RSS

Jihad Politik Adalah Lebih Afdal

26 Apr

Oleh: Dr. Yusuf al-Qardhawi

Rasulullah s.a.w. menyeru umat Islam untuk memerangi kerosakan di dalam negara dan menganggapnya adalah lebih afdal daripada menentang serangan dari luar. Baginda menyatakan sewaktu ditanyakan tentang jihad yang paling afdal:

Jihad yang paling afdal ialah kalimah yang benar di sisi pemerintah yang zalim.” (hadith)

Ini disebabkan kerosakan dalaman menyediakan jalan bagi serangan dari luar. Syahadah di sini dianggap sebagai jenis yang paling tinggi pada jalan Allah. Sabda Nabi s.a.w.:

“Pemimpin para syuhada’ ialah Hamzah, kemudian lelaki yang berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, lalu dia menyuruhnya menjalankan kebenaran dan menegahnya daripada kemungkaran lalu beliau dibunuh.”

Ditanamkan dalam jiwa seorang muslim untuk menolak kezaliman dan menentang mereka yang zalim sehinggakan dibaca dalam doa Qunut yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud yang diamalkan oleh Mazhab Hanafi dan selainnya:

“Kami mensyukuri-Mu Ya Allah dan tidak kufur kepada-Mu, kami menanggal dan meninggalkan ketaatan daripada mereka yang zalim.”

Islam menggalakkan berperang untuk menyelamatkan mereka yang tertindas dan lemah di muka bumi dengan ungkapan galakan dan suruhan yang paling mendalam.

Firman Allah bermaksud:

“Dan apakah Yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang Yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, Iaitu mereka Yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah Kami dari negeri (Makkah) ini, Yang penduduknya (kaum kafir musyrik) Yang zalim, dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan Jadikanlah bagi Kami dari pihakMu seorang pemimpin Yang membela Kami (dari ancaman musuh)”. (Surah al-Nisa’: 75)

Ia menyalakan bara kemarahan dan amat mengingkari mereka yang menerima kehinaan, redha tinggal di negara yang menghina dan menzalimi mereka sedangkan mereka mampu berhijrah dan lari daripadanya ke negeri lain.

Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang Yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat Dengan berkata: “Apakah Yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang Yang tertindas di bumi”. malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, Yang membolehkan kamu berhijrah Dengan bebas padanya?” maka orang-orang Yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (97)

“Kecuali orang-orang Yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, Yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).” (98)

“Maka mereka (yang demikian sifatnya), Mudah-mudahan Allah maafkan mereka. dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (99)

(Surah al-Nisa’: 97-99)

Hinggakan terhadap mereka yang telah terlalu tua dan lemah, Allah menyatakan tentang keadaan mereka: “Mudah-mudahan Allah memaafkan mereka.” Ini menunjukkan mereka amat mengharapkan keampunan Allah sebagai amarah agar mereka tidak redha dengan penghinaan dan kezaliman yang tidak dapat mereka elakkan.

Cerita al-Quran yang berulang-ulang tentang golongan yang angkuh di muka bumi seperti Firaun, Hamaan, Qarun, pembantu dan tentera mereka adalah cerita yang memenuhkan hati seorang Muslin dengan kebencian terhadap mereka, mengingkari cara pemerintahan mereka, benci terhadap sikap melampau mereka dan menyokong dari sudut pemikiran dan perasaan terhadap mangsa-mangsa mereka yang dizalimi dan ditindas.

Merubah Kemungkaran Suatu Kewajipan

Perbincangan al-Quran dan al-Sunnah tentang sikap berdiam diri dari kemungkaran dan bersikap negatif terhadap mereka yang melakukannya sama ada pemerintah ataupun rakyat adalah suatu perbincangan yang menggoncangkan perasaan mereka yang memiliki sebesar biji sawi iman di dalam hatinya.

Firman Allah bermaksud:

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di Dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.” (78)

“Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), Yang mereka lakukan. Demi Sesungguhnya amatlah buruknya apa Yang mereka telah lakukan.” (79)

(Surah al-Ma’idah: 78-79)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangan, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.”

Adalah suatu sangkaan yang silap bahawa kemungkaran terhad pada zina, meminum arak dan apa yang ada pada makna keduanya.

Menghina kehormatan rakyat adalah suatu kemungkaran yang besar. Menipu dalam pilihanraya adalah kemungkaran yang besar. Tidak memberikan kesaksian dalam pilihanraya adalah kemungkaran yang besar kerana ia menyembunyikan kesaksian. Menyerahkan pemerintahan kepada bukan ahlinya adalah kemungkaran yang besar. Mencuri harta awam adalah kemungkaran yang besar. Memonopoli barangan yang diperlukan oleh orang ramai untuk kepentingan individu ataupun kumpulan adalah kemungkaran yang besar. Menahan manusia tanpa jenayah yang diputuskan oleh mahkamah yang adil adalah kemungkaran yang besar. Menyiksa manusia di dalam penjara dan pusat tahanan adalah kemungkaran yang besar. Memberi, menerima dan menjadi orang tengah bagi rasuah adalah kemungkaran yang besar. Mengambil hati dan memuji-muji pemerintah yang batil adalah kemungkaran yang besar. Menjadikan musuh Allah dan musuh umat sebagai pemimpin dengan mengenepikan orang yang beriman adalah kemungkaran yang besar.

Begitulah kita mendapati ruang bagi kemungkaran semakin meluas hinggakan ia mencakupi kebanyakan perkara yang dianggap oleh manusia sebagai urusan asasi bagi politik. Apakah seorang Muslim yang cintakan agamanya dan sentiasa berusaha memperolehi keredhaan Tuhannya akan berdiam diri? Ataupun lari berundur daripada medan apabila berhadapan dengan kemungkaran dan sebagainya kerana takut ataupun mahu menyelamatkan diri?

Perasaan seperti ini sekiranya tersebar di kalangan umat, maka telah berakhirlah risalahnya dan mereka akan terhapus kerana mereka telah menjadi umat lain bukannya suatu umat yang telah disifatkan oleh Allah dengan firmannya bermaksud:

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.” (Surah ali-‘Imran: 110)

Tidak hairan sekiranya kita mendengar amaran Nabi s.a.w. kepada umat dalam masalah seperti ini, baginda telah bersabda:

“Apabila kamu melihat umatku takut untuk berkata kepada orang zalim: Wahai orang zalim, maka telah diucapkan selamat tinggal untuk mereka.”

Ertinya, mereka sudah tidak layak untuk hidup.

Seorang muslim dengan kedudukan imannya dituntut agar tidak menjadi penonton terhadap kemungkaran walau apapun jenisnya. Sama ada ia berbentuk politik, ekonomi, kemasyarakatan ataupun thaqafah. Bahkan dia hendaklah menentangnya dan berusaha merubah dengan tangannya sekiranya dia mampu. Kalau tidak mampu, maka menggunakan lidah dan penjelasan. Sekiranya dia tidak mampu merubah dengan lidah, maka dia berpindah ke peringkat lain yang paling rendah iaitu berubah dengan hati yang telah dijadikan oleh hadith sebagai: “Selemah-lemah iman.”

Ia dinamakan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai mengubah dengan hati kerana ia adalah tanggungan jiwa dan perasaan menentang kemungkaran, mendokong dan membela penentangan ini.

Tanggungan ini bukanlah perkara negatif sebagaimana yang disangkakan. Sekiranya ia negatif, ia tidak akan dinamakan sebagai merubah oleh hadith tersebut.

Tanggungan yang berterusan bagi jiwa, perasaan dan hati semestinya pada suatu masa akan menghasilkan usaha yang positif. Kemungkinan ia akan menjadi satu revolusi umum ataupun letusan yang menghancurkan sekiranya tekanan berterusan. Tekanan yang berterusan akan mencetuskan letupan yang merupakan satu sunnah Allah di kalangan makhluk-Nya.

Sekiranya hadith ini menamakan sikan ini sebagai ‘merubah dengan hati’, maka hadith Nabi s.a.w. yang lain telah menamakannya sebagai ‘jihad dengan hati’ yang merupakan darjat jihad yang paling rendah sebagaimana ia juga adalah darjat iman yang paling rendah. Muslim telah meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud secara marfu’:

“Tidak ada seorang nabi pun yang diutuskan oleh Allah di kalangan umat sebelumku melainkan wujud daripada umatnya itu golongan Hawariyun (pembantu) dan para sahabat yang mengambil Sunnahnya dan mematuhi perintahnya. Kemudian dia meninggalkan selepas mereka para pengganti yang berkata apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangan maka dia adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidah maka dia adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang menentang mereka dengan hati maka dia adalah seorang Mukmin dan tidak ada di sebalik itu iman walaupun sebesar biji sawi.”

 

Dr. Yusof Qaradawi semasa menerima tokoh Ma’al Hijrah

 
Tinggalkan komen

Posted by di 26 April 2013 in BERITA DEWAN ULAMAK

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: