RSS

Sultan Selangor benci dituduh orang Umno

15 Dec
Sultan diiringi Menter Besar dan Speaker Dewan Negeri.

Kepimpinan PAS Selangor menyambut baik dan amat menghargai titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa baginda bukan Umno, tidak menyokong Umno dan sangat benci mendengar tuduhan bahawa baginda merupakan orang Umno.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman sewaktu berbicara dengan penulis berkata, beliau menjunjung kasih terhadap baginda dan mahu hasrat Sultan dipatuhi semua pihak.

Titah tersebut dibuat dalam wawancara Mingguan Malaysia, yang menurut baginda, tuduhan itu timbul akibat salah faham ke atas seruannya supaya golongan Melayu bersatu.

“Malangnya terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang Umno.

“Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas,” titah baginda.

Menurut Sultan, baginda memberitahu kakitangan istana untuk mencetak apa sahaja maklumat berkaitan Selangor yang disiarkan di dalam blog dan portal untuk dibaca.

“Tapi malangnya dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang Umno, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik,” titahnya.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Dr Rani mengharapkan semua pihak, khususnya Umno, supaya tidak lagi cuba mempengaruhi’ Sultan untuk kelihatan ‘bias’, yang akhirnya persepsi negatif dilemparkan terhadap baginda.

Tegas Dr Rani, pihak yang terbabit menasihati Sultan sama ada di Istana, mahupun dalam MAIS, JAIS dan SUK harus berhati-hati dan jangan sekali-kali mencemar kemuliaan baginda dengan agenda Umno.

Katanya, pernah berlaku beberapa krisis di Selangor apabila Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS dan sebagainya, yang menasihati Sultan dalam hal ehwal agama, secara terang-terangan menyokong Umno-BN dan melakukan pelbagai tindakan yang bercanggah dengan kerajaan negeri.

Apabila mereka ini ditegur kerajaan negeri, khususnya MB, mereka sering menggunakan pelbagai alasan yang mengaitkan tindakan mereka sebagai ‘arahan’ Sultan.

“PAS Selangor amat menyanjungi Tuanku dan berharap para penasihat Sultan memastikan selepas ini sebarang kenyataan yang hendak dibuat atas nama baginda, hendaklah berhati-hati harus tidak dilihat ‘bias’,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai Sultan Selangor, Abdul Rani memberitahu ramai yang tidak tahu bahawa baginda sentiasa mengikuti perkembangan politik negara dan amat memahami situasi yang ada.

Katanya, sewaktu pertemuan beliau dengan baginda dalam satu majlis Maal Hijrah di Masjid Negeri, di Shah Alam, Sultan Selangor bercerita mengenai Mohamad Sabu dan PAS.

Selepas selesai majlis, semasa majlis santapan yang dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Sultan memberitahu mereka, bahawa baginda terserempak dengan Timbalan Presiden PAS, itu di dalam kapal terbang sewaktu menuju ke Langkawi.

“Tuanku bercerita kepada kami, baginda memang minat ceramah Mohamad Sabu dan mengikuti ceramah beliau sejak belum menjadi Sultan lagi.

“Lama juga baginda bercerita tentang Mohamad Sabu, saya fikir dalam setengah jam juga baginda bercerita dengan nada yang ceria,” ujarnya.

Menurut Rani, Sultan Selangor dengan nada bergurau berkata kepada mereka,”Sudah tentu saya tidak boleh mengambil gambar dengan beliau (Mohamad Sabu), nanti dituduh menyokong PAS pula”, ujar baginda disambut gelak ceria dif-dif kehormat.

Dalam apa jua keadaan, Sultan seharusnya berada di atas politik. Memerintah dengan adil dan saksama, memayungi setiap rakyat jelata tanpa pilih kasih.

Namun orang politik ada juga ragam dan karenahnya. Khususnya bagi Umno yang sering mempergunakan Raja untuk kepentingan mereka, tambahan pula juak-juak Umno yang puluhan tahun mendominasi institusi Istana, tidak mudah untuk menerima perubahan yang berlaku dalam kerajaan Selangor.

PAS pernah mengalami situasi yang sama di Kelantan pada tahun 1990. Tekanan pihak yang berkepentingan, banyak membuat halangan jambatan hubungan kerajaan negeri dengan Istana.

Namun berkat kebijaksanaan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz selama 22 tahun memerintah, hubungan PAS dengan Istana begitu akrab dan semakin menunjukkan keakraban dengan penampilan berjiwa rakyat oleh Sultan Muhammad ke-V.

Begitu juga semasa PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004. Menteri Besar PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai hubungan yang amat akrab dengan Sultan Mizan. Sehingga MB sendiri dijemput Sultan untuk menyampaikan kuliah agama di Istana.

Begitu juga di Kedah, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak turut tidak mempunyai sebarang masalah dengan Istana. Hubungan akrab kerajaan dengan Istana memudahkan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.

Di Perak, walaupun ditekan dengan begitu hebat selama 11 bulan dan dilaga-lagakan dengan Sultan, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan sikap profesional beliau, sehinggalah Umno menggunakan Raja untuk menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Apa yang berlaku di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah manifestasi daripada kebijaksanaan kepimpinan PAS dalam mentadbir negeri. Walaupun banyak tekanan, walaupun banyak gangguan, berkat kesabaran mereka dan sikap taat setia kepada Raja, meletakkan Raja di atas orang politik, menjadikan institusi Sultan lebih dihormati serta disanjungi rakyat.

Dalam sejarah politik negara, walaupun ditimpa dengan pelbagai tuduhan, PAS sesekali tidak pernah menderhaka, tidak pernah anti-Raja, malah menentang pindaan Perlembagaan yang memansuhkan kekebalan Raja-Raja Melayu.

Ini berbeza dengan Umno. Mereka bukan sahaja meminda Perlembagaan. Mereka juga memaki hamun Raja-Raja dalam Perhimpunan Agung Umno. Menderhaka kepada Sultan, menabalkan Sultan ‘boneka’ di Kelantan, malahan membinatangkan Sultan Terengganu dalam satu demonstrasi di hadapan Istana Terengganu.

Tidak berlaku sehodoh-hodoh perlakuan terhadap Raja, melainkan dilakukan oleh orang-orang Umno. Sebaliknya, Umno mempergunakan media, mempengaruhi Raja dan rakyat, kononnya orang-orang Pakatan Rakyatlah yang menentang Raja.

Sehinggakan ada kalangan Istana tertentu yang secara terbuka menyokong Umno dan menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.

Justeru, molek benarlah jika Sultan Selangor sendiri sudah bertitah, baginda cukup benci dituduh orang Umno. Malah apa yang dititahkan Sultan Selangor, harus juga dicontohi Sultan Perak, Sultan Johor dan Sultan Pahang.

Tujuannya, adalah supaya institusi Raja-Raja Melayu dimulia dan dimartabatkan. Yang paling penting tiada persepsi negatif rakyat terhadap institusi Raja.

Posted by

 
Tinggalkan komen

Posted by di 15 Disember 2012 in 5 NEGERI PR

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: