RSS

Himpunan Selamat Aqidah Satu Sejarah

24 Oct
http://msomelayu.blogspot.com

HIHMPUNAN sejuta umat – mempertahankan akidah sudah selamat diadakan tanpa berlaku apa-apa kejadian buruk. Kebimbangan sesetengah pihak himpunan itu mencetuskan sesuatu yang tidak diingini tidak menjadi kenyataan. Syukur. Himpunan itu berjalan dengan lancar, aman dan penuh bersemangat membela agama.

Tidak ada elemen melata menunjukan himpunan itu menjadi agenda kepada mana-mana parti politik. Ia ada satu himpunan bebas yang dibuat atas keinsafan dan kepentingan agama. Elemen-elemen politik itu kalau pun cuba hendak ditonjolkan tetapi pihak penganjur khasnya Pengerusi bersama Mohd Azmi Abdul Hamid dan Yusri Mohamad berjaya mengawalnya.

Apakah himpunan itu berjaya atau tidak, ia subjektif. Di pihak Himpun tetap mengatakan himpunan itu berjaya dan mencapai matlamatnya untuk menghimpun umat Islam bagi menentang gejala murtad dan pemurtadan. Satu sejarah telah dicatat bahawa satu himpunan diadakan oleh Melayu Islam untuk mempertahankan akidah mereka. Majlis semalam 22 Oktober 2011 akan tercatat dalam sejarah untuk sepanjang abad ini

Manakala ada pihak lain menyinis program itu menganggap ianya sebagai gagal. Ukuran atau hujahnya ialah kepada jumlah kehadiran yang tidak sampai 10,000 sedangkan targetnya ialah 100,000 daripada 1 juta yang diimpikan. Kepada saya jumlah itu tidak perlu dijadikan ukuran sama ada himpunan itu berjaya atau tidak. Tetapi yang penting ialah objektifnya dan niat mereka yang menganjurkannya. Niat dan nawaitu itu penting dari jumlah 100,000. Kalau 100,000 hadir (seperti perlawanan bola sepak) tetapi tujuan dan niatnya tidak jelas maka ia tidak memberi apa-apa erti dan guna.

Sememangnya kalau dilihat kepada jumlah kehadiran, ia boleh dikatakan tidak mencapai sasaran. Himpunan itu memalukan bukan saja Ngo yang mengambil inisiatif mengadakannya tetapi kepada umat Islam seluruhnya. Umat Islam harus merasa aib kerana mereka gagal untuk berhimpun dengan jumlah menggerunkan bagi membela agama mereka.

Jumlah kehadiran itu akan ditertawa oleh pihak anti Islam dan menjadi penanda aras kepada mereka untuk menilai sejauh mana kekuatan dan kesatuan semangat orang Islam dalam menjaga aqidahnya. Ia akan diejek oleh mereka yang anti Islam dan anti perpaduan. Secara tidak langsung majlis itu mendedahkan kelemahan umat Islam kepada musuhnya. Salahnya siapa, salahnya kita semua yang tidak memberi iltizam sewajarnya kepada majlis berkenaan.

Sebab itu mereka yang menyinis dengan himpunan itu tetapi tidak menghadirkan diri, kepada saya satu tindakan munafik. Sebaiknya kalau tidak hadir, mereka mendiamkan diri saja kalau tidak pun merestui dan mendoakannya dari jauh. Kalau himpunan itu diadakan dengan baik membela umat dan agama, tetapi kita tidak memberi sokongan kita adalah munafik dan fasik.

Dalam penilaian saya, ada beberapa sebab dari segi jumlah kehadiran kenapa ianya itu tidak ramai atau mencapai sasaran. Kegagalan mencapai angka itu ialah kerana ketidakbijaksanaan Himpun sendiri dalam mengorganiskan majlis itu. Kesalahan ini sepatutnya difahami oleh mana Ngo bersifat bebas yang ingin mengadakan apa-apa majlis selepas ini.

Antara kesalahan itu ialah;

1. Himpun gagal membebaskan dirinya sebagai entiti bebas sehingga ia dicop sebagai alat kepada pihak lain. Tanggapan atau prejudis ini berlaku apabila ia turut sama disertai oleh beberapa Ngo yang sudah dicop sebagai alat kepada sesuatu pihak ataupun dicurigai kewujudannya. Kedatangan atau penyertaan Ngo ini membawa sial kepada himpunan berkenaan.

2. Ura-ura tiga orang makhluk yang sedang membusuk kini untuk sama memberi ucapan pada majlis itu sehingga dinafikan oleh Pengerusi Himpun, Azmi Hamid telah merosakkan reputasi Himpun. Berita mengatakan tiga makhluk itu akan hadir menyebabkan mereka yang melihat himpunan itu suci menjadi kotor dengan tiba-tiba dengan desas desus penglibatan mereka. Justru mereka yang menjadi liabiliti kepada agama dan politik harus ditohok jauh-jauh.

3. Kelemahan Himpun tidak menjemput penyertaan parti politik Melayu terbesar Umno dan Pas. Sepatutnya Himpun ikut mengundang penyertaan politik atas prinsip dan maslahat agama. Sekiranya kedua pemimpin berada di pentas himpunan itu jumlah kehadirannya atau tarikan semakin hebat kerana pengaruh politik adalah terbesar di negara ini apa lagi kalau disangkutkan dengan perjuangan untuk membela ad-din.

4. Memberi ruang kepada akhbar arus perdana untuk menjadi perantara dengan rakyat khasnya Utusan Malaysia satu kesilapan besar. Akhbar ini sudah tidak mampu lagi menjadi akhbar Penyebar Fikiran Rakyat yang telus dan setiap apa yang dilaporkan akan diragui dan mudah disangkut dengan kepentingan Umno. Sesiapa yang menempel dengan akhbar ia akan merosakan imej dan niat yang baik.

Tidak ada masalah kalau kedua pemimpin Umno dan Pas diundang secara rasmi untuk bermuzakarah dan berjumpa atas satu matlamat dan tujuan. Mereka akan hadir tanpa diragui oleh penyokong kedua pihak. Strategi ini seperti terlupa oleh Himpun menyebabkan ada orang berprangsangka ia disengajakan kerana merasakan Himpun akan mendapat sambutan hangat tanpa penglibatan badan siasah.

Perkara ini hendaklah dielakkan oleh mana-mana pihak yang ikhas dan jujur dalam menganjurkan program seumpama itu dilain kali. Seharusnya dalam soal agama, bangsa dan negara, penglibatan semua pihak tanpa mengira bentuk organisasi penting dan masalah peribadi dan kebencian kepada individu (pemimpin) tertentu kerana terikat dengan pola politik dialpakan.

Sayang badan seperti Himpun dengan isu yang cukup mencuit hati tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya. Selepas ini tidak ada lagi isu yang boleh menyatukan Melayu seperti isu murtad itu. Kegagalan Himpun memnghimpun setiap firkah dalam bangsa dan agama sesuatu yang mengilankan.

Bagaimana pun syabas diucapkan kepada Himpun kerana berjaya mengadakan himpunan itu. Program itu akan memberi signal kepada mana-mana pihak bahawa masih ada segolongan Melayu yang sedia mengumpulkan orang untuk mempertahankan agama mereka.

Apapun yang penting 10 deklarsasi yang dibuat dalam himpunan itu hendaklah menjadi kenyataan. Kalau ia hanya dibaca untuk dijadikan penawar mengubat hati tidak ada guna satu sen pun.

Sepuluh deklarasi yang dibacarakan oleh Azmi Hamid ialah:

Pertama: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di Negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang tubuh negeri.

Kedua: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yg tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam Negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Ketiga: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, hendaklah memastikan supaya Undang-Undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

Keempat: Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima: Menuntut agar sistem pendididkan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Keenam: Meminta kerajaan mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

Ketujuh: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian islam.

Kelapan: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutama ibubapa mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman islam yang syumul agar membentengi anak dan waris terdekat dengan daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.

Kesembilan:
Menggesa kerajaan supaya membantu dan mengawal aktiviti pihak media samaada media samaada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang yang ada.

Kesepuluh:
Menyeru seluruh umat islam yang hadir di perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat me mpertahankan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Di hujung catatan ini saya ingin memesan kepada orang-orang Pas khasnya jangan membuat tafsir huduh berikutan kehadiran Exco Selangor Dr Hasan Ali di upacara itu. Terimalah pengakuan beliau kehadirannya selama beberapa jam di situ adalah kehadiran atas akidah bukan atas lain-lain tujuan dan sentimen.

Setidak-tidak kehadiran Hasan dan Ketua Pemuda Pas Wilayah, Kamaruzaman Mohamad itu sebagai mewakili Pas dalam mempertahankan akidah umat. Keberadaan mereka juga menjadi bukti bahawa Pas sangat mengambil berat terhadap akidah kandatipun tidak direstui parti tetapi tetap hadir tidak seperti Umno walaupun menyokong tetapi tidak hadir. Bersangka baiklah kepada Hasan Ali kerana Allah lebih mengetahui segala-galanya. [wm.kl.10:16 am 23/10/11]

 
Tinggalkan komen

Posted by di 24 Oktober 2011 in ISU SEMASA, PENDAPAT

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: