memenangi dengan hebat sekali dalam sejarah pencapaian BN sehinggakan melupakan janji-janji kepada rakyat. Alamatnya BN selepas itu hampir tersungkur terus semasa PRU 2008 angkara dihukum rakyat dan ahli mereka sendiri yang protes. Nasib baiklah, ada deposit di Sabah, Sarawak dan Johor.

Terpulanglah kepada Umno selama mana mereka hendak merayakan kemenangan ini tetapi usaha kuat dan kesedaran kejayaan ini perlu disedari sebagai amanah dan bukannya ‘habuan’ daripada rakyat. Mereka boleh menganggap kemenangan ini sebagai satu motivasi di hari hadapan tetapi tetap ingatlah pada prinsip ‘kami memilih dan kamu berkhidmat sebagai Yang Berhormat’. Saya pasti Ku Li sendiri sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat sedar akan hakikat ini. Oleh kerana itulah Ku Li sendiri pun sudah bertahan menjadi pemimpin rakyat lebih 40 tahun kerana tahu kerjanya itu penuh dengan amanah.

Survival politik Ku Li dan kesan ke atas Perkasa

Sungguhpun begitu, kesan kemenangan ‘jentera’ Ku Li bakal memberi kesan kepada Umno pusat lambat-launnya. Suka atau tidak, pasti ada pemimpin pusat yang tidak senang duduk dengan kejayaan Ku Li ini. Kemenangan ini menunjukkan Ku Li adalah watak atau pelaku politik yang masih relevan sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman untuk menyumbang kepada proses ‘penyembuhan ‘ Umno dan BN.

Usaha Ku Li yang nampak tidak selari dengan kerajaan pusat mengenai isu royalti petroleum kepada negeri Kelantan adalah satu lagi isu yang disimpan oleh semua pihak sepanjang kempen Galas. Kita akan lihat sejauh mana kedudukan kerajaan pusat di dalam bertoleransi dengan ketidakselarasan dengan Ku Li ini dalam isu royalti.

Satu kesan lagi yang nampak selepas ini ialah kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (Pribumi) yang tidak menyertai PRK Galas kali ini sepertimana mereka menyertai beberapa siri PRK yang lalu dengan menyokong calon dari BN. Perkasa pastinya hilang taringnya dengan kemenangan Umno di Galas kerana selama ini Perkasa cuba menunjukkan betapa pentingnya pertubuhannya itu sebagai punca utama sokongan orang Melayu. Nampaknya, kali ini dengan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali yang masih berehat selepas pembedahan jantung perlu mencari jalan baru untuk ‘memaksa’ Umno melihat Perkasa miliknya itu mempunyai pengaruh yang besar bagi menentukan kelangsungan Umno dalam politik perdana.

……………..
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

 

Tengku Razali (Razaleigh) Atau Ku Li

Oleh: Tinta Kita

 

Tidak ramai anak muda generasi Y yang mengenali Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li. Seorang pemimpin yang pernah disanjung mulia tetapi kemudiannya dihina oleh UMNO.

 

Pernah menjadi Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Dan Perindustrian, Naib Presiden UMNO dan Presiden Parti Semangat 46, sebuah parti pembangkang yang digeruni oleh UMNO sebelum era reformasi.

Sekarang namanya berada dibibir rakyat setelah kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas Kelantan kerana Galas berada dalam Parlimen Gua Musang yang Ku Li menjadi Ahli Parlimennya sejak tahun 1974. Saya dan Ku Li berkongsi tarikh lahir dan nombor tahun kelahiran. Beliau dilahirkan pada 13hb April 1937, sekarang berusia 73 tahun dan saya dilahirkan pada 13hb April 1973, berusia 37 tahun.

Ku Li adalah nama besar dalam UMNO semasa era Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Beliau pernah menjadi pengerusi pertama Petronas. Beliaulah yang sama-sama mengubal undang-undang petroleum bersama Tun Salleh Abas. Bukan mudah mengurus sebuah syarikat petroleum pada masa itu kerana kepakaran dan kewangan negara sangat terhad. Ku Li berjaya menjadi Pengerusi Petronas yang boleh dibanggakan sehingga hari ini. Pernah Ku Li ditawarkan USD 500 juta untuk mengkhianati Petronas tetapi beliau menolaknya pada usia yang semuda Khairy Jamaluddin. Atas ketegasannya itu Ku Li telah disabotaj oleh pemimpin tertentu di Amerika yang mahu beliau dipecat daripada Petronas. Nasib Ku Li baik kerana Tun Razak mempertahankannya. Ku Li adalah tokoh kesayangan Tun Razak, bapa kepada Dato Seri Najib.

Atas kepercayaan Tun Razak, Ku Li pernah menjadi orang pertama yang membuat lawatan awal ke negara China sebelum Tun Razak mengadakan lawatan ke sana. Misi besar negara ini bagi tujuan perdagangan di samping mengendurkan tekanan komunis dalam negara. Akhirnya misi ini berjaya mewujudkan kerjasama antara Malaysia dengan kerajaan China sehingga sekarang. Lawatan Dato Seri Mohd Najib ke China baru-baru ini hanya menumpang tuah ayahnya sahaja. Ku Li juga bersamaTun Ismail Ali dan Tan Sri Raja Mohar telah berjaya membeli dua syarikat perladangan negara kita yang diperah hasilnya oleh penjajah iaitu Sime Darby dan Guthrie.

Lebih manis lagi Guthrie dibeli bukan dengan duit perbendaharaan negara tetapi duit pinjaman bank pihak tertentu. Guthrie dibeli melalui strategi belian sahamnya di bursa saham Wall Street London. Setelah Guthrie berjaya dibeli barulah ianya diserahkan untuk menjadi milik negara. Jika Ku Li mahu khianat tentunya Guthrie boleh dimilikinya secara peribadi. Penghianatan ini tentunya tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana tidak melibatkan duit negara. Cuma moral Ku Li sahaja yang mungkin boleh dipertikai oleh Tun Razak.

Dalam UMNO pula jasa Ku Li sangat besar. Tapak bangunan UMNO di Kuala Lumpur sekarang adalah asalnya milik Ku Li yang disedekahkah kepada UMNO. Semasa percaturan siapa yang sepatutnya menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah Tun Razak meninggal dunia, sikap Tun Hussein berbelah bahagi sama ada untuk melantik Tun Dr Mahathir, Tun Ghafar Baba, Ku Li atau Tan Sri Ghazali Shafie. Di saat-saat akhir sebelum pengumuman, Tun Hussein Onn merasa tidak selesa dengan Tun Dr Mahathir dan sebaliknya mahukan Ku Li sebagai Timbalannya pula. Tetapi Ku Li telah mempertahankan Tun Dr Mahathir menjadi Timbalan Perdana Menteri atas alasan beliau masih muda lagi. Kalau Ku Li mahu menjadi Perdana Menteri pada usia muda tentunya beliau boleh melebihkan sudu dari kuah untuk menonjolkan diri sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Hussein.

Seperti amalan yang dibuat oleh pemimpin muda dalam UMNO sekarang. Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO juga adalah atas usaha yang dibuat oleh Ku Li. Tun Razak telah melihat kehebatan Anwar semasa di universiti lagi, lalu meminta Ku Li melamarnya masuk UMNO. Pada awalnya Tun Mahathir tidak setuju tetapi akhirnya beliau berubah fikiran menerima Anwar. Dato Seri Anwar kemudiannya menjadi anak emas Tun Mahathir. Namun panas tidak sampai ke petang, ia berakhir dengan tuduhan liwat hingga beliau terpenjara di tangan Tun Dr Mahathir. Dunia bagaikan terbalik sekelip mata.

 

Yang menariknya Ku Li tidak pernah didakwa atau disabitkan dengan kes rasuah, walaupun setelah menjadi pembangkang di Parlimen. Rekodnya adalah bersih semasa menjadi menteri. Walaupun Tun Dr Mahathir mempunyai kuasa semasa berkrisis dengan Ku Li tetapi rekod bersih ini tidak membolehkan beliau menyabitkan Ku Li terhadap sebarang kes rasuah. Ini adalah kerana integriti yang terdapat dalam diri Ku Li. Walaupun lautan peluang untuk menjadi kaya boleh digapai olehnya sekelip mata tetapi didikan Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Tun Dr Ismail dan Tun Hussein menjadikan Ku Li mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

Tetapi malangnya semua ini tidak mempunyai sebarang nilai kepada UMNO hari ini. UMNO Baru sekarang jauh berbeza dengan UMNO yang ditubuhkan semasa tahun 1946. Integriti UMNO dahulu cerminannya adalah Tunku Abd Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr Ismail dan Ku Li. Tetapi UMNO sekarang cerminannya adalah Mohd Najib Tun Razak , Rafidah Aziz, Isa Samad, Rahim Tambi Cik, Muhammad Taib, Khir Toyo dan Dato Z. Perbezaannya umpama langit dan bumi. Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa UMNO sudah busuk sampai ke usus. Tun Musa Hitam pula berkata UMNO sudah dilanda sindrom sakit tua yang menunggu masa untuk mati sahaja. Kanser rasuah dalam UMNO sudah berada di tahap empat. Menanti masa untuk dikapan dan dikebumikan sahaja.

Individu yang mempunyai integriti seumpama Ku Li tidak sesuai duduk dalam UMNO. Ia tidak bernilai kepada UMNO. Sikap UMNO terhadap Ku Li umpama kera dapat bunga sahaja. Bertahun-tahun dihina oleh UMNO, apabila DUN Galas tiba-tiba kosong, UMNO bagaikan pungguk rindukan bulan menanti Ku Li pulang daripada bercuti di luar negara. Berpuluh-puluh orang berpura-pura menanti kepulangan Ku Li di KLIA. Kalaulah Dun Galas letak di Kota Bharu tentunya nama Ku Li sudah tenggelam bersama gua dan musang-musangnya. Buktinya semasa pilihanraya kecil Manik Urai dalam Parlimen Kuala Krai yang bersebelahan Gua Musang, nama Ku Li bagaikan tidak dihirau oleh UMNO. UMNO tersepit di Galas.

Jika tidak mendapat kerjasama daripada Ku Li maka UMNO akan menerima padah. Pilihan UMNO hanya satu sahaja, melantik Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas dan sekaligus menjadi calon. Saya menjangkakan bantuan Ku Li kepada UMNO di Galas kelak umpama menolong anjing tersepit sahaja. Jika UMNO dapat menawan Galas maka nama Najib lah yang akan disanjung. Sebaliknya jika UMNO kalah di Galas maka nama Ku Li lah yang akan dipersalahkan. Itulah hukum rimba yang ada dalam UMNO yang sudah busuk sampai ke usus.

 

Integriti yang ada pada Ku Li ini akan dihargai dalam PAS dan Pakatan Rakyat (PR). Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat pernah ditawarkan jutaan ringgit untuk meluluskan konsesi balak di Kelantan. Beliau menolaknya seperti Ku Li menolak USD500 juta semasa menjadi Pengerusi Petronas dahulu. Para perasuah dalam negara tidak tergamak mahu merasuah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang semasa menjadi Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Azizan Razak, Dato Seri Nizar Jamaluddin, Dato Sri Khalid Ibrahim dan Saudara Lim Guan Eng. Kalaulah Ku Li boleh bersama Tun Musa Hitam rakan karib kelab malam semasa mudanya dalam “Team B”, mengapa tidak boleh Ku Li bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat rakan dalam memperjuangkan royalti minyak di Kelantan.

Sudah sampai masanya Ku Li keluar daripada kepompong yang sedia ada. Membuat perubahan besar dengan penuh keberanian sebagaimana beraninya beliau mengepalai sebuah GLC sebesar Petronas semasa mudanya. Usia 73 adalah usia bonus sahaja. Ku Li sewajarnya menghabiskan sisa-sisa hidup bersama perjuangan Islam. Di sana adanya ketenangan , keberkatan dan ganjaran untuk dijadikan bekalan hidup di akhirat kelak. Inilah ujian sebenar Ku Li. Keluarlah daripada perjuangan sempit perkauman yang telah membulinya selama ini.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 5 November 2010 in PRK GALAS

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: