RSS

Bukan 2 – 0, BN kalah 5 – 8

07 Nov
http://selamatkanpahang.blogspot.com/
BN dan majlis Sukan rakyat

Akhbar lidah rasmi Umno bergendang bersorak sakan meraikan kemenangan BN di dua pilihan raya kecil (PRK)  iaitu Galas dan Batu Sapi lalu dengan segera membesarkan tulisan 2 – 0. Seolah-olah Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah mengecap kemenangan PRK sebelum ini.

Jika dinisbahkan hanya dua PRK itu, memang BN menang 2 – 0. Tetapi jangan lupa ada 13 PRK selepas PRU 2008 iaitu Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti, Batang Ai, Manek Urai, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Sibu, Galas dan Batu Sapi.

Daripada 13 PRK tersebut, BN hanya menang lima iaitu Batang Ai, Bagan Pinang, Hulu Selangor serta dua yang terbaru semalam iaitu Galas dan Batu Sapi. Sementara 8 lagi dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Untuk rekod, kemenangan BN di lima tempat itu semuanya di kawasan pinggir bandar, ulu dan jauh daripada maklumat terkini. Ertinya, kemenangan BN adalah masih dalam linkungan seperti keputusan PRU 2008.

Begitupun, sebutlah apa sahaja, keputusannya tetap telah berlaku dan pengundi telah membuat keputusan. Sebagai pendokong demokrasi kita tetap menyanjung dan menghormati keputusan yang dibuat.

Lebih lanjut, saya mendapati dua perkara menarik berdasarkan pengamatan saya melalui tulisan-tulisan pro dan kontra mengenai kemenangan BN di dua PRK ini.

Pertama, sogokan duit amat menjadi-jadi bagi membeli undi dan sudah tentu melibatkan BN kerana parti itu yang memiliki banyak wang. Duit dihulurkan dengan pelbagai cara dalam keadaan terang atau agak tersembunyi. Rata-rata mengatakan undi sudah boleh dibeli dengan wang pada ketika ini.

Apa yang menghairan lagi mendukacitakan, SPR nampak begitu tegas kononnya untuk menjayakan kelangsungan pilihan raya namun gagal segagal-gagalnya dalam membendung gejala rasuah ini. Dan ini pula bukan pertama kali tetapi telah berulang-ulang pada setiap PRK. Mungkin pihak mereka berhujah apa buktinya? Sebenarnya buktinya tidak susah jika mahu menangkap pemberi wang kerana ada wang yang disogok terang-terangan. Demikian menurut sebahagian blogger.

Itu belum lagi dikira janji ‘projek seger’ atau peruntukan yang terang-terang mencabul demokrasi, seperti digariskan oleh SPR.

Pokoknya, SPR kadang-kadang dilihat bertindak seperti sebuah komponen BN di mana begitu cepat untuk bertindak terhadap PAS jika tersiar sebarang dakwaan di media arus perdana. Namun begitu liat untuk bertindak terhadap Umno jika didakwa mengagihkan wang untuk memancing undi atau menaburkan janji projek. Begitu juga dengan peraturan-peraturan yang dicipta oleh SPR tetapi boleh dilanggar oleh parti pemerintah. Apa yang kita khuatirkan nanti ialah tanggapan mesyarakat sendiri apabila pada ketika itu mereka melihat SPR hanyalah sebagai ‘pengadil yang berat sebelah’. Bagaimana untuk menangani imej ini?

Umno/BN mungkin boleh bersorak sorai dengan kemenangan tetapi apakah nilai kemenangan yang dibeli dan dirasuah? Apakah ini natijah demokrasi? Apakah mereka seronok dengan sebuah kemenangan yang tercipta di atas kecacatan demokrasi?

Perkara kedua yang saya dapat melihat melalui analisis para blogger ialah PRU 13 semakin hampir. Ini antara lain menurut Siasahdaily, Blog-blog dan pemerhati pro-BN mendakwa BN telah memenangi semula undi bukan Melayu di Galas, sesuatu yang telah diusahakan sejak perubahan besar sokongan pengundi bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Bagi mereka jika undi Cina sudah berubah di Galas, maka simboloknya ialah undi Cina juga berubah di seluruh negara.

Pada PRU lepas, sejumlah 60% Cina telah memberikan sokongan kepada PR sementara lebih 70% India berbuat demikian. Manakala bagi orang Melayu pula, kecuali Kelantan, hanya 2.5% sahaja yang meninggalkan BN. Tsunami politik itu telah menyebabkan 4 negeri lagi selepas Kelantan, jatuh ke tangan PR. Sementara buat pertama kalinya, BN kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

Kita percaya pimpinan Umno/BN tidak selesa dengan kedudukan ini, apa lagi Najib sebagai PM yang mewarisi selepas PRU tersebut mahu menggilap imejnya yang tersendiri. Sejak itu, usaha Umno/BN ialah cuba mengembalikan sokongan bukan Melayu kepada parti itu. Maka jika dua PRK semalam dijadikan ukuran, Najib (yang kini menderita demam cengkering) mungkin sudah boleh mengorak senyuman dan mungkin sedang berkira-kira untuk mengadakan PRU pada bulan Jun tahun hadapan!

Mesejnya, PR terutamanya PAS tidak seharusnya terus-terusan dukalara dan musykil dengan kekalahan di Galas, sebaliknya mestilah bangkit untuk bekerja keras bagi memenangkan aspirasi Islam pada PRU depan.

Masanya sudah tidak lama lagi, mungkin pada Jun 2011!

Mengapa PAS gagal pertahan Galas: Analisis sahabat

Sahabat saya saudara Abdullah Abdul Karim yang berada jauh nun di luar negeri, membetulkan sedikit fakta pilihan raya kecil (PRK) yang saya tulis iaitu kedudukan sebenarnya bagi BN dan PR ialah 2-2. PR merampas Sibu dan Kuala Terengganu daripada BN. BN pula merampas Hulu Selangor(PKR) dan Galas (PAS). Manakala PRK lain semuanya mengekalkan status quo.

Terima kasih di atas penelitiannya. Dengan ini, Umno sebenarnya tidak boleh mendakwa bahawa rakyat telah berpusing balik menyokong mereka selepas PRU 2008. Sebab kedudukannya masih sama kuat dan status quonya masih sama.

Seorang lagi sahabat saya, Cikgu Azman menghantar mesej memberikan pendapat dan analisisnya berhubung kegagalan PAS mempertahan kerusi Dun Galas. Dalam PRK tersebut BN menang dengan majoriti 1,190 undi. Calon BN Abdul Aziz Yusof mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperolehi 4,,134 undi.

Sementara analisis rasmi dan hasil post-mortem belum dikeluarkan, elok juga diteliti pandangan sahabat saya yang turut serta, turun dan memerhati dari dekat PRK ini.

Hari mengundi pada hari bekerja. Ini menyebabkan tidak ramai pengundi luar yang menyokong PAS berkesempatan untuk balik mengundi.

PRK Galas dan Batu sapi diadakan serentak. Ini menyebabkan jentera PR terbahai dua. Tumpuan PKR lebih ke Batu Sapi. DAP pula terpaksa berbahagi tugas untuk berkempen. Hasilnya,tidak dapat memberi tumpuan kepada Galas. MCA memanfaatkan sepenuhnya dengan berkampung di Bandar Gua Musang. Sedangkan strategi PAS untuk menang ialah meningkatkan undi Cina.

Isu tanah dan projek mega berjaya menarik undi Cina dan Orang Asli. Kaum Cina memang dikenali mementingkan peningkatan ekonomi dalam pemilihan mereka sementara isu tanah merupakan kesedaran baru bagi Orang Asli.

Faktor aura YBM Tengku Razaleigh Hamzah juga dikenal pasti memenangkan BN di sana. Ini bermakna renungan makrifat Umno Pusat yang mahukan Ku Li sebagai Pengarah, ternyata tepat.

Hakikat yang harus diakui ialah jentera kempen PAS Gua Musang memang lemah. Seperti yang dimaklum, PAS tidak pernah menang di situ sehinggalah pada PRU 2008. Tetapi dikatakan, itupun kerana kekuatan Allahyarham Cik Hashim Sulaiman sendiri, yang mana peribadinya yang memenangkan dicampur tsunami politik ketika itu.

Penyelarasan kempen juga agak ‘berterabur’ dan lemah, biarpun petugas kempen daripada luar ramai. Sebagai bandingan, lebih kurang samalah dengan PRK Sanggang pada 2000 dulu. Iaitu jentera Kawasan lemah dan petugas luar tidak ada kerja.

Seperti biasa, media arus perdana yang boleh sampai terus ke rumah pengundi dimanupulasi sepenuhnya oleh Umno begitu juga dengan penggunaan jentera kerajaan Pusat, Sebagai contoh, JHEOA jelas bekerja untuk Umno mengawal Orang Asli.

Strategi kempen yang tidak berapa menjadi. Sebagai contoh PAS mengambil sikap ‘tidak menyentuh’ Ku Li. Apakah itu tepat? Bagaimana pula strategi Umno yang bermati-matian memburuk, memfitnah, menghentam dan mengaibkan peribadi Tuan Guru Datuk Niz Aziz sebagai sasaran?

Kempen saat akhir oleh Tan Sri Anuar Musa yang mempergunakan kejuaraan Piala Malaysia kelihatannya berjaya mempengaruhi undi orang muda yang diterjemahkan sebagai jasa Umno.

Satu lagi yang sahabat saya tidak sebut, tetapi sebenarnya saya fikir antara punca utama ialah taburan duit yang begitu jelas dan tiada kekangan.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 7 November 2010 in PRK GALAS

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: