RSS

APA LAGI MODAL UMNO BN ?

02 Mar
Bas PERCUMA di Pulau Pinang dilancarkan dengan rasminya

YAB Guan Eng bersama seorang penumpang

Ucapan YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang Sempena Perasmian & Pelancaran Operasi Perkhidmatan BEST Pada 1 Mac 2011:

Selamat pagi dan tahniah kepada semua!

Hari ini sekali lagi kita telah mencatat sejarah baru di Negeri Pulau Pinang apabila Kerajaan Negeri buat julung-julung kalinya menyediakan perkhidmatan bas percuma yang melintasi Jambatan Pulau Pinang untuk mengurangkan masalah kesesakan lalulintas semasa waktu kemuncak dan mengurangkan beban kewangan para pekerja. Perkhidmatan ini disediakan khas bagi kakitangan peringkat pengurusan pertengahan yang tinggal di Seberang Perai dan bekerja di FIZ Pulau Pinang.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak-pihak yang telah membantu menjayakan projek ini. Pertama sekali, terima kasih kepada Rapid Penang yang sudi menyediakan bas dan pemandu untuk memenuhi kehendak khas ini. Tidak lupa juga kepada pihak pengurusan Sunway Carnival yang sudi menyediakan 600 petak tempat letak kereta (400 terbuka & 200 bertingkat) dengan caj RM1 untuk sebuah kereta bagi satu hari. Saya turut difahamkan bahawa Sunway Carnival turut mencetak lebih daripada 50 papan tanda sementara yang memberi hala tuju kepada pekerja kilang yang ingin mencuba perkhidmatan BEST ini.

Tidak lupa juga kepada Parisign Sdn Bhd yang telah menaja pembinaan 25 perhentian bas di FIZ 3. Setakat ini,17 perhentian bas telah siap dibina dan 8 buah akan disiapkan pada akhir bulan ini. Lagi 25 perhentian bas akan dibina di FIZ 1,2 dan 4 selepas ini. Ini telah memberikan keselesaan kepada penumpang semasa menunggu bas. Syabas kepada pasukan Kerajaan Tempatan di bawah pimpinan YB Chow Kon Yeow yang telah bertungkus lumus menjayakan projek ini sejak 2 bulan yang lalu. Ini sekali lagi membuktikan bahawa kerjasama Awam dan Swasta (iaitu PPP, Public-Private Partnership model) adalah amat relevan demi menjayakan sesuatu program.

Dalam bajet 2011 yang telah dibentangkan pada 2 Nov 2010 dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang lepas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjanji untuk mencari inisiatif kreatif dan innovatif untuk mengurangkan kesesakan lalulintas dan beban kewangan warga Pulau Pinang, khususnya golongan bawahan.

Penyediaan 16 buah bas BEST ini adalah komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menunaikan janji ini. Ia diharapkan dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di Jambatan dan jalan terutamanya semasa waktu kemuncak. Pada masa yang sama, ia dapat mengurangkan kos pengangkutan kerana tambang bas ditaja sepenuhnya untuk tempoh masa 6 bulan pertama. Setiap orang pekerja / pengguna dijangka dapat berjimat sekurang-kurangnya RM250 sebulan.

Dalam usaha untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri Hijau, kerajaan negeri juga berhasrat untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam walaupun ini melibatkan kos yang amat tinggi. Dengan pelaksanaan sistem Park and Ride, kita dapat mengurangkan lebih kurang 1000 kereta dalam perjalanan dari Seberang Perai dan kawasan perindustrian Bayan Lepas,bukan sahaja kita dapat menjimatkan penggunaan sumber asli , kita juga dapat mengurangkan pencemaran udara melalui pelepasan karbon yang diakibatkan oleh kenderaan-kenderaan. Ini adalah langkah-langkah yang amat penting bagi mengatasi masalah perubahan iklim sedunia.

Perkhidmatan BEST ini telah dibahagikan kepada 3 laluan iaitu Laluan A, Laluan B dan Laluan C. Laluan A bertumpu di kawasan FIZ 1,2 dan BLIP. Laluan B pula tertumpu di kawasan FIZ 3 manakala Laluan C adalah di kawasan FIZ 4 dan Technoplex.

Untuk menentukan masa ketibaan bas di kilang masing-masing, enam percubaan perjalanan bas (Test Run) telah diadakan sejak November 2010 sehingga 18 Februari 2011. Jadual masa BEST telah diedarkan kepada FREPENCA serta kilang-kilang di kawasan FIZ untuk edaran pengetahuan umum.

Merujuk kepada sebutharga yang dikemukakan oleh Rapid Penang, harga bulanan untuk perkhidmatan satu bas shuttle BEST adalah berjumlah RM10,000. Oleh yang demikian, kos operasi untuk 16 buah bas shuttle Bridge Express Shuttle Transit (BEST) adalah berjumlah RM160,000 sebulan.

Dengan adanya permulaan yang baik dan memberangsangkan pada pagi yang mulia ini, saya berharap agar lebih ramai penduduk Pulau Pinang akan memilih pengangkutan awam sebagai kenderaan harian mereka untuk mengurangkan kesesakan lalulintas. Sekiranya projek BEST ini mendapat sambutan yang baik, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk memperluaskannya ke bahagian-bahagian lain dalam negeri.

Kami percaya hanya dengan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan dan disambut baik di kalangan rakyat dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas dalam jangka masa panjang. Kini, Kerajaan yang berjiwa rakyat ini telah melangkah maju setapak dan sudi membelanjakan peruntukan yang banyak demi menjadikan keselesaan rakyat sebagai keutamaan serta memilih untuk memajukan pengangkutan awam.

Semoga kita akan terus bekerjasama untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang bebas daripada masalah kesesakan lalulintas!

Sekian, terima kasih.

Sumber: Mimpi Senja/bloglistpolitik

 
Tinggalkan komen

Posted by di 2 Mac 2011 in 5 NEGERI PR

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: