RSS

Perjalanan terakhir Dr Lo’Lo’

19 Jul
“IBU berpesan kepada kami adik-beradik, jangan sesekali dia dilupakan selepas ibu kembali ke rahmatullah.

“Ibu suruh ingat dia, kenang dia, terlalu banyak saat-saat bahagia kami bersama ibu, namun sekarang semua sudah tiada,” kata Fawwaz, anak kedua Allahyarhamah Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang meninggalkan kita semua 10.13 malam 17 Julai 2011, selepas bertarung dengan penyakit kanser paru-paru selama dua tahun. (Program terakhir dihadiri Dr Lo’Lo’ bersama peguam-peguam bagi membantah Rang Undang-Undang Perbadanan Kg Baru)Dr Lo’Lo’ pergi menghadap Allah Rabbul Jalil, meninggalkan suami Dr Aminuddin Hamid Karim dan empat anak. Dua lelaki dua perempuan.

Anak sulung, Mawaddah, 30, Fawwaz, 28, Sakinah, 26 dan yang bongsu Farhan, 25.

“Semalam ayah agak terkesan selepas ibu pergi, tetapi alhamdulillah, pagi ini sudah boleh terima,” Fawwaz meneruskan ceritanya kepada penulis sewaktu bertemu dengannya di Masjid al-Akram, Kampung Datuk Keramat.

Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Di sebalik kesedihan, Fawwaz meneruskan ceritanya. Sesekali beliau mengetab bibir. kelihatan air mata bergenang di kelopak mata, namun beliau cuba menahan kesedihan.

Menurutnya, sebagai ibu, Dr Lo’Lo’ banyak berhabis untuk anak-anak. Habis semua wang gajinya digunakan untuk membentuk keperibadian anak-anak supaya menjadi seorang yang unggul dari sudut akhlak dan peribadi.

“Hidup kami padat dengan tarbiyah, belajar, kem motivasi dan sebagainya,” katanya sambil tersenyum terkenangkan kisah silam sewaktu di bangku sekolah.

Namun semua kebahagian itu sudah tiada. Ibunya pergi selepas terlantar di Hospital Selayang selama dua minggu.

“Kali terakhir kami bercakap dengan ibu pada Khamis lepas (14 Julai), selepas itu ibu tidak sedarkan diri,” kata Fawwaz.

Sebelum dirujuk ke Hospital Selayang, Dr Lo’Lo’ dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama 10 hari. Kemudian dibawa pulang beberapa hari ke rumah.

Namun menurut Fawwaz, keadaan ibunya tidak berapa stabil sewaktu berada di rumah.

“Ibu kelihatan terlalu sakit, lalu kami bawa ke Hospital Selayang kerana beliau perlu diberikan sedatif (untuk mengurangkan kesakitan,” katanya.

Katanya, Dr Lo’Lo’ dikesan mengalami kanser sejak 2009.

“Pada waktu itu, mula-mula ibu batuk berdarah, kami sangkakan beliau jadi begitu kerana terlalu kuat bekerja. Ibu tidak pernah rehat sejak dipilih menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa.

“Namun selepas dibawa menjalani pemeriksaan, beliau disahkan mengidap kanser paru-paru pada stage tiga,” ceritanya.

Selepas disahkan mengalami kanser, lalu dibuat pembedahan segera membuang kanser tersebut.

“Selepas itu ibu menjalani kimoterapi, saya dapat rasakan ibu begitu sakit ketika menjalani kimoterapi. Kemudian kami dimaklumkan oleh para doktor bahawa, selepas menjalani beberapa ujian, ibu sudah bebas daripada kanser.

“Kami berasa lega dan ibu terus kembali aktif dalam kerja-kerja politik. Namun kegembiraan kami tidak lama. Keadaan ibu kembali tidak stabil pada penghujung 2010. Selepas dibuat pemeriksaan, kami dimaklumkan bahawa kanser sudah merebak,” ujarnya sugul.

Namun, Dr Lo’Lo’ tidak pernah mengenal penat lelah. Beliau tetap mahu menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen, mahupun keadaan fizikal sudah tidak mengizinkan.

Dr Lo’Lo’ terpaksa berehat di rumah. Beliau terus bertarung dengan kanser. Namun bukan simpati yang ditagihnya daripada rakan taulan, sahabat handai dan anggota keluarga yang datang mengunjung.

Dr Lo’Lo’ menyedari hayatnya tidak lama. Namun beliau tidak mahu dirundung dengan kesedihan dan ketakutan.

“Pada sesiapa sahaja yang datang, terutamanya pada pemimpin PAS, ibu akan terus beri nasihat dan bercakap mengenai masa depan Islam dan politik.

“Saya masih ingat, ibu selalu pesan kepada mereka supaya jaga anak-anak muda, dekati anak-anak muda, banyak turun padang mendekati pengundi. Beliau paling risau anak-anak muda sekarang tidak solat dan terbabit dalam gejala sosial,” kata Fawwaz.

Tidak hairanlah sebaik sahaja berita Dr Lo’Lo’ kembali kerahmatullah berbondong-bondong umat datang mengunjungi Allahyarhamah di Masjid al-Akram.

Ramainya umat yang menunaikan solat jenazah, menyamai umat Islam yang menunaikan solat Jumaat.

Dr Lo’Lo’ adalah sebutir permata, srikandi muslimah yang gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam menerusi PAS. Beliau begitu istiqamah sehingga ke akhir hayat.

Moga rohnya aman di alam barzakh. Moga beliau ditempatkan bersama pada syuhada dan solihin. Al-Fatihah.

Posted by mohdrashidi

 
Tinggalkan komen

Posted by di 19 Julai 2011 in 5 NEGERI PR

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: