RSS

Kejatuhan Mubarak iktibar bagi BN

12 Feb

Ucapan tahniah kepada rakyat Mesir yang tidak berganjak mengadakan bantahan selama 18 hari sehingga menumbangkan Presiden Hosni Mubarak mula mencurah.

Di Malaysia, antara yang terawal berbuat demikian adalah pemimpin Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi blognya berkata rakyat Mesir berjaya memastikan Hosni Mubarak, seorang diktator yang memerintah selama 30 tahun, berundur dari tampuk pemerintahan.

“Rakyat Mesir akhirnya berjaya meruntuhkan tembok ketakutan yang selama ini mengepung mereka.

“Dihimpit kesusahan akibat kos sara hidup yang semakin melonjak, kadar pengangguran yang tinggi dan mual dengan keganasan pihak keselamatan, rakyat Mesir memilih untuk berdepan dengan aparat pemerintah yang terkenal memerintah secara kuku besi,” tulis Anwar.

Katanya, beliau berharap pengorbanan rakyat Mesir itu tidak akan disia-siakan begitu sahaja.
Pilihanraya telus, adil

“Kebangkitan ini sewajarnya disusuli dengan usaha memulihkan Perlembagaan, sistem keadilan serta pilihanraya yang adil dan telus.

“Majlis Tertinggi Tentera yang kini mengambil alih kuasa dari Mubarak sewajarnya segera mengembalikan kuasa kepada rakyat,” akhiri ucapan tahniahnya itu.

PAS juga tidak terkecuali memuji keberanian rakyat Mesir untuk memaksa Hosni Mubarak berundur.

“Tahniah rakyat Mesir, 18 hari tak berganjak akhirnya Hosni Mubarak meletakkan jawatan, berakhirnya rejim Umno Mesir,” kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di laman Twitter.

Sementara itu, lidah rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata anak muda melahirkan rasa syukur dengan kejatuhan regim Mubarak itu.

Menular seluruh dunia

Beliau mengharapkan kebangkitan rakyat menentang kezaliman menular ke seluruh dunia.

TV Selangor pula menyiarkan pandangan yang hampir senada daripada ketua pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

“Tahniah Rakyat Mesir. Tahrir Square menjadi saksi kejatuhan Hosni pemimpin yang korup dan menindas. Di Malaysia juga ada, Merdeka Square,” kata Shamsul Iskandar.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berharap tentera yang mengambil alih kuasa tidak mengkhianati amanat rakyat dan membebaskan rakyat Mesir daripada dibelenggu pemerintahan yang zalim

Namun, menurutnya pengaruh Amerika ke atas tentera Mesir masih kuat.

Beliau mempersoalkan adakah pihak tentera akan membebaskan rakyat Mesir dan dibenar memilih pemimpin mereka atau terus dibelenggu demi Israel.

“Takbir! Mubarak dijatuhkan kuasa rakyat,” katanya.

Turut menyambut kemenangan gerakan pro-demokrasi Mesir, yang dianggotai pelbagai golongan, termasuk belia, mahasiswa dan pensyarah adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Iktibar bagi BN

Katanya, sebagai warga dunia yang mencintai kebenaran, keadilan, keamanan sejagat, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah.

“Kita yakin dan berdoa rakyat Mesir akan dapat menubuhkan kerajaan yang benar-benar demokratik, bebas daripada pengaruh kuasa besar dan mengamalkan politik baru yang berasaskan pemikiran progresif demi kemajuan dan kesejahteraan semua rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Saifuddin yang juga ahli majlis tertinggi Umno berkata kejatuhan Mubarak harus memberi iktibar kepada BN.

“Ini contoh ‘kalau kita tidak berubah, kita akan rebah’, seperti yang selalu diingatkan oleh (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak. Justeru, saya menyeru semua ahli BN supaya bersungguh-sungguh dan bersegera dalam mendokong sepenuhnya transformasi politik yang telah dimulakan oleh Najib,” katanya.

Lewat malam semalam, naib presiden Mesir, Omar Suleiman dalam siaran televisyen negara itu mengumumkan Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya dengan meletakkan jawatan.

“Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar.

Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tharir dan yang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut.

Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.- mkini

 
Tinggalkan komen

Posted by di 12 Februari 2011 in BERITA DUNIA

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: