RSS

KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR. HASAN MOHAMED ALI

13 Dec

Saya terpanggil untuk memberi ulasan mengenai dua perkara penting yang dipapar dan dimainkan di dalam media massa kebelakangan ini.Pertama, perkara mengenai penyatuan umat Islam dan Melayu seperti yang terkandung dalam salah satu akhbar media perdana.

Kedua, masalah kononnya saya digugurkan menjadi calon Dun Gombak Setia dalam PRU 13 atas dasar saya kekurangan pencalonan daripada cawangan-cawangan PAS.

Mengenai perkara yang pertama, ingin saya tegaskan di sini bahawa perpaduan dikalangan umat Islam memang merupakan tunjang perjuangan saya sebagai seorang Muslim yang beriman dengan tuntutan AlQuran dan Assunnah. Soal perpaduan ini merupakan salah satu elemen Siyasah Syar’iyyah yang saya jiwai dan cuba cernakan semenjak saya berkhidmat sebagai pegawai kerajan, sebagai motivator dan juga bila saya berkecimpung dalam dunia politik. Malah penerjunan saya ke dalam kancah politik sebahagian besarnya dipacu oleh tuntutan perpaduan ini.

Seandainya saya dilihat sebagai pemangkin kepada tercetusnya perpaduan sejati dikalangan umat Islam maka di atas dasar kesungguhan untuk menjayakan perjuangan ini, saya bersedia untuk melaksanakan peranan merealisasikan perpaduan di kalangan umat Islam dan bangsa Melayu tanpa mengira golongan mahupun wadah.

Manakala dalam isu kedua yang mengatakan saya tidak mendapat pencalonan mencukupi daripada PAS Cawangan dan Kawasan Gombak untuk bertanding di DUN Gombak Setia, saya sama sekali tidak menyalahkan YB Saari Sungip  dalam hal ini. Mungkin beliau mempunyai niat yang baik apabila memilih untuk mendedahkan perkara ini kepada pihak media secara terbuka.

Cuma saya ingin menjelaskan beberapa perkara  untuk mengelak kekeliruan berterusan.

1. Setakat yang saya ketahui memang pencalonan daripada cawangan-cawangan di ambil kira dalam menentukan pencalonan. Tetapi ada ketikanya faktor ini tidak menjadi faktor penentu kerana wujudnya pertimbangan-pertimbangan yang lain. Sebagai contoh saya sendiri ditunjuk untuk bertanding di DUN Gombak Setia pada PRU ke 12  bukan atas dasar pencalonan daripada cawangan-cawangan. Setakat yang saya ingat juga, Ketua Penerangan PAS Negeri sekarang ini yang bertanding di DUN Ulu Kelang juga tidak mengikuti proses penerimaan pencalonan daripada cawangan-cawangan di Ulu Kelang dalam PRU ke 12 yang lalu.

2. Dalam amalan biasa parti, hal-hal mengenai pencalonan perlu diputuskan oleh PAS Pusat setelah melalui proses penilaian oleh Majlis Syura Ulama. Adalah tidak sesuai sekiranya mana-mana individu bertindak untuk mendahului pimpinan tertinggi parti dalam hal ini. Saya berharap pimpinan tertinggi parti dapat memantau ahli dan pimpinan di berbagai peringkat agar tidak membuat sebarang kenyataan yang mendahului pimpinan tertinggi parti demi menjaga keutuhan dan wibawa parti.

3. Saya juga musykil dengan kenyataan yang dikeluarkan mengenai pencalonan ini lantaran ianya disebarkan melalui media bertepatan dengan suasana dan keadaan di mana seorang pemimpin PAS menerima pengiktirafan dan perhargaan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Saya khuatir pelbagai kesimpulan dan andaian boleh dibuat berikutan dengan wujudnya satu kebetulan ini.

Sebagai kesimpulan, sukacita saya maklumkan pendirian saya tidak pernah berubah dalam hal mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja. Samada saya di calon atau tidak, itu tidak menjadi halangan bagi saya bahkan isu ini menjadikan semangat saya lebih kental untuk terus berjuang. Saya yakin ramai yang memahami, menjiwai dan akan terus bersama-sama dengan saya untuk meneruskan agenda perjuangan ini.

InsyaAllah dengan izin Allah SWT saya akan terus beristiqamah di atas landasan ini dan sentiasa berdoa kepada Alah SWT agar saya dan teman-teman sering berada di jalan yang lurus. 

YB Dato Dr. Hasan Mohamed Ali

Tarikh : 12 DISEMBER, 2011

Jerat UMNO, Utusan untuk Hasan Ali

Setelah perhimpunan agung UMNO puas memaki dan memfitnah DAP, kini lidah rasmi parti itu Utusan Malaysia kembali memasang jerat “percintaan” di antara PAS dan UMNO. Isu yang dibangkitkan adalah pemimpin PAS Selangor Hasan Ali yang diketahui umum berbeza pandangan dalam beberapa perkara melibatkan pelaksanaan dasar kerajaan negeri Selangor.

Perbezaan pendapat

Walau pun perbezaan pendirian itu tidak bermakna prinsip perjuangan politik beliau sudah berubah, Utusan melalui kolum “Cuit” tulisan pengarang kanannya Zaini Hasan, sengaja membangkitkan pergeseran politik di antara Hasan Ali yang juga EXCO kerajaan negeri Selangor dan beberapa tokoh politik Pakatan Rakyat.Perbezaan pendapat dalam proses pelaksanaan sesuatu agenda sebenarnya indikasi politik yang demokratik. Mungkin itu sesuatu yang tidak akan difahami oleh Utusan Malaysia yang menganut ajaran ketuanan satu kaum.

Sedangkan jika Utusan dan pengarang kanannya membuka mata, mereka akan melihat perbezaan pendapat di antara Presiden UMNO Najib Razak dan tokoh besar UMNO Tengku Razaleigh Hamzah dalam banyak perkara.

Perbezaan mereka begitu ketara sehingga Ku Li menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) untuk bersuara kerana ruang untuk meluahkan pandangan semakin sempit dalam parti itu.

Adakah ini bermakna Ku Li membenci UMNO yang didokongnya sekian lama dan mahu keluar dari UMNO?

UMNO memancing Hasan Ali

Memancing Hasan Ali agar segera melompat ke dalam UMNO dalam persiapan Barisan Nasional untuk menawan kembali Selangor pada pilihan raya yang akan datang, hanya akan merosakkan imej pemimpin PAS itu sendiri secara peribadi.

Malah ia tidak membawa apa-apa makna kepada UMNO kerana parti itu sangat menolak pelaksanaan hukum hudud sedangkan Hasan mendukung hudud. Bukankah itu sangat hipokrit kepada kedua-dua belah pihak?

Strategi murahan pengarang kanan Utusan itu tidak menunjukkan sikap politik yang bijak. Tetapi apalah yang diharapkan sangat daripada lidah rasmi UMNO itu. Seperti mana UMNO sekarang, Utusan hari ini bukan lagi suara perjuangan umat Melayu menentang Malayan Union pada 1946 atau menuntut Merdeka pada 1957.

Hasan sebagai pemimpin PAS bukanlah ahli politik yang mudah gelap mata dengan tawaran wang, jawatan atau gelaran sebagai hero Melayu di Selangor. Rakyat di Selangor tahu bahawa beliau tidak bercita-cita untuk menjadi wira, apatah lagi hero buatan UMNO.

Malah beliau sendiri pernah menuturkan bahawa perjuangannya hanya untuk mengharapkan keredhaan Allah dan balasan syurga.

Erti gelaran hero

Apalah sangat gelaran hero UMNO ini. Malah kita pelik, mana dia hero Melayu dari parti UMNO yang sebelum ini diwarwarkan sebagai yang paling hebat di Selangor? Senator Ezam Mohd Noor sudah tidak bertenaga lagikah? Atau Noh Omar sudah karamkah?

Maka tidak perlulah Utusan bersusah payah untuk memancing Hasan Ali menyeberangi ke kapal UMNO yang hendak karam itu. Hasan lebih sedar bahawa jika UMNO menang sekali pun di Selangor, tiada apa-apa yang UMNO janji dan berani lakukan kecuali hanya “janji-janji manis” yang biasa dituturkan sepanjang zaman.

Sekali pun Hasan Ali mempunyai pengaruh besar di Selangor, kita yakin beliau lebih redha jika gelaran hero yang ingin Utusan nobatkan itu datangnya dari rakyat Selangor sendiri.

Tiada apa-apa harga gelaran hero yang diberi oleh Utusan. Ia lebih merupakan jerat terhadap Hasan.

Jika Sultan Selangor mengurniakan anugerah kepada Hasan Ali, ia adalah pengiktirafan kepada PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Tentunya rakyat Selangor gembira dengan pengiktirafan diraja untuk pemimpin kerajaan negeri Pakatan Selangor.

*Tulisan ini dipetik dari Roketkini.com.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 13 Disember 2011 in 5 NEGERI PR

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: