RSS

Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) : Adakah Hak dan masa depan Peneroka Felda terjamin?

24 Oct
 1. Pada masa sekarang, kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA adalah terletak di dalam pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF). Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FGVH yang dimiliki 100% oleh FELDA.

2. FHB adalah sebuah syarikat yang maju dan berdaya saing. Pada tahun 2009 sahaja, FHB yang menumpukan perniagaannya di dalam negara melalui 47 anak-anak syarikatnya yang aktif telah mencatat perolehan (revenue) sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta.

3. Hasil daripada dividen dan bonus yang dibayar dari keuntungan FHB itu telah membolehkan KPF, selaku pemegang sahama majority di dalam FHB (51%), merekodkan perolehan sebanyak RM15.64 bilion pada tahun kewangan berakhir 2010 dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak RM766,660 juta. Kejayaan ini telah membawa kepada kejayaan KPF dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010 (kategori kluster besar).

4. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jelas menunjukkan hasil dari dividen dan bonus yang diperolehi dari keuntungan FHB telah menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan KPF selaku pemegang amanah bagi pihak ahli-ahlinya, terutama para peneroka di tanah-tanah rancangan FELDA.

5. Pada tahun 2010 sahaja, FHB telah membayar dividen sebanyak RM237.64 juta kepada KPF dan sekaligus menjadi antara penyumbang utama terhadap bayaran dividen sebanyak 15% yang diagihkan oleh KPF kepada 220,210 orang anggotanya, selain dari hasil keuntungan perniagaan yang dijalankan sendiri oleh KPF dan anak-anak syarikatnya yang lain.

6. Tidak syak lagi peneroka dan ahli keluarga peneroka adalah ‘tulang belakang KPF’ di mana keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka, ahli keluarga dan generasi kedua.

7. Manakala dari segi modal syer, peneroka merupakan pemilik kepada RM1.17 bilion nilai modal syer yang bersamaan dengan 71.83% dari keseluruhan modal syer KPF.

8. Di dalam struktur baru selepas dari pentrukturan semula dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, KPF dikatakan akan melepaskan kepentingan sebanyak 51% di dalam FHB di mana nanti FHB dan seluruh komponennya akan diletakkan di bawah FGVH dan KPF akan memegang kepentingan sebanyak 60% di dalam struktur baru FGVH ini bagi mewakili para peneroka dan kakitangan FELDA.

9. Soal pegangan KPF sebanyak 51% atau 60% sebenarnya tidaklah begitu penting sangat. PERSOALAN PALING PENTING DAN PALING MUSTAHAK UNTUK DIBERIKAN JAWAPAN IALAH : APAKAH JAMINAN BAHAWA FGVH SELEPAS DISENARAIKAN NANTI AKAN MAMPU MEMBAWA PULANGAN/KEUNTUNGAN DALAM BENTUK DIVIDEN DAN BONUS UNTUK DIBAYAR KEPADA KPF, DALAM JUMLAH YANG SAMA SEBAGAIMANA YANG MAMPU DIBAYAR OLEH FHB SEBELUM INI IAITU RM289.69 JUTA PADA TAHUN 2009 DAN RM237.64 JUTA PADA TAHUN 2010?

10. Jika FHB selama ini mempunyai track record yang baik, tetapi pada FGVH pula yang menjalankan perniagaan dan pelaburan di luar negara hanya nampak gah dari segi nama, tetapi pencapaiannya begitu mengecewakan dan memalukan.

11. Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mendedahkan bagaimana pelaburan-pelaburan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat FGVH seperti FELDA Iffco Sdn Bhd, FELDA Global Technologies melalui Twin Rivers Technologies US (TRT), FELDA Global Ventures Middle East dan FELDA Global Ventures Arabia semuanya mencatakan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat tahun 2010.

12. Persoalannya, bagaimana syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang maju dan terbukti ‘profitability’nya?

13. Tidakkah dari segi amalan kewangan dan perakaunan, FHB yang kukuh dari segi kewangannya akan terpaksa menampung dan menangggung segala macam kerugian dan masalah yang dialami oleh FGVH?

14. Jika ini berlaku, kita tak nampak bagaimana FGVH boleh memberikan pulangan yang diharapkan kepada peneroka dan apa yang boleh dicapai hasil dari penyenaraian ini.

15. Terlebih penting ialah penyenaraian FGVH akan membuka ruang kepada orang luar(bukan bumiputera) menjadi pemegang saham; sekaligus menjejaskan kepentingan hak melayu atas Felda yang wujud sejak tahun 1956. Akan ada orang luar menjadi Lembaga Pengarah yang bakal mencorakkan polisi Felda di masa depan.

16. Ianya tidak pernah di minta oleh orang luar; sebaliknya pemimpin politik melayu UMNO sendiri yang memberinya! Mana dia ikrar dan tempik sorak HIDUP MELAYU serta sumpah keramat sanggup mati demi melayu yang menjadi zikir pemimpin UMNO? Adalah jelas, pemimpin UMNO menjadi PENGKHIANAT kepada orang Melayu!

17. Penyenaraian FGVH adalah merupakan percubaan kedua yang gagal kali pertama di zaman Tun Dr Mahathir tahun 2003. Ia didalangi oleh seorang menteri kabinet. Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau membatalkan cadangan penyenaraian Felda Holding ke BSKL(kini Bursa Malaysia).

18. Perdana Menteri ketika membentangkan bajet pada 7 oktober lalu mengisytiharkan dengan bangganya bahawa peneroka akan mendapat ‘durian runtuh’ apabila FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia.

19. Anak difahamkan setiap peneroka akan mendapat saham percuma sebanyak RM15,000. Gula-gula untuk memperdaya peneroka agar bersetuju dengan penyenaraian tersebut yang kononnya bakal memberi pulangan lumayan. Inilah taktik yang sama digunakan oleh penjajah jika berdepan dengan penduduk atau menjinakkan penentangnya. Adakah pemimpin UMNO dan kuncu-kuncunya menjadi penjajah moden? Kata pelawak Nabil; LU FIKIRLAH SENDIRI!

ISU TAN SRI ISA SAMAD DAN KPF.

1. Tan Sri Isa Samad nampaknya sekarang menjadi orang yang paling berkuasa atau Maharaja di dalam FELDA. Mula-mula dilantik PM sebagai Pengerusi FELDA menggantikan Tan Sri Yusuf Nor. Untuk mendamaikan Yusuf Nor, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Yayasan FELDA.

2. Tetapi beberapa bulan lepas, Yusuf Nor telah turut ditendang dari jawatannya sebagai Pengerusi Yayasan FELDA. Pengggantinya tak lain tak bukan ialah Isa Samad. Yusuf Nor semakin tidak dipedulikan dan sekarang hanya dilantik sebagai Penasihat FELDA .

3. Selepas berjaya membolot jawatan Pengerusi FELDA dan juga Yayasan FELDA, Isa nampaknya masih tak puas hati. Beliau kemudiannya dengan penuh muslihat cuba menempatkan dirinya sebagai Pengerusi KPF dengan mengenepikan Pengarah Besar FELDA, Datuk Zulkifli Wahab yang mana memang secara tradisinya Pengarah Besar atau mana-mana kakitangan kanan FELDA akan dilantik sebagai Pengerusi KPF.

4. Hasrat penubuhan KPF pada 1980 adalah murni. Apabila FELDA mula membuka sayap perniagaannya dengan menubuhkan syarikat-syarikatnya pada tahun 1980an, maka KPF ini selaku koperasi induk kepada peneroka dan kakitangan FELDA ditugaskan untuk memegang kepentingan peneroka dan kakitangan FELDA di dalam syarikat-syarikat perniagaan yang diceburi oleh FELDA di samping KPF sendiri selaku sebuah koperasi turut bergiat dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan.

5. Kemampuan pengurusan KPF yang bebas dari campur tangan orang politik oleh kerana hanya melibatkan peneroka dan kakitangan FELDA, adalah terbukti bilamana KPF telah diisytiharkan sebagai Koperasi Terbaik di Malaysia bagi tahun 2010 (kategori Kluster Besar) dengan perolehan lebih RM15 bilion hingga mengalahkan Bank Rakyat yang menduduki tempat kedua dengan perolehan hanya disekitar RM3 bilion.

6. Keuntungan KPF ini diperolehi hasil dari pembayaran keuntungan dan dividen oleh FHB yang dimiliki sebanyak 51% oleh KPF di samping keuntungan dari perniagaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat kumpulan KPF seperti D’Saji dan juga FELDA Trading Sdn. Bhd. Hasil dari keuntungan inilah menyebabkan KPF mampu membayar dividen sebanyak 15% kepada ahli-ahlinya.

7. Hingga setakat ini, keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka, ahli keluarga dan generasi kedua.

8. Ramai melihat KPF ini sebagai lombong emas apatah lagi reputasinya sebagai sebuah koperasi terkaya di Malaysia yang ‘cash rich’. Baru-baru ini Anak dapat tahu KPF membuat pelaburan dengan membeli blok ruang komersil dan pejabat di kawasan Southgate, Sungai Besi dengan harga lebih kuran RM200 juta dengan tidak membuat sebarang pinjaman bank. Maka, tidak hairanlah KPF menjadi sasaran pihak-pihak tertentu yang ingin membolot hasil dan keuntungan KPF.

9. Cubaan melantik Isa sebagai Pengerusi KPF dipenuhi dengan tindak tanduk yang bertentangan dengan undang-undang.

10. Beliau sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya di dalam KPF adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah hanya bertaraf kontrak sedangkan Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi Ahli KPF ialah peneroka FELDA, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan FELDA yang berstatus tetap. Tetapi adalah sesuatu yang amat menghairankan apabila pada 23hb Jun 2011 (sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF bagi tahun 2011) beliau tiba-tiba telah menjadi Ahli KPF.

11. Tak sampai dua bulan selepas menjadi Ahli KPF, Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada PM iaitu Datuk Aziz telah menulis surat bertarikh 15hb Ogos 2011 kepada Isa memaklumkan bahawa PM telah bersetuju supaya Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan mengenepikan begitu sahaja Datuk Zulkifli Wahab, Pengarah Besar FELDA yang baru sahaja tak sampai dua bulan disahkan perlantikannya sebagai Pengerusi KPF di dalam Mesyuarat Agung KPF.

12. Isunya di sini : Apa kuasa PM untuk campur dalam hal-ehwal dalaman sebuah koperasi yang mempunyai undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia? Kenapa undang-undang dilanggar dengan tidak memperdulikan suara lebih 200 ribu ahli-ahli KPF untuk menentukan kepimpinan KPF yang mereka anggotai?

13. Jika Isa layak sekalipun menjadi Ahli KPF, namun perlantikan beliau sebagai Pengerusi KPF tetap melanggar peruntukan di dalam Seksyen 43 Akta Koperasi 1993 dan juga Undang-Undang Kecil KPF sendiri di mana disyaratkan mana-mana ahli sesebuah koperasi yang hendak dilantik atau dipilih sebagai Anggota Lembaga sesebuah koperasi itu hendaklah telah genap dua (2) tahun menjadi Ahli bagi koperasi itu.

14. Macamana Isa hendak menjadi Pengerusi KPF sedangkan beliau baru dua (2) bulan menjadi Ahli KPF?

15. Anak difahamkan isu perlantikan Pengerusi KPF ini dan penyingkiran Datuk Zulkifli Wahab ini sedang menjadi isu yang hangat di kalangan peneroka dan warga FELDA keseluruhannya yang majoriti besar membantah keras tindakan yang membelakangkan undang-undang ini.

16. Telah ada ahli-ahli KPF yang menyatakan hasrat akan menyaman perkara ini ke Mahkamah di sebabkan oleh tindakan kerajaan ini yang langsung tidak menghormati mereka sebagai ahli di samping membelakangkan undang-undang dan peraturan. Soalnya, apakah Kerajaan dan FELDA ingin berterusan membawa imej buruk dengan acapkali disaman di Mahkamah semata-mata kerana mepertahankan seorang individu yang jelas punya kepentingan politik?

17. Anak tahu hujah dan strategi yang digunakan untuk tetap juga melantik sebagai Pengerusi KPF ialah dengan bersandarkan kepada Seksyen 87 Akta Koperasi 1993 yang memberi kuasa kepada Menteri yang menjaga hal ehwal koperasi untuk mengecualikan mana-mana koperasi dari tertakluk di bawah mana-mana peruntukan di dalam Akta Koperasi.

18. Ini bermakna dalam kes ini Menteri boleh mengecualikan pemakaian Seksyen 43 Akta Koperasi 1993 berkaitan dengan syarat keahlian selama dua tahun untuk membolehkan seseorang itu dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi terhadap KPF bagi membolehkan Isa ditabalkan sebagai Pengerusi KPF yang baru.

19. Namun harus diingat, Menteri bukannya berkuasa mutlak untuk berbuat demikian. Dalam akta dan juga kaedah undang-undang yang biasa, mana-mana pihak berkuasa atau Menteri yang diberi kuasa seumpama ini, harus menunjukkan dan memberikan alasan yang kukuh kenapa beliau bertindak memberi pengecualian tersebut. Ini bermakna, Menteri tetap mempunyai duty to give reason sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

20. Anak telah mengiringi lebih 20 orang wakil peneroka seluruh Negara menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada 18 Oktober lalu. Beberapa orang pemegang saham KPF telah juga membuat bantahan melalui tribunal SKMM pada hari yang sama.

21. Seterusnya Anak ingin juga membangkitkan isu yang lebih menggemparkan, iaitulah sebenarnya perlantikan Isa sebagai Pengerusi KPF adalah tidak sah sama sekali dan perlu dibatalkan oleh kerana terdapat unsur-unsur jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalamnya.

22. Kenapa saya berani mengatakan begini? Untuk pengetahuan semua, menurut undang-undang KPF, daripada keseluruhan 12 orang Anggota Lembaga KPF, tiga (3) daripadanya hendaklah dipilih dari kalangan ahli KPF yang dilantik atau dinamakan oleh Lembaga Pengarah FELDA, tertakluk kepada pengesahan di dalam Mesyuarat Agung KPF.

23. Undang-Undang Kecil KPF juga menyatakan dengan jelas bahawa tiga orang ini yang dinamakan oleh Lembaga Pengarah FELDA untuk duduk di dalam Lembaga KPF hendaklah memegang jawatan sebagai Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari KPF.

24. Dari segi amalannya, kebiasaannya tiga orang ini adalah dinamakan atau dilantik dari kalangan kakitangan kanan FELDA. Sebagai contoh, pada masa ini Datuk Zulkifli Wahab selaku Pengarah Besar FELDA adalah juga Pengerusi KPF. Manakala jawatan Setiausaha dan Bendari KPF pula diisi oleh dua orang Timbalan Pengarah Besar FELDA.

25. Sebaik mendapat surat dari Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri yang bertarikh 15hb Ogos 2011 sebagaimana yang saya nyatakan di atas, Isa kemudiannya telah memanggil secara tergesa-gesa satu Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah FELDA pada 25hb Ogos 2011, iaitu beberapa hari sahaja sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kenapa tak boleh tunggu selepas Raya?

26. Bahkan nampaknya tarikh ini sengaja dipilih kerana ketika itu Pengarah Besar FELDA, Datuk Zulkifli Wahab yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA berada di Mekah untuk menunaikan Umrah. Dari sini Anak nampak bagaimana konspirasinya.

27. Perkara yang dibincangkan di dalam Meyuarat Lembaga Pengarah FELDA ini adalah supaya Lembaga Pengarah FELDA melantik Isa sebagai Pengerusi KPF atas alasan Isa telah menerima surat dari KSUSK PM yang merestui perlantikan Isa sebagai Pengerusi KPF.

28. Usul atau cadangan untuk melantik Isa menggantikan Datuk Zulkifli ini telah dibawa oleh Dr Omar Salim, Ketua Unit Kawal Selia FELDA di JPM dan disokong kuat oleh Datuk Sabri Ahmad, CEO Felda Global Ventures yang prestasinya dipertikaikan akibat kerugian besar di dalam pelaburan-pelaburan di luar negara.

29. Amat mengejutkaan sama sekali kerana sewaktu cadangan Dr Omar Salim ini dibincangkan oleh ahli mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA, Anak mendapat maklumat yang menyatakan bahawa Isa yang merupakan orang yang berkepentingan dan menjadi subjek perbincangan telah tidak keluar meninggalkan mesyuarat bahkan terus mempengerusikan Mesyuarat dalam keadaan mesyuarat itu membincangkan kedudukan peribadinya!

30. Bagaimana ahli-ahli Lembaga Pengarah FELDA hendak membincangkan secara bebas dan telus usul tersebut sekiranya tuan empunya diri turut berada dalam mesyuarat!? Takkanlah FELDA sebagai sebuah agensi kerajaan yang berprestij tidak tahu bahawa kelakuan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 2 Ordinan Darurat Kuasa-kuasa perlu No 22/1970 ?. SPRM mesti menyiasatnya!

31. Inilah yang Anak katakan bahawa perlantikan ini adalah tidak sah oleh kerana terdapat perlakuan jenayah rasuah di dalamnya.

32. Secara spesifik, terdapat empat orang pemimpin politik UMNO bertanggungjawab dan bersubahat di dalam perlakuan yang melanggar undang-undang rasuah ini iaitulah PM sendiri selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam soal FELDA, YB Datuk Ahmad Maslan yang merupakan Timbalan Menteri di JPM yang menjaga hal ehwal FELDA, YB Hamim Samuri MP Ledang yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan juga YB Datuk Ismail Mutalib MP Maran yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

33. Ini bermakna, bukan sahaja tindakan mengadakan mesyuarat ini amat tidak beretika dan berakhlak kerana diadakan secara ’serang hendap’ dalam keadaan orang yang hendak digugurkan itu berada di Makkah, bahkan yang lebih besar ialah berlakunya salah laku jenayah rasuah disebabkan Pengerusi mesyuarat yang punya kepentingan terus duduk dalam mesyuarat sewaktu agenda yang melibatkan kedudukan peribadinya dibincangkan.

34. Anak masih ingat sewaktu Isa hendak dilantik sebagai Pengerusi FELDA pada awal tahun ini (2011) menggantikan Tan Sri Yusuf Nor, dua orang tokoh terkemuka iaitu Allahyarham Prof Dr Zainal Aznam (Penasihat Bank Negara dan Ahli MTEN) dan juga Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz (CEO Maybank Investment) secara terbuka mempertikaikan perlantikan Isa atas alasan ianya akan memberi imej yang buruk di dalam pasaran akibat dari reputasi Isa yang pernah disabitkan bersalah oleh Lembaga Disisplin UMNO selepas Pemilihan UMNO 2004 akibat kesalahan rasuah politik wang hinnga Isa dibuang dari jawatan Naib Presiden UMNO dan disingkirkan dari kabinet. Anak daripada awal membantah keras perlantikan Isa dan menggerakkan kempen ‘ Katakan tidak kepada Isa Samad’. Namun ianya tidak dipedulikan langsung oleh PM.

35. Anak percaya penasihat-penasihat politik kepada PM ada memberikan nasihat berkaitan dengan Isa ini yang mana perlantikan ini jika diteruskan akan memburukkan lagi imej PM di mata rakyat. Saya percaya nasihat yang sama bukan hanya diberikan pada masa ini, tetapi juga pada ketika Isa hendak dilantik sebagai Pengerusi FELDA lebih kurang setahun yang lalu. Namun, saya hairan kenapa PM begitu takut dan menurut sahaja kehendak Isa? Apa sebenarnya yang menyebabkan PM sanggup menjadikan Isa begitu berkuasa di FELDA?

36. Justeru; menyedari dan menginsafi tindak tanduk Isa Samad dan Sabri Ahmad yang didalangi oleh PM serta Ahmad Maslan; Gerakan Mansuhkan Isa 2.0 dilancarkan di Parlimen pada 18 Oktober lalu. Kempen memungut tandatangan sedang digerakkan ke seluruh Negara. Bukan sahaja tertumpu kepada 1.6 juta warga Felda tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Siri Munajat termasuk solat hajat, taklimat dan dialog. Pengedaran risalah, info melalui blog, facebook, twitter akan dimaksimumkan. Sokongan semua pihak dalam pelbagai cara sangat di alu-alukan.

37. Memorandum kepada PM beserta tandatangan bantahan akan diserah sebelum tamat sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini. Isa Samad WAJIB dinyahkan sebagai Pengerusi Felda. Beliau memberi banyak masalah kepada warga Felda. Berilah kepercayaan kepada pemimpin yang bersih, telus dan berwibawa khususnya 10 ribu cerdik pandai anak peneroka Felda yang di umum oleh Datuk Ahmad Maslan beberapa bulan lalu. Tidak adakah yang layak menerajui Felda?

MAZLAN ALIMAN
Presiden ANAK

 
3 Komen

Posted by di 24 Oktober 2011 in ISU FELDA

 

3 responses to “Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) : Adakah Hak dan masa depan Peneroka Felda terjamin?

  1. Kassim Selamat

    26 Oktober 2011 at 1:02 AM

    Hebat juga saudar Mazlan membela nasib orang Melayu. Cuma peliknya saudara berada dalam PAS yang tidak pernah menghargai Melayu, apa tah lagi nak membela nasib Melayu. Siapa sebenarnya saudara? Pagar atau padi?

     
  2. rahim (@rahimovic)

    27 Oktober 2011 at 5:09 AM

    Untuk warga felda…hanya mereka yg tau…penat jerih… ditipu dan ditindas..org luar apakan tau..tanah bakal tergadai..atas nama saham RM15000..org asing dapat rezeki,duduk dalam pejabat di jalan gurney..percayalah sepuluh dua puluh tahun lagi akan hilang anak negeri, tanah bukan senang dicari, bayar hutang RM80000 selama ini, rupa2nya masih hak krjn negeri…

     
  3. rahim (@rahimovic)

    27 Oktober 2011 at 5:32 AM

    Rancangan jahat sembunyi2..Allah lebih baik rancanganNya di langit dan di bumi. Demi tembolok dua tiga kerat, kami sejuta enam ratus ribu kau rembat. Tunggulah doa kami diperkenan, minta di dunia Allah tunjukkan. Jika bukan didunia, disana telah tersedia, minuman zarqum pelepas dahaga. Pelecehkanlah…bila tiba saat itu..apa pun tidak berguna sudah. Wahai si bibir merah, wahai si kaya yang rendah.. bertaubatlah. Pesanan dari anak felda yang tenaganya kau perah, empat puluh tahun tanpa lelah, tak pernah kami endah, dan kami takkan pernah menyembah pada pengkhianat bedebah!

     

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: