Nasrudin Hassan
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi hari ini diumumkan sebagai calon Pas bagi kawasan Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
 
Pengumuman dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media, di ibu pejabat Pas di sini, hari ini.
 
Untuk rekod, Nasrudin pernah bertanding sebagai calon parti itu di kerusi Maran pada 2008.
 
Beliau tewas kepada calon BN, Ismail Abd Muttalib.
 
Penyandang semasa kerusi Parlimen Temerloh ialah Datuk Saifuddin Abdullah dari BN.
 
Pada sidang media sama, Hadi turut mengumumkan dua lagi calon Pas iaitu kawasan Parlimen Titiwangsa dan Baling, Kedah yang masing-masing ditandingi oleh muka baru, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dan bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia, Brigeder
Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad.Najmi merupakan adik kepada bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.
 
Menurut Hadi, pemilihan Najmi bagi menggantikan penyandang sedia ada di kerusi Baling adalah kerana faktor kesihatan ahli Parlimen terbabit.
zamri_calon
 
“Beliau tidak bertanding kerana alami masalah kesihatan perlu rawatan.
 
“Najmi tokoh Baling dan anak Kedah. Beliau juga tokoh yang diterima pengundi,” ujar Hadi.
 
Kerusi Parlimen Baling kini disandang oleh Taib Azamudden Md Taib.
 
Beliau merupakan ahli Parlimen dua penggal bagi kawasan itu.
 
Sementara Parlimen Titiwangsa sebelum ini disandang oleh calon muslimat Pas, allahyarhamah Dr Lo’Lo Mohd Ghazali.
 
Bercakap pada sidang media majlis pelancaran pusat media Pas, Hadi turut menegaskan, kesediaan Pas berdiri di belakang Pakatan Rakyat (PR) sebagai sebuah gabungan yang kukuh untuk mencapai misi menawan Putrajaya.
 
“Masalah PR kita akan hadapi bersama walaupun kita berbeza ideologi. Kita bersatu dalam perkara yang bersama,” jelasnya.
 
Ujarnya lagi, hal-hal pembahagian kerusi dalam perikatan pembangkang sudah selesai sepenuhnya.
 
“Kalau ada (belum selesai) pun sedikit sangat,” katanya.