RSS

Kerjasama PAS-DAP sebagai pelengkap menuju Putrajaya

10 Dec

Cukup unik dan menarik sekali apabila apabila wakil parti yang memiliki kerusi Dun terkecil, PAS, dipilih sebagai menteri besar. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak memerlukan masa lama untuk memecahkan tanggapan palsu terhadap keupayaan PAS untuk  memikul amanah rakyat, sekali gus membuktikan kemampuannya menerajui negeri yang berada di luar “wilayah tradisinya”.

Di Selangor, Dr Khir Toyo menggelongsor mudah, dan PAS diperlukan oleh setiap parti yang mahu membentuk kerajaan. Ada percubaan nakal daripada Umno untuk menawarkan PAS kerusi menteri besar sekiranya membentuk kerajaan campuran bersama BN di negeri termaju itu, tetapi ditolak tanpa ragu oleh parti Islam.

Di Pulau Pinang dan Kedah, menurut pandangan pemerhati politik, kerjasama PAS-DAP mungkin terjalin lebih kemas dan akrab jika masing-masing mempunyai wakil dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri. Apa pun, Lim Guan Eng dan Ustaz Azizan Abdul Razak berjaya meletakkan batu asas yang kukuh untuk perkongsian kuasa lebih mantap.

Beberapa eksperimen politik PAS, terutama dalam era kepimpinan ulama, menunjukkan kematangannya berdepan real politik di Malaysia. Misalnya seperti membentuk Majlis Perundingan Cina (CCC) terutama di Lembah Kinta, mengadakan persefahaman politik dengan parti-parti kecil seperti Nasma, SDP dan PSRM dalam Harakah Keadilan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum 1986.

Jalinan kerjasama dengan parti-parti lain kian menonjol apabila PAS mengorak langkah awal mendekati kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang digagalkan melalui taktik kotor Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan Umno, 24 April 1987.

Hasilnya terbentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menjelang pilihan raya umum 1990, yang menyebabkan Umno kalah semua kerusi di Kelantan, Dun dan Parlimen.

Kepemimpinan Ustaz Fadzil Mohd Noor juga membuka jalan terhadap gabungan politik lebih mantap dalam Barisan Alternatif pada 1999. Dan PAS sendiri juga yang membuka laluannya. Jika pada 1990, PAS memerlukan Semangat 46 sebagai “orang tengah” merapati DAP, kali ini empat parti termasuk KeADILan dan PRM berdiri sama tinggi.

Buat pertama kali, pada 24 Oktober 1999, manifesto bersama BA dilancarkan di Hotel Federal, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, keputusan Pilihan Raya Umum ke-10 itu begitu menyakitkan buat DAP, meskipun ia menghadiahkan Terengganu kepada PAS, selain mengekalkan Kelantan. PAS juga menjadi parti pembangkang terbesar di Parlimen dengan merangkul 27 kerusi, iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding 1995.

Kini, dua parti yang dahulunya dikenali sebagai berbeda kutub, sedang melakar sejarah yang cukup merisaukan BN. Komitmen aktivis PAS dan DAP terhadap perjuangan jarang dipertikai meskipun berdepan onak dan duri. Diuji keperitan dan sekarang dilambung “kesenangan”, namun kesetiaan dan istiqamah sukar digugat.

Sesungguhnya Malaysia berada di persimpangan, antara mengekalkan stail lama yang penuh kebobrokan dan merugikan rakyat, dengan pengharapan besar bagi membawa satu perubahan ke atas sistem politik yang bakal menyelamatkan dan membawa kesejahteraan.

Umno-BN terbukti tidak berupaya melakukan reformasi ke arah kebaikan, ia sekadar cuba menampung dan menampal sistem yang korup dan sudah rosak teruk. Selagi rasuah terus menanah dan membarah, khazanah negara akan terus diperkosa dan dirompak.

Teraju Putrajaya perlu diganti segera. Imej “kerajaan menanti” harus meyakinkan. Gabungan baru politik Pakatan Rakyat mesti dibebaskan daripada sebarang elemen yang meragukan.

Khususnya kerjasama PAS dan DAP, yang dilihatkan menyediakan asas sistem dua parti di negara, usah biarkan ia dilemahkan dengan pelbagai karenah dan fitnah >> AHMAD LUTFI OTHMAN

http://sanggahtoksago.blogspot.com/

 
Tinggalkan komen

Posted by di 10 Disember 2010 in POLITIK

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: