RSS

Abdul Shukur Harun Sangsi Wibawa Presiden?

28 Nov
Oleh: Haji Khair Mutanazzar bin Ismail.
Muktamar kali ke 58 yang diadakan oleh PAS baru-baru ini telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. Pelbagai isu telah dibangkitkan oleh perwakilan sebagai muhasabah kepada seluruh ahli dan kepimpinan bagi memantapkan parti, apatah lagi dalam persiapan untuk mendepani Pilihanraya Umum yang boleh berlaku bila-bila masa daripada sekarang.
Syabas dan tahniah kepada semua pembahas yang telah berjaya menjadikan muktamar kali ini hidup dan segar. Cadangan, usul dan teguran menjadi rempah ratus yang mengenakkan telinga apabila mendengarnya. Garam dan gula diletakkan secukup rasa bagi memastikan perjalanan PAS pada masa akan datang tidak terhalang dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran.

Pun begitu, masih ada lagi pengkritik seumpama Pak Shukur yang menyatakan bahawa pembahas ucapan dasar Presiden belum sampai ke tahap yang tinggi dan diharapkan. Mungkin beliau hanya ingin memenuhi seleranya dan fikrah yang dibawa tanpa memperdulikan apa kehendak perwakilan. Para perwakilan sangat teruja mendengar ucapan perbahasan yang dibuat. Bahkan apabila mereka diminta bangun memberikan sokongan, mereka bangkit tanpa lengah menunjukkan tanda sokongan terhadap perbahasan yang dibuat.

Nampaknya pengkritik lebih rela menongkah arus berbanding untuk melihat secara positif setiap tutur kata yang dikeluarkan oleh para pembahas. Apa pun, kritikan yang diberi tidaklah ditolak mentah-mentah. Ia akan tetap dinilai oleh khalayak pembaca sama ada untuk menerimanya atau pun tidak.

Antara isu yang dibangkitkan dalam muktamar baru-baru ini ialah isu cadangan perlantikan Perdana Menteri oleh perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang. Presiden PAS dicadangkan untuk memegang jawatan tersebut atas dasar kredibiliti dan karisma yang ditunjukkan untuk memerintah Malaysia. Usaha perlu dibuat untuk meyakinkan masyarakat dan pimpinan Pakatan Rakyat agar cadangan ini diterima. Sebagai seorang yang alim dalam agama dan mempunyai pengalaman yang banyak, sudah pasti hasrat untuk membawa Malaysia ke arah kegemilangan dan kecemerlangan dapat dicapai.

Apa yang pelik ialah Pak Shukur sendiri yang memandang sinis terhadap cadangan tersebut. Ia dikatakan akan memberikan implikasi negatif kepada Pakatan Rakyat yang sedang giat bersiap untuk berdepan dengan UMNO-BN dalam pilihanraya akan datang. Ia dilihat akan menjejaskan sokongan pelbagai kaum yang akan memberikan undi mereka dalam pilihanraya akan datang.

Atas tujuan apakah kritikan negatif ini diberikan apatah lagi datang daripada seorang ahli PAS sendiri. Kenyataan seperti ini tidak patut keluar daripada mulut seorang ahli PAS. Walaupun dinyatakan bahawa semua ahli PAS menyayangi Presidennya tetapi kenyataan seumpama ini jelas menggambarkan keraguan terhadap kewibawaan Presiden.

Tidak ada asas yang konkrit untuk mengaitkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat akan berkurangan dengan cadangan untuk melantik Presiden PAS sebagai Perdana Menteri. Ini kerana tidak ada kenyataan rasmi daripada Pakatan Rakyat bahawa mereka telah sepakat untuk melantik mana-mana pimpinan sebagai Perdana Menteri. Jika ada pun, ia hanyalah pandangan peribadi, bukannya kenyataan rasmi. Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam reaksinya terhadap cadangan tersebut mengatakan bahawa ia boleh dibincang.
Bagi pihak PAS sendiri pula sama ada Jawatankuasa Kerja mahupun Majlis Syura Ulamak tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini walaupun ada orang yang mendakwa demikian.

Ini membawa maksud bahawa calon Perdana Menteri selepas pilihanraya umum nanti jika dimenangi oleh Pakatan Rakyat masih terbuka kepada semua. Justeru, tidak salah untuk dicadangkan Presiden PAS untuk memegang jawatan tersebut.

Walaubagaimana pun, sama ada cadangan ini diterima atau tidak akan diputuskan selepas pilihan raya nanti. Sekurang-kurangnya cadangan ini akan memberi mesej yang jelas kepada rakyat bahawa PAS menawarkan Presidennya sebagaimana juga parti yang lain. Ada pun jika PAS tidak berjaya memenangi kerusi yang banyak dan majoriti sehingga tidak mampu melantik Presidennya, maka ia perlu diterima kerana kita menerima konsep demokrasi berparlimen di negara ini.

Sebenarnya, cadangan ini tidak ada apa yang merugikan Pakatan Rakyat kerana ia akan menaikkan moral dan semangat petugas PAS untuk bekerja lebih keras bagi memenangkan gabungan tersebut dalam pilihanraya akan datang. Ini kerana para petugas yang sayangkan PAS mengetahui bahawa Presidennya juga adalah antara calon untuk memegang jawatan Perdana Menteri. Ia adalah impian ahli PAS yang sejati. Tetapi jika sebaliknya, ia akan melemahkan motivasi mereka. Kemungkinan ada yang beranggapan bahawa tidak perlu bekerja kuat dalam pilihan raya kerana yang akan akan memegang jawatan itu nanti adalah orang lain, bukannya daripada PAS. Presiden PAS tak termasuk dalam calon untuk memegang jawatan tersebut.

Ada pun media yang dikuasai UMNO-BN mengeksploitasikan isu ini, ia adalah perkara yang tidak pelik. UMNO-BN memang sentiasa daripada dahulu lagi berusaha untuk melagakan antara pimpinan Pakatan Rakyat. Kalu bukan kerana isu ini, isu-isu yang lain akan digunakan untuk tujuan tersebut. Mereka akan sentiasa mencari isu untuk membina persepsi yang buruk walaupun perkara itu adalah baik untuk Pakatan Rakyat.

Apa yang pelik sebenarnya ialah ahli PAS sendiri yang tidak yakin terhadap pimpinannya dan memandang negatif tentang perkara yang baik ini. Ahli yang sangsi terhadap Presidennya seperti Pak Shukur tak layak untuk menulis dan menjadi editor bagi lidah rasmi PAS iaitu Harakah.

Penulis adalah Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

 
Tinggalkan komen

Posted by di 28 November 2012 in Penerangan Pusat

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: