RSS

Kepimpinan Ulamak Menurut Perspektif Islam

10 Dec

Oleh: Ustaz Haji Azhar bin Yahya, Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat)

tn_azharyahya_03Hukum asal untuk melantik pemimpin dalam Islam adalah alim dalam ilmu syarak, mengetahui dan mampu mengeluarkan hukum sehingga ke tahap ijtihad. Khulafa’ ar-Rasyidin adalah mereka yang alim dan mampu berijtihad. Bahkan para Nabi dan Rasul yang memimpin manusia adalah alim dalam selok belok agama. Oleh kerana itu, para fuqaha’ bersepakat bahawa kemampuan berijtihad dan mengeluarkan hukum adalah menjadi syarat untuk dilantik menjadi pemimpin. Mereka tidak menerima untuk dibuang syarat ini kecuali dalam keadaan dhorurat (Lihat Dr. Qaradhawi, Min Fiqhi ad-Daulah, 1997).

Justeru, Para Ulamak mampu memenuhi syarat tersebut kerana kemampuan mereka merujuk al-Quran dan as-Sunnah. Kepimpinan Ulamak bukan pengaruh Syiah sebagaimana yang diamalkan di negara Iran hari ini, tetapi ia bersumberkan kepada hukum yang dikeluarkan oleh para Fuqaha’ Islam.

Melantik pemimpin di kalangan Ulamak adalah sangat penting kerana sesetengah isu kadang-kadang perlu diselesaikan dan dibuat keputusan dengan segera tanpa sempat diadakan perbincangan dan mesyuarat. Golongan Ulamak dapat memenuhi tuntutan tersebut kerana mampu membuat keputusan berlandaskan Islam. Mereka mampu untuk menangani permasalahan rakyat dan isu semasa bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Pemimpin ibarat penyuluh untuk rakyat melalui jalan kebenaran. Jalan kebenaran tersebut pastinya adalah bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Golongan yang paling layak untuk menjadi penyuluh jalan kebenaran ini adalah para Ulamak yang mewarisi amanah ilmu daripada para Nabi dan Rasul untuk melaksanakan tugas tersebut.

Syarat yang ditetapkan ini tidak bermakna para Ulamak meminta agar mereka dihormati dan dilantik menjadi pemimpin. Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan beberapa orang sahabat yang lain bergegas ke Thaqifah Bani Saadah bukanlah untuk meminta agar mereka dilantik menjadi khalifah tetapi meminta agar syarat yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. dipenuhi dan dipatuhi. Saidina Abu Bakar tidak pernah mencalonkan dirinya sendiri sebagai khalifah bahkan mencadangkan Saidina Umar terlebih dahulu tetapi akhirnya beliau yang dilantik.

Begitu juga para Ulamak, tidak ada atas nama individu daripada golongan tersebut meminta agar dilantik diri sendiri menjadi pemimpin tetapi mereka meminta agar syarat mempunyai ilmu agama mesti dipenuhi kerana ia adalah hukum yang ditetapkan oleh para fuqaha’.

Memanglah agak sukar untuk memahami perkara ini kerana apabila ada individu daripada kalangan Ulamak menyebut tentang syarat tersebut seolah-olah dia meminta untuk dirinya dilantik menjadi pemimpin. Hakikatnya ia bukan demikian tetapi dia hanya meminta untuk syarat tersebut dipenuhi, bukan untuk dirinya sendiri.

Ia umpama dalam bidang perubatan. Syarat untuk melakukan pembedahan mesti mempunyai ilmu berkaitan dengannya. Apabila para doktor menyebut tentang syarat tersebut, bukan bermakna doktor yang menyebut tentangnya meminta agar diberikan kepadanya untuk melakukan pembedahan tetapi apa yang diminta agar syarat dipenuhi dan pembedahan dilakukan oleh golongan doktor, bukan orang lain.

Jawatan dalam Islam bukanlah tasyrif tetapi adalah taklifan daripada Allah s.w.t. Oleh kerana itulah seorang pemimpin yang baik ialah mereka yang takut kepada Allah dan orang yang paling takut kepada Allah adalah para Ulamak.

Bimbang dan takut kepada taklifan tidak bermakna para Ulamak mesti mengelak untuk menerima jawatan. Mengelak menerima taklifan akan membawa mudharat dan bencana yang lebih besar kepada umat kerana dipimpin oleh mereka yang tidak mengetahui  dan tidak mampu mengeluarkan hukum hakam syarak untuk mentadbir negara.

Dalam masa yang sama, peranan yang dimainkan oleh golongan profesional dan aktivis Islam untuk memberikan sumbangan bagi menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini tidak boleh dinafikan. Mereka mesti berbangga untuk menjadi para ‘Ansar’ yang membantu para Ulamak untuk memerintah dan mentadbir negara. Para Ulamak tidak pernah berbangga untuk mengangkat diri sendiri menjadi pemimpin tetapi atas dasar memenuhi syarat kepimpinan, mereka memikulnya.

Lihatlah contoh tauladan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dalam isu perlantikan saidina Abu Bakar r.a. sebagai khalifah dan pemerintah selepas Rasulullah s.a.w. Mereka menerima bahawa mereka tidak menepati syarat untuk menjadi khalifah.

Golongan Ansar tidak pernah merasai bahawa mereka telah dikesampingkan dan menjadi masyarakat kelas kedua kerana tidak mencukupi syarat. Menjadi pemimpin ada syaratnya dan mereka redha dengan syarat tersebut.

Perlu dijelaskan bahawa melantik pemimpin di kalangan Ulamak tidak bermaksud akan lahirnya negara teokrasi yang memerintah atas nama tuhan, tanpa ada ruang untuk rakyat mengemukakan pandangan. Ia juga tidak bermakna akan lahirnya negara Mullah yang hanya ingin menguatkuasakan undang-undang dan menjatuhkan hukuman tanpa diambil kira tahap kesalahan rakyat dan keadaan sekitar atau negara Ayatullah yang memerintah tanpa boleh ditegur.

Bahkan ia adalah negara yang menjadikan Islam sebagai rujukan, negara yang berdiri di atas baiah dan syura. Pandangan dan teguran sentiasa dialu-alukan selagi mana tidak bercanggah dengan Islam. Ia adalah negara yang mempunyai hubungan dengan Allah dan juga manusia serta melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 10 Disember 2012 in Penerangan Pusat

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: