RSS

Antara Haji dan Pilihanraya, antara jenazah Nabi dan melantik Khalifah

20 Jun

http://albangi.wordpress.com

Dalam sejarah pilihanraya umum (PRU) di Malaysia, Tun Mahathir pernah mengadakan PRU bagi memastikan BN menang mudah kerana orang Melayu Islam, samada penyokong PAS atau BN, tiada di Malaysia untuk menunaikan haji.

Pada ketika itu suasana politik di zaman Tun M memang memihak kepada BN-UMNO. Maka BN-UMNO tidak perlu kepada undi Melayu dari UMNO untuk menang dan memadai mendapat undi dari bukan Melayu untuk BN. Manakala di pihak PAS pula, bilangan pengundi Melayu Islam yang sokong PAS pastinya amat berkurangan. Akhirnya keputusan PRU memihak kepada BN dengan majoriti besar.

Walaubagaimana pun suasana politik hari ini agak berbeza  dengan zaman Tun M sebagai PM. BN-UMNO belum tentu boleh menang jika tektik yang sama dilakukan kali ini oleh PM Najib kerana trend pengundi Cina dan India sudah amat berubah. Kalau PRU dibuat musim haji sekalipun, belum tentu pengundi bukan Melayu akan mengundi BN. Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 membuktikan undi Cina sudah beralih kepada PR, suatu kejutan yang luar biasa.

Foto dibawah menunjukkan belum pernah dalam sejarah politik tanahair, orang Cina, India, Punjabi dan bumiputera bukan Islam menghadiri ceramah dan program PAS secara terbuka, beramai-ramai, dan membawa bendera PAS di sana sini. Jelas bahawa fenomena ini tidak wujud di zaman Tun M dan Pak Lah tetapi wujud di zaman PM Najib.

Jika BN-UMNO mahu berjudi dengan fenomena baru ini, silakan. Rakyat Malaysia ingin melihat jika kerajaan Malaysia yang didominasi oleh BN-UMNO berani mengulang tektik kotor ini iaitu mengadakan PRU dalam musim haji.

Polemik mana lebih penting antara tunai haji atau mengundi untuk memilih pemimpin boleh dilihat dari 2 aspek:

Pertama, musim haji telah ditetapkan oleh agama Islam. Maka ia tidak boleh diubah. Pemimpin BN khususnya UMNO bukan tidak tahu tentang waktu musim haji,  dan apabila BN mengadakan PRU dalam musim haji, maka ia adalah satu pengkhianatan terhadap Islam dan ummah sedangkan waktu untuk mengadakan PRU boleh diubah tarikh berbanding dengan waktu musim haji.

Kedua, semasa Nabi Muhammad s.a.w. wafat, jenazah baginda yang mulia hanya diuruskan oleh Syaidna Ali dan beberapa orang sahabat, manakala sahabat Nabi yang ramai termasuk Syaidina Abu Bakar, Syaidina Omar, Syaidina Othman, dan lain-lain bermesyuarat bagi melantik ketua atau Khalifah untuk umat Islam di bumi Arab.

Meskipun janazah Nabi yang mulia itu penting, tetapi urusan negara dan menentukan kepimpinan negara juga penting kerana ia melibatkan maslahah yang berganda besar dan melibatkan bilangan manusia yang ramai serta melangkau geografi. Dalam ertikata lain memberi perhatian dalam menentukan kepimpinan negara termasuk dalam mengundi pemimpin dalam PRU adalah suatu tuntutan iman dan besar impaknya dalam Islam.

Maka kita dapati  di dalam seerah Nabawiyyah, mengambil tahu tentang urusan orang Islam adalah satu tuntutan iman.

مَن لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْر المُسلمين فَلَيْسَ مِنْهم
Sabda Rasulullah SAW : ”Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia sebahagian daripada mereka.” Riwayat Thabarani di dalam ( المعجم الأوسط ) dan Hakim di dalam ( المستدرك ) daripada Huzaifah r.a.

Dalam hal PRU di Malaysia,  Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan PAS hanya meminta calon, wakil calon dan petugas penting PAS supaya menangguhkan ibadah haji mereka jika PRU akan diadakan dalam musim haji. http://www.selangorku.com/?p=9496

Tetapi pimpinan UMNO dan talibarut barut UMNO termasuk akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian menyatakan PAS menghalang orang Islam pergi menunaikan haji kerana pilihanraya lebih penting!

Inilah fitnah dan kemungkaran UMNO dan pimpinannya dalam 2 perkara besar: pertama, mengadakan PRU dalam musim haji sebagai tanda tidak hormat kepada umat Islam dan kedua mengelirukan ummah dengan fahaman sekular iaitu memisahkan urusan agama dari urusan bernegara. As-Syeikh Mustafa Sobri, Mufti di zaman Khailifah Othmaniyyah mengatakan, jalan yang paling dekat menuju ke arah murtad ialah memisahkan agama dari urusan bernegara.

Baca petikan ini mengenai urusan janazah Nabi s.a.w. dan urusan melantik Khalifah yang berlaku pada hari yang sama  http://aki2004.wordpress.com/2009/03/04/perlantikan-sayyidina-abu-bakar/

erlantikan khalifah merupakan sesuatu urusan yang penting dalam menjaga agama kestabilan dalam mentadbir urusan dunia. Oleh itu kita dapat lihat bagaimana para sahabat sanggup meninggalkan jenazah Rasulullah s.a.w untuk diuruskan oleh kaum keluarga baginda manakala ramai para sahabat berhambatan menuju ke Saqifah Bani Saadah bagi menyelesaikan beberapa pertikaian berhubung masalah perlantikan khalifah Rasulullah s.a.w dalam memimpin umat Islam dan negara. Perjumpaan tergempar ini telah diadakan di rumah seorang pemimpin kaum khazraj iaitu Saad bin Ubadah.

Kaum Ansar begitu pantas dalam menangani masalah perlantikan khalifah yang baru di mana mereka mencadangkan agar Saad bin Ubadah dilantik menjadi khalifah. Mereka mengakui bahawa beliau merupakan seorang yang layak bagi memikul amanah yang berat ini memandangkan beliau merupakan seorang yang banyak berbakti kepada Rasulullah s.a.w, bijak dalam pengurusan, seorang yang terkenal serta pernah ditugaskan menjaga kota Madinah sewaktu ekspedisi ke Abwa’. Malah beliau diriwayatkan orang yang layak dan terpilih dalam memimpin Madinah jika Rasulullah s.a.w tidak berhijrah ke Madinah sebelum ini.

Pertemuan ini diadakan di Saqifah Bani Saadah iaitu dewan mesyuarat yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi. Pada mulanya perhimpunan ini tidak diketahui oleh kaum keluarga nabi dan tokoh Quraisy sehinggalah ada 2 orang sahabat datang memberitahu bahawa adanya suatu perhimpunan penting di situ. Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar bergegas ke sana dan mendapati keputusan perlantikan belum dibuat disebabkan timbulnya pertikaian di kalangan kaum Aus seramai 70 orang yang tidak bersetuju dengan perlantikan Saad bin Ubadah daripada kaum Khazraj sebagai khalifah.

Kriteria terbaik dalam melantik khalifah

Pelbagai pandangan dilontarkan bersama dengan hujah masing-masing di mana antara cadangan ialah agar perlantikan khalifah di pilih daripada kalangan Ansar memandangkan merekalah anak tempatan yag memberi perlindungan dan bantuan kepada Rasulullah s.a.w dan para muhajirin yang datang dari Mekah.

Manakala Sayyidina Abu Bakar pula mengesyorkan agar jawatan khalifah ini diberikan kepada orang Quraisy berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Khalifah hendaklah dipilih daripada kaum Quraisy yakni muhajirin. Di samping itu alasan Sayyidina Abu Bakar lagi bahawa kaum Muhajirin merupakan golongan pertama memeluk Islam tanpa menafikan bakti dan segala jasa yang telah dihulurkan oleh golongan Ansar dari kaum Aus dan Khazraj. Beliau menambah lagi bahawa jika jawatan itu diserahkan kepada golongan Ansar maka ia akan memberi kesan yang negatif kepada masyarakat Islam kerana golongan Ansar terdiri daripada dua suku kaum yang terbesar dan terpengaruh di mana sudah pastinya akan timbul peristiwa perpecahan antara keduanya sebagaimana sebelum kedatangan Islam disebabkan tidak puas hati dengan perlantikan salah satu daripada kedua kaum tersebut sebagai khalifah.

Mendengar penjelasan Sayyidina Abu Bakar lalu Hubab bin al-Munzir dari kaum Khazraj bangun mencadangkan agar dua orang khalifah dilantik iaitu seorang daripada golongan Muhajirin dan seorang lagi daripada golongan Ansar. Sayyidina Umar menolak cadangan ini kerana dua orang ketua tidak boleh memimpin dan mentadbir sebuah negara di mana perselisihan faham antara keduanya sering berlaku yang membawa kepada keruntuhan negara.

Baiah di atas perlantikan Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah

Pertikaian menjadi bertambah hangat sehinggalah Sayyidina Abu Bakar tampil menenangkan suasana dan menyejukkan perasaan golongan Ansar dengan kata-katanya : Kami adalah Umara’ (ketua) dan kalian adalah Wuzara’(menteri pembantu). Kata-katanya ini disokong oleh Saad bin Ubadah dan kemudiannya Sayyidina Abu Bakar memberikan nama cadangannya iaitu Sayyidina Umar dan abu Ubaidah bin al-Jarrah sebagai calon untuk dilantik sebagai khalifah. Walau bagaimanapun Sayyidina Umar dengan pantas mengangkat tangan Sayyidina Abu Bakar dan membaiahnya atau janji setia terhadap perlantikan Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah.

Beliau telah berkata : ” Demi Allah! aku lebih suka dibawa ke hadapan lalu ditebas leherku tanpa dosa daripada diangkat sebagai pemimpin suatu kaum di mana terdapat Abu Bakar”. Setelah mendengar kata-kata Sayyidina Umar lalu semua yang hadir terus membaiah Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah tanpa pertikaian lagi termasuk Saad bin Ubadah.

Kontroversi yang ditimbul di atas perlantikan Sayyidina Abu Bakar

Antara kontroversi yang ditimbulkan dalam perlantikan Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah ialah ketidakhadiran Sayyidina Ali dan keluarga Rasulullah s.a.w yang lain. Ada fakta yang menyatakan bahawa Sayyidina Ali memberi baiah kepada Sayyidina Abu Bakar selepas enam bulan beliau menjawat jawatan Khalifah. Kegagalan Sayyidina Ali untuk turut hadir dalam pertemuan di Bani Saqifah kerana kesibukan dalam menguruskan jenazah Rasulullah s.a.w dan setelah itu beliau terpaksa pula menjaga isterinya Sayidatina Fatimah yang merupakan puteri Rasulullah s.a.w yang sakit tenat. Selepas kematian Siti Fatimah barulah Sayyidina Ali memberi baiah kepada Sayyidina Abu Bakar.

—–

Baca lagi

 
Tinggalkan komen

Posted by di 20 Jun 2012 in 5 NEGERI PR

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: