RSS

Category Archives: TOKOH-TOKOH ULAMA`

Pameran Mengenai Sirah Nabi Muhammad SAW

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.

Di sebelah Masjid Nabawi, Madinah baru-baru ini sedang dilangsungkan pameran mengenai sirah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Maklumat dan bahan pameran yang dipamerkan sangat mengujakan para pengunjung.  Ia bukan sahaja dalam bentuk maklumat bacaan, gambar dan gambarajah, bahkan terdapat juga model-model mini yang dibina bagi memberikan gambaran rupabentuk asal beberapa bangunan dan objek penting dalam sirah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  SubhanaALLAH!

DSC_0882

‘Roadshow Exhibition’ mengenai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang terletak di sebelah Masjid Nabawi, Madinah.

Berikut adalah beberapa bahan pameran dalam bentuk model yang sempat dirakam pada 30 Jun 2013: Read the rest of this entry »

 
Tinggalkan komen

Posted by di 16 Julai 2013 in BERITA DUNIA, TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulamak Kelantan

Tokoh-tokoh Ulamak Kelantan

Marilah sama-sama kita mengenangkan kembali sejarah hidup para alim ulamak dari Kelantan. Seramai dua belas orang tokoh telah dipilih. Kita mulakan dengan kisah dari seorang demi seorang.
Read the rest of this entry »

 
Tinggalkan komen

Posted by di 31 Januari 2009 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 12

Wan Ismail Al-Jambui Al-Fathani — Kadi Jambu, Patani

HAMPIR semua ulama yang disiarkan di dalam ruangan Agama, Utusan Malaysia yang terdahulu adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Maka terbitan kali ni memperkenalkan anak beliau. Sebelum riwayatnya dibicarakan pada pendahuluan ini perlu penulis nyatakan bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani berkahwin dua kali. Perkahwinan pertamanya dengan Hajah Wan Kaltsum (digelar Nik Jong) binti Haji Wan Ismail al-Fathani yang berasal dari Kerisik, Patani. Isteri pertama beliau meninggal dunia di Mekah pada hari Sabtu, 17 Rabiulawal 1318 Hijrah/14 Jun 1900 Masihi. Perkahwinan pertamanya dikurniakan dua orang anak, Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani dan Hajah Wan Fatimah.

Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran anaknya seperti berikut, “Diperanakkan Ismail anak kita pada hari Rubu’ di dalam pukul dua atau tiga, dua hari bulan Jamadil ula dari tahun hijrah 1304 tahun kekura bersamaan 27 Januari 1887 Masihi.” Wafat di Jala, 1378 Hijrah/1958 Masihi, dikebumikan di belakang Masjid Jami’ Jala.

Wan Ismail mendapat pendidikan asas di Mekah, juga mendapat pendidikan langsung daripada beberapa orang di lingkungan keluarga sendiri, iaitu ayahnya, Syeikh Ahmad al-Fathani, datuknya Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani, datuk saudaranya Syeikh Wan Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani dan Syeikh Wan Daud bin Mushthafa al-Fathani. Beliau fasih berbahasa Arab seperti orang Arab jati, kerana beliau bergaul dengan orang-orang Arab sejak masih kecil lagi. Bahasa lain yang dikuasai ialah bahasa Melayu, Siam, Cina dan Inggeris. Wan Ismail al-Fathani melanjutkan pelajaran di beberapa buah sekolah menengah di Mesir dan pernah memasuki al-Azhar pada tahun 1322 Hijrah/ 1904 Masihi. Usianya ketika itu sekitar 18 atau 19 tahun.

Sahabat paling rapat Wan Ismail al-Fathani ketika di Mesir ialah Muhammad bin Ahmad Kelantan dan Nik Mahmud bin Ismail Kelantan. Selain itu beliau juga bersahabat dengan golongan putera Raja Riau-Lingga, mereka ialah Tengku Utsman, Tengku Hasan, Tengku Adam dan Tengku Muhammad Sa’id. Yang dimaksudkan dengan Tengku Utsman kemungkinan putera Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah (Sultan Riau Lingga yang terakhir). Yang dimaksudkan Tengku Muhammad Sa’id kemungkinan putera Raja Haji Muhammad Thahir, Hakim kerajaan Riau Lingga. Ada pun Tengku Hasan, dan Tengku Adam masih belum dapat dikesan. Yang lebih tua daripada mereka ialah Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi dan Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib Aceh.

Ketika belajar di Mesir, Wan Ismail al-Fathani mencari pengalaman lain seperti bekerja di sebuah restoran, memasuki latihan tentera, dan mengembara di beberapa tempat di bahagian pedalaman bahagian utara benua Afrika. Kerana kelakuannya yang suka mengembara, maka pelajarannya terabai, lalu Syeikh Ahmad al-Fathani mencela perbuatan demikian dalam beberapa suratnya. Haji Wan Ismail melarikan diri, sehingga tersesat di suatu kawasan pedalaman Mesir atau di benua Afrika. Setelah beliau ditangkap oleh penjaga satu kawasan di tempat ulama yang terkenal di pedalaman itu, beliau diserahkan kepada ulama itu. Ulama tersebut menghujaninya dengan pelbagai pertanyaan.

Setelah Haji Wan Ismail menyebut bahawa dia adalah anak Syeikh Ahmad al-Fathani, lalu ulama di pedalaman Mesir itu mengeluarkan sebuah kitab, iaitu Tashil Nail Amani, dan sebuah gambar Syeikh Ahmad al-Fathani. Ulama itu langsung melayani Haji Wan Ismail dengan hormat kerana berdasarkan pengakuannya bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani adalah gurunya. Bahawa beliau sangat bangga kerana belajar langsung kitab Tashil Nail Amani kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, pengarang kitab itu sewaktu beliau berada di Mekah. Ulama Mesir itu juga mengajar kitab tersebut di institusi pendidikan yang dibinanya Ismail al-Fathani pulang ke Mekah pada bulan Zulhijjah 1325 Hijrah/ Disember 1907 Masihi, beberapa hari sebelum ayahnya meninggal dunia. Haji Wan Ismail sempat menerima wasiat daripada ayahnya, Syeikh Ahmad al-Fathani.

Karya-karya Syeikh Ahmad al-Fathani masih tetap diurus penerbitannya oleh Haji Wan Ismail. Beliau menghubungi sahabat-sahabat orang tuanya terutama Syeikh Mushthafa al-Baby al-Halaby di Mesir. Kemudian Haji Wan Ismail al-Fathani pulang ke negerinya, Jambu, membuka sebuah madrasah untuk menerapkan sistem pendidikan persekolahan cara Mesir, bukan sistem pondok tradisi Patani. Usaha penerbitan karya-karya orang tuanya diteruskan juga. Beberapa buah karangan ayahnya yang belum pernah diterbitkan di Asia Barat berhasil diterbitkannya. Haji Wan Ismail al-Fathani juga berusaha menyusun beberapa buah kitab, juga berhasil berkali-kali diterbitkan.

Pada mulanya Haji Wan Ismail bergerak dalam bidang perniagaan hasil bumi, sekali gus penerbitan kitab tetapi oleh kerana dipandang sebagai fardu kifayah beliau menerima jabatan menjadi kadi di Jambu, Patani, kemudian kadi tertinggi untuk sebuah propinsi yang membawa gelaran Datuk Kadi Datuk Yutitam I Cangwat Pattani dan terakhir sekali menjadi Ketua Islam Kerajaan Thailand.

Karya-karya yang sempat diterbitkan oleh Kadi Haji Wan Ismail ialah:

1. At-Tuhfatul Fathniyah fil Lughatil `Arabiyah, jilid pertama, diselesaikan pada 20 Zulhijjah 1332 Hijrah. Kandungannya mengenai pelajaran percakapan bahasa Arab untuk kanak-kanak. Kitab ini terdiri daripada empat jilid, tetapi yang telah ditemui hanya jilid pertama. Cetakan pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, No. 50, Minto Road, Singapura pada 13 Ramadan 1342 Hijrah.

2. Al-‘Aqdul Farid fi’Ilmit Tauhid, diselesaikan pada 15 Syaaban 1341 Hijrah. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid dalam bentuk soal jawab, untuk kanak-kanak. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, No. 50, Minto Road, Singapura, hari Khamis, Muharam 1342 Hijrah, diusahakan oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau.

Cetakan kedua oleh percetakan yang sama, pada hari Isnin, 13 Rejab 1342 Hijrah. Cetakan ketiga dicetak oleh percetakan yang sama tahun 1344 Hijrah. Terdapat edisi cetakan The United Press, Pulau Pinang dalam bentuk buku kecil (tanpa tahun). Taqriz/ Pujian oleh Tuan Guru Haji Muhammad Burmin, Tuan Guru Haji Hasan Mukgul, Mayo, Tuan Guru Nik Abdullah Ahmad al-Jambui al-Fathani, dan Qadi Haji Wan Ismail Datuk Yutitam, Jala. Dicatatkan oleh Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan Riau, Mudir Mathba’ah Al-Ahmadiah, pada cetakan yang kedua, katanya, “… Maka inilah setengah daripada kitab yang amat dicita-cita bagi mengajar kanak-kanak atau orang yang baru berlajar kerana mudah fahamnya dan terang maksudnya …” Penyusunnya Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani mencatatnya pada cetakan yang kedua juga, “… Maka apakala telah habis sekalian naskhah cetak yang pertama, dan banyak tuntutan daripada saudara-saudara yang gemar kepadanya perhamba cetak kali yang kedua ini dengan sedikit tambahan bagi manfaat umumiyah …”

3. Tadribul Banin wal Banat bi Umurid Din al-Wajibat, diselesaikan pada 26 Ramadan 1351 Hijrah/23 Januari 1933 Masihi. Kandungan membicarakan ilmu fikah dalam bentuk soal-jawab, untuk kanak-kanak. Cetakan yang kedua Patani Press, 7.7.1981. Taqriz/Pujian oleh Haji Wan Harun bin Haji Wan Hasan Kadi Patani, Tuan Guru Haji Muhammad bin almarhum Haji Wan Idris Burmin, dan Ahmad bin Yusuf al-Falawani al-Jambui al-Fathani.

4. Ghayatul Afrah liman Yatawallal Ankah, diselesaikan pada Rejab 1373 Hijrah/5 Mac 1954 Masihi. Kandungannya membicarakan hukum perkahwinan. Cetakan yang pertama Mathba’ah Patani Press, Patani, 20.3.1375 Hijrah. Cetakan yang ketiga Teman Pustaka Press, Patani (tanpa tahun). Taqriz/Pujian oleh Tuan Guru Haji Muhammad Burmin, Tuan Guru Haji Hasan Mukgul, Mayo, Tuan Guru Nik Abdullah Ahmad al-Jambui al-Fathani dan Qadi Haji Wan Ismail Datuk Yutitam, Jala.

Adik Haji Wan Ismail al-Fathani seayah dan seibu, kelahirannya dicatat oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, “Diperanakkan anak kita Fathimah daripada Wan Kaltsum binti Haji Wan Ismail Jambu pada hari Sabtu, pukul 3.48, 20 Syawal 1310 Hijrah, iaitu tahun ular sening.” Fathimah mendapat pendidikan asas juga daripada ayahnya Syeikh Ahmad al-Fathani dan daripada datuknya Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani. Dia berkahwin dengan Haji Wan Muhammad Zain bin Syeikh Abdul Lathif al-Fathani.

Daripada perkahwinan tersebut mereka memperoleh seorang anak perempuan yang bernama Hajah Nik Wan Nafisah. Setelah berpindah dari Mekah ke Bangkok, Hajah Wan Fathimah binti Syeikh Ahmad al-Fathani giat mengajar ilmu-ilmu fardu ain di lingkungan kaum kerabatnya di kota Bangkok. Hajah Nik Wan Nafisah pula berkahwin dengan seorang guru pondok yang bernama Haji Wan Muhammad bin Tok Seridik al-Fathani. Keturunan Hajah Nik Wan Fathimah, melalui anaknya Hajah Nik Wan Nafisah itu sebahagian besar bergerak dalam bidang pendidikan dan dakwah Islam.

Isteri Syeikh Ahmad al-Fathani yang kedua bernama Hajah Wan Siti Saudah binti Syeikh Wan Abdullah al-Fathani juga berasal dari Kerisik, Patani. Hajah Wan Siti Saudah al-Fathani tersebut adalah anak saudara kepada Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, seorang ulama besar, pengarang kitab Mathla’ul Badrain yang terkenal. Daripada perkahwinan beliau yang kedua, memperoleh empat orang anak, iaitu Hajah Wan Zainab, Wan Nafisah, Wan Muhammad Shalih dan Wan Muhammad Nur (wafat 9 Safar 1326 Hijrah/12 Mac 1909 Masihi). Hajah Wan Zainab saja di antara empat beradik itu yang berumur panjang, kerana tiga orang adiknya meninggal dunia sewaktu masih kecil. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/14 Januari 1908 Masihi dalam tempoh seminggu saja dua orang anak beliau, dengan isteri yang kedua tersebut, meninggal dunia satu demi satu dan diakhiri oleh ayah beliau sendiri, Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani, yang meninggal dunia pada 18 Zulhijah 1325 Hijrah/21 Januari 1908 Masihi.

Qadi Haji Wan Ismail al-Fathani berkahwin dua kali. Dengan isteri pertama memperoleh 9 orang anak. Setelah meninggal isteri yang pertama, Haji Wan Ismail al-Fathani berkahwin lagi, memperoleh 2 orang anak. Anak yang sulung meninggal di Mekah, anak yang kedua bernama Hajah Nik Wan Asiah kahwin dengan Datuk Haji Wan Ismail bin Hawan. Ketika hidupnya menjadi Kadi Yala dan Ketua Majlis Agama Islam Yala. Anaknya ialah Datuk Haji A. Aziz Hawan, pembesar Yala setaraf Gabenor. Adiknya Ustazah Hajah Zaharah Awang, tinggal di Seremban, Negeri Sembilan, mengajar Sekolah Menengah Agama Dato’ Syeikh Ahmad. Dia juga menulis buku-buku bahasa Arab peringkat sekolah menengah agama di Malaysia.

Oleh UST. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

 
Tinggalkan komen

Posted by di 28 Disember 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 11

Sheikh Abdus Samad al-Falimbani

 Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH

 

At-targhib wa at-tarhib li bai ‘iwa asy-syira – karya penting mengenai tata cara perniagaan dalam Islam pada abad 18-19 M.

 


 

MAKLUMAT yang dibicarakan pada artikel kali ini adalah kesinambungan daripada tajuk-tajuk sebelumnya, iaitu berkaitan penulisan-penulisan manuskrip ulama-ulama Asia Tenggara yang dibahagikan kepada 10 peringkat. Adapun perbicaraan pada peringkat pertama hingga keempat telah selesai dibicarakan. Maka pada kali ini diteruskan pula perbicaraan pada peringkat kelima dan sebahagian peringkat keenam.

Peringkat Kelima

Penulisan abad ke 18-19, dijumpai manuskrip-manuskrip karya ulama-ulama Palembang, Banjar, Patani, Aceh, Sumbawa dan dari tempat-tempat lainnya. Ulama yang berasal dari Palembang yang paling terkenal ialah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Sebagaimana telah disebutkan bahawa karya beliau terawal adalah Zahrat al-Murid, 1178 H/1764 M.

Dua karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang paling popular ialah Hidayat as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Nama lain untuk Hidayat as-Salikin ialah as-Salikin, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, yang merupakan terjemahan kitab Bidayat as-Salikin karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahannya yang cukup banyak.

Beberapa manuskrip yang dijumpai memang ada yang memakai judul Bidayat as-Salikin, tetapi jumlahnya jauh lebih sedikit berbanding manuskrip yang memakai nama Hidayat as-Salikin.

Cetakan mutawal karya Sheikh Abdul Samad al-Falimbani itu digunakan judul Bidayat as-Salikin dilakukan pada tahun 1287 H/1870 M, dicetak menggunakan tulisan litografi (huruf batu) di Mekah dan Singapura. Yang diberi kepercayaan pengurusan cetakan di Singapura ialah Tengku Yusuf bin Tengku Ibrahim Terengganu tetapi belok litografnya semuanya diproses di Mekah. Setelah Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani lebih memperkemaskan lagi media cetak dengan menukar huruf litografi (huruf batu) kepada huruf klise timah, maka barulah digunakan judul yang satu lagi, iaitu Hidayat as-Salikin.

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, kitab Hidayat as-Salikin adalah merupakan kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali dicetak di Mesir. Adapun karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani judul Siyar as-Salikin adalah karyanya yang terbesar yang terdiri empat jilid.

Sebahagian besar kandungannya merupakan terjemahan Ihya’ ‘Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahan yang cukup banyak. Dimulai penulisan tahun 1194 H/1780 M dan diselesaikan tahun 1203 H/1788 M. Manuskrip Siyar as-Salikin juga terdapat dalam simpanan Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM).

Kitab Siyar as-Salikin yang diproses untuk cetakan yang pertama di Mekah berasal dari manuskrip koleksi Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu naskhah yang beliau gunakan untuk mengajar dan telah ditashihkannya. Manakala akan dicetak dan ditashih sekali lagi oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sheikh Abdus Samad al-Falimbani juga menterjemahkan kitab Mi’raj, diselesaikan tahun 1201 H/1786 M. Manuskrip tentang ini hanya terdapat sebuah dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1079.

Keseluruhan karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang telah dijumpai adalah sebanyak 12 judul, beberapa buah judul yang nadir di antaranya ada dalam simpanan penulis.

Ada dua orang ulama besar dunia Melayu yang berasal dari Banjar (Kalimantan Selatan) sahabat Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Kedua-duanya yang menghasilkan karangan, ialah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari.

Karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang terawal ialah Tuhfat al-Raghibin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M, disusul dengan Luqthatul ‘Ajlan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, disusul dengan Sabil al-Muhtadin, diselesaikan tahun 1195 H/1780 M, disusuli Risalat Qaul al-Mukhtashar diselesaikan tahun 1196 H/1781 M.

Keseluruhan karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang telah diketahui 17 judul. Keempat-empat judul yang tersebut semuanya telah dijumpai manuskrip salinannya.

Yang paling terkenal di antara karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah Sabil al-Muhtadin. Kitab ini juga ditashih dan kemudian diperjuangkan penerbitannya oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Ulama besar

Karya Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari yang paling terkenal ialah Ad-Durr an-Nafis diselesaikan tahun 1200 H/1875 M. Karya-karya beliau yang lain yang telah dijumpai ialah Majmu’ al-Asrar li Ahli Allah al-Athyar atau nama yang lain Majmu’ as-Sarair, judul terjemahan dalam bahasa Melayu menurut pengarangnya sendiri ialah Perhimpunan Sekelian Rahsia.

Karya beliau yang lain pula ialah Penjelasan Huruf-huruf Abjad Dalam al-Quran, Ilmu Haqiqat Yang Sebenar-benar, dan Masalah Orang Yang Dijadikan Imam. Pada risalah yang terakhir itu tercatat selesai menulisnya waktu Dhuha 8 Ramadan 1245 H/1829 M. Kitab Ad-Durr an-Nafis cetakannya yang mula-mula sekali dilaksanakan oleh Mathba’ah al-Miriyah bi Bulaq Mesir al-Mahmiyah, tahun 1302 H/1884 M.

Untuk pelaksanaan, pencetakannya telah ditashih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Ada sebuah manuskrip yang merupakan syarah untuk kitab Ad-Durr an-Nafis ini ialah Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan al-Wahdah fi al-Af’al wa al-Asma’ wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah. Manuskrip ini hanya dijumpai sebuah sahaja.

Manuskrip yang dijumpai dinyatakan mulai penulisan pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 15 Rabiulakhir 1239H/19 Disember 1823M dan selesai pada tengah malam Isnin, 9 Muharam 1240H/3 September 1824M.

Adapun Majmu’ al-Asrar tidak dikenal oleh masyarakat Melayu secara umum kerana belum pernah diterbitkan. Manuskripnya pula adalah sangat nadir belum banyak dijumpai, setakat ini baru dijumpai tiga buah manuskrip sahaja. Sebuah dalam simpanan Muzium Islam Pusat Islam, bukan merupakan tulisan asli pengarang tetapi adalah salinan Muhammad Zain bin Hasan. Selesai melakukan penyalinan pada waktu zuhur, hari Sabtu, 21 Syaaban 1355 H/1936 M. Nombor kelas MI 24.

Pada zaman yang sama dengan kemunculan karya-karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, terdapat sebuah kitab tajwid yang ditulis tahun 1193 H/1779 M, judul Mir-at al-Quran fi Tahshil Ma’rifat Ahkam at-Tajwid li Malik al-Wahhab, disingkat Mir-at al-Quran saja.

Penyusunnya bernama Sheikh Ibnu Mu’thi bin Sheikh Muhammad Shalih al-Jawi. Tidak diketahui dari mana beliau berasal, tetapi dalam dugaan barangkali berasal dari Patani atau Kelantan.

Manuskrip salinan judul itu sangat banyak diperoleh, tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam, PMMPNM dan dalam simpanan individu. Walaupun manuskripnya sangat banyak diperoleh, namun dipercayai kitab tajwid itu belum pernah diterbitkan berupa cetakan. Melihat kepada tahun penulisannya, 1193 H/1779 M, dipercayai kitab tersebut adalah merupakan kitab tajwid yang pertama dalam bahasa Melayu.

Ulama besar yang berasal dari Patani, yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu yang hidup pada zaman ini ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam tahun 1193 H/1779 M itu telah muncul karya beliau dalam bahasa Arab. Tetapi karya-karyanya yang ditulis dalam bahasa Melayu muncul pada tahun 1200an hijrah. Oleh sebab itu mengenai beliau dimasukkan ke dalam kategori ulama dunia Melayu peringkat keenam.

Peringkat Keenam

Masih termasuk dalam lingkungan abad ke 18-19, tetapi agak kebelakang sedikit dari Sheikh Abdus Samad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Beliau adalah tokoh ulama yang paling produktif, baik dibandingkan dengan penulisan sebelum, sezaman mahupun sesudah beliau.

Karya-karya beliau sesudah tahun 1190an hijrah dimulai tahun 1204 H/1789 M dan berakhir 1259 H/1843 M. Ada lagi maklumat hingga tahun 1263 H, bahkan maklumat terakhir hingga tahun 1295 H Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani masih menulis. Walau bagaimanapun yang telah dianggap sahih adalah hingga tahun 1259 H/1843 M, tahun-tahun sesudahnya masih dalam tahap penelitian.

Keseluruhan karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah 101 judul, tetapi yang pernah penulis senaraikan berjumlah hanya 66 judul sahaja. Menurut tertib susunan tahun penulisan dalam bahasa Melayu, dimulai dengan Kifayat al-Muhtaj, diselesaikan tahun 1204 H/1789 M, tetapi kitab ini yang diketahui umum berdasarkan cetakan adalah diselesaikan tahun 1224 H/1809 M. Disusul dengan Faraid Fawaid al-Fikr fi al-Imam al-Mahdi, diselesaikan tahun 1215 H/1800 M.

Judul ini adalah nadir kerana baru ditemui tiga buah salinan saja. Sebuah dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 652, tidak lengkap, yang lengkap ada dalam simpanan penulis, dan sebuah lagi disimpan oleh seorang ulama di Patani, juga lengkap.

Ada tiga karya yang diselesaikan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam tahun 1233 H/1817 M itu, satu buah mengenai fiqh diberi judul Tuhfat al-Raghibin fi Suluk Thariq al-Muttaqin, juzuk yang ke-2, dan yang kedua mengenai tasauf, tanpa menyebut nama judul. Kedua-duanya adalah naskhah nadir. Mengenai ilmu tasauf hanya dua manuskrip saja dijumpai.

Pertama adalah koleksi PMMPNM nombor kelas MS 666. Kedua pula diperoleh 11 April 1993 di Betong, Patani bekas dimiliki oleh Tuan Guru Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Jerimi al-Fathani, iaitu guru kepada Sultan Ahmad, Sultan Pahang.

Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani muncul sebagai seorang penulis kitab fiqh Mazhab Syafie yang pertama lengkap sekalian babnya, iaitu yang berjudul Hidayat al-Muta’allim, diselesaikan tahun 1244 H/1828 M.

Karya beliau juga yang terlengkap mengenai usuluddin dalam Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu yang berjudul Ward al-Zawahir, diselesaikan tahun 1245 H/1829 M. Karya beliau yang paling tebal ialah Furu’ al-Masail yang dimulai penulisannya tahun 1254 H/1838 M dan diselesaikan tahun 1257 H/1841 M.

Ulama Patani yang berhijrah ke Terengganu, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dekat dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan hidup sezamannya ialah Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas.

Sebuah karya beliau yang dapat dicatatkan dalam artikel ini ialah At-Targhib wa at-Tarhib li Bai’i wa asy-Syira, diselesaikan tahun 1234 H/1818 M. Manuskrip yang ditemui hanya dua buah sahaja, sebuah koleksi Muzium Islam Pusat Islam nombor kelas MI 128.

Sebuah lagi salinan muridnya Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, penyalinan diselesaikan tahun 1236 H/1820 M. Saudara kandung beliau ialah Sheikh Abdullah bin Abdur Rahim al-Fathani. Beliau ini menghasilkan dua buah karya, iaitu sebuah tidak beliau sebut nama judulnya, diselesaikan tahun 1257 H, disalin tahun 1263 H, nama penyalin tidak tercatat.

Taj al-Muluk

Manuskripnya ada dalam simpanan penulis. Sebuah lagi diberi judul Hadits al-Muhimmah, disalin oleh Muhammad Yusuf ibnu Encik Ali Cenak di rumah Sheikh Daud bin Ab-dullah al-Fathani di tempat yang bernama Bab ad-Du’a tahun 1272 H/1856 M. Judul ini banyak kali dicetak dan masih beredar di pasaran kitab.

Ulama Patani yang lain, juga hijrah ke Terengganu ialah Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani. Karya beliau ialah Hidayat al-Mukhtar, diselesaikan tahun 1249 H/1833 M dan Aiyuha al-Walad, diselesaikan tahun 1266 H/1850 M. Saudara kandung Sheikh Wan Hasan al-Fathani ialah Sheikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani menyusun sebuah naskhah mengenai Tariqat Samaniyah yang diberi judul Silsilah Ratib dan Kaifiyatnya.

Seorang tokoh perempuan yang terpelajar yang berasal dari Patani bernama Wan Maryam menghasilkan beberapa buah karya, dua karyanya yang telah dijumpai tercatat tahun selesai penulisan 1259 H.

Karya yang pertama diberi judul Majmu’ Wan Maryam al-Fathani dan yang kedua mengenai hadis 40. Kedua-kedua manuskrip itu dimiliki oleh individu di Patani tetapi penulis pernah diberikan kepercayaan dari pemiliknya untuk menyemak dan mencatat data mengenainya.

Ulama-ulama Aceh yang muncul dalam peringkat keenam, di antara mereka ialah: Sheikh Muhammad bin Khatib Langien. Karya-karya beliau yang telah dijumpai Dawa’ al-Qulub, diselesaikan tahun 1237 H/1821 M, Asrar ad-Din li Ahl al-Yaqin, Mi’raj as-Salikin dan Ku-us al-Muhaqqiqin, semuanya terkumpul dalam nombor kelas MS 1044 koleksi PMMPNM. Sezaman dengan beliau ialah Sheikh Muhammad bin Abdullah Ba’id yang menghasilkan karya berjudul Hukm al-Jarh, diselesaikan tahun 1236 H/1820 M, tetapi manuskripnya belum dijumpai, namun pernah diterbitkan berupa cetakan.

Kemudiannya disusul pula oleh seorang ulama Aceh yang terkenal beliau ialah Sheikh Abbas Kutakarang, seorang ulama ahli astrologi. Manuskrip karyanya yang telah dijumpai ialah Kitab al-Qunu’ liman Ta’ththuf, diselesaikan tahun 1259 H/1843 M, membicarakan hukum penyembelihan. Di Muzium Islam Pusat Islam tersimpan tiga buah manuskrip kitab tersebut, iaitu MI 220, MI 513 dan MI 670.

Di PMMPNM juga tersimpan beberapa buah manuskrip judul itu. Karya Sheikh Abbas Kutakarang yang lain ialah Siraj azh-Zhalam, diselesaikan tahun 1266 H/1849 M, membicarakan hisab dan falakiyah. Kitab judul ini pernah diterbitkan dalam kumpulan kitab yang dinamakan Taj al-Muluk yang diusahakan penerbitannya oleh Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi. Keseluruhan karya Sheikh Abbas Kutakarang dalam senarai saya sebanyak lima judul.

Ulama yang berasal dari Sumbawa yang hidup sezaman dengan Sheikh Abbas Kutakarang ialah Sheikh Muhammad Ali bin Abdul Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi al-Sumbawi. Karyanya yang telah dijumpai hanya sebuah iaitu Al-Yawaqit wa al-Jawahir, diselesaikan tahun 1243 H/1827 M. Merupakan terjemahan karya Sheikh Abdul Wahhab al-Sya’rani.

Kandungannya mengenai hadis tentang seksaan orang yang berdosa besar, dan tentang syurga dan neraka. Manuskrip judul ini telah dijumpai di Pahang bekas dimiliki oleh Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Jerimi al-Fathani, iaitu guru Sultan Abdullah al-Mu’azzam Syah bin Sultan Ahmad, Sultan Pahang.

Manuskrip tersebut telah diserahkan oleh salah seorang keturunan ulama itu kepada penulis dan penulis telah menyerahkannya kepada PMMPNM (tahun 1993). Kitab Al-Yawaqit wa al-Jawahir karya ulama yang berasal dari Sumbawa itu pernah diterbitkan berupa cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab.

Penutup

Disebabkan keterbatasan ruangan, maka perbicaraan mengenai artikel kali ini terpaksa dilanjutkan dalam ruangan yang seterusnya.

Peringkat keenam adalah antara peringkat yang banyak menghasilkan penulisan-penulisan manuskrip. Maka peringkat ini perlu kepada perbicaraan yang panjang, dan belum dapat dibicarakan sepenuhnya. Oleh itu, kesinambungan mengenainya disambung pada selanjutnya.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 18 November 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Harun Yahya : Penyiasat Konspirasi Terkemuka

Beliau bukanlah baru dalam bidang siasatan konspirasi Yahudi. Harun Yahya atau nama sebenarnya Adnan Oktar merupakan antara Conspiracy Investigator (CI) muslim paling terkenal di dunia setakat pengetahuan saya.

Hasil-hasil kerja beliau amat unik malah beliau tidak sahaja menumpu kepada membongkar aktiviti konspirasi Yahudi tetapi banyak makalah-makalah beliau mengajak manusia mengagungkan ciptaan Allah.

Selepas dipenjara atas tuduhan menentang Teori Revolusi Darwin semasa belajar di Turki, beliau banyak menulis tentang kehebatan makhluk-makhluk ciptaan Allah. Setiap huraian dan penerangannya digabungkan bersama fakta sains dengan ayat-ayat al-Quran. Bahasanya mudah, ringkas dan berfakta.

Maka tidak harianlah sebuah hasil kerjanya diterjemah di seluruh dunia dalam lebih 20 bahasa termasuk Eropah, Asia Timur, Asia Barat dan Amerika.

Beliau amat terkenal sebagai pembongkar dan penentang pertubuhan Zionist dan Freemason di seluruh dunia. Mungkin sifatnya ini yang menyebabkan pihak pengurusan Googel Inc. mengharamkan penggunaan Google Groups kepada Adnan Oktar atau sebarang aktiviti berakaitan dengannya.

Bukan itu sahaja, beliau juga antara CI muslim yang dikategorikan oleh Jewish American Organization (JAO.org) sebagai anti-sematik dan berbahaya kepada Yahudi Zionis.

Nampaknya beliau mengikut jejak langkah Muhammad Isa Dawud digelar sebagai anti-sematik dan berbahaya. Cumanya Muhammad Isa Dawud di banned oleh Anti-Defamation League (ADL.org) lebih awal lagi.

Umur mereka berdua juga hampir sama, kedua-duanya berumur 50-an, cuma Harun Yahya tua setahun daripada Muhammad Isa Dawud iaitu 56 tahun.

 

Mengapa Harun Yahya Dianggap Berbahaya?

Yahudi amat licik mencari mangsa untuk dihapuskan. Mereka tidak mencari orang-orang awam yang menyertai demonstrasi jalanan menentang zionis, tetapi mereka mencari penusis-penulis buku yang dijangka sebagai racun utama kepada masyarakat.

Buku pertama beliau bertajuk, Judaism and Freemasonry yang diterbitkan pada 1986 telah menimbulkan kemarahan pemimpin-pemimpin Freemason aliran sekular di Turki. Akibatnya beliau dipenjara dan dikurung di hospital pesakit mental di Ankara.

Dalam buku itu, beliau mengutuk habis-habisan fahaman agama Yahudi iaitu Judais dan pertubuhan Freemason. Beliau juga menegaskan dalam bukunya bahawa kitab Taurat yang digunakan oleh masyarakat Yahudi sekarang adalah palsu.

Namun tentang dan tekanan yang dikenakan ke atas beliau kurang memberi kesan kerana beliau lahir dari keluarga kaya raya dan elit. Beliau banyak menggunakan wang-wangnya untuk tujuan berdakwah, membuat risalah dan mengedar kepada orang ramai.

Selepas keluar dari penjara pesakit mental itu, Harun Yahya tidak gentar malah berani menentang Yahudi secara terbuka dengan menerbitkan suatu lagi buku kontroversi pada 1996 iaitu Soykurum Yalam (The Holocoust Lie).

Kini Harun Yahya amat terkenal dan berpengaruh ditambah pula kerajaan Turki sekarang dipimpin oleh pemimpin revolusi Islam dari parti AKP, Recep Tayyip Erdogan. Kedua-dua mereka mempunyai zaman yang sama dan jihad yang satu.

Harun Yahya dengan jihad ilmu-ilmu sains sosialnya manakala Recep Tayip Erdogan dengan jihad politiknya.

Bilal Philips Vs Harun Yahya

Dalam beberapa ceramah baru-baru ini, Bilal Philips yang juga pendakwah dan penulis beberapa buku berkaitan konspirasi Yahudi menyelar salah satu hasil kerja Harun Yahya iaitu The Atlas of Creation.

Bilal terdapat beberapa ungkapan dalam makalah tersebut yang dipertikaikan oleh Bilal Philips.

Bilal Philips juga mengatakan Harun Yahya ialah seorang pantheist, penyembah berhala dan tidak mempunyai latar belakang sains dalam menerangkan sesuatu berkaitan dunia saintifik. Harun Yahya dianggap hanya sebagai interior designer sahaja dalam dunia saintifik.

Bilal juga menegaskan akan merancang beberapa video untuk mendedahkan pembohongan-pembohongan Harun Yahya (Adnan Okthar)

Pandangan Peribadi Saya

Setakat tarikh ini, dan setakat pengetahuan yang ada, saya masih lagi menyebelahi pandangan Harun Yahya berbanding Bilal Philips. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan saya kurang bersetuju dengan Bilal malah sangsi dengan beliau:

  • Pertamanya Bilal bermazhab Wahabi dan boleh dianggap pendokong ideologi Wahabi yang ekstrem setaraf dengan Ibnu Baaz. Pendokong Wahabi menolak pandangan para sahabat, tabi tabiin dan ulama mazhab lain.
  • Keduanya, Bilal tidak hidup dalam perjuangan seperti Harun Yahya yang pernah dipenjarakan oleh konco-konco Kamal Attartuk.
  • Ketiganya, Bilal hanya mengkritik buku Harun Yahya yang berkaitan penciptaan Allah tetapi tidak mengkritik buku-buku Harun Yahya yang berkaitan Zionis.
  • Keempatnya, Bilal Philips walaupun mempunyai PhD tetapi telah mengeluarkan kenyataan mengatakan semua ulama ahlul Sunnah adalah syirik pada Jun 2007 di Madison Squere Garden, New York. Ini jelas menunjukkan kependekkan akalnya.
  • Dan akhirnya, Bilal tidak tahu berbahasa Turki. Dan Harun Yahya tidak pernah menggunakan bahasa Inggeris dalam buku asalnya. Semua makalah Harun Yahya sebenarnya dari bahasa Turki. Apabila diterjemahkan ke bahasa asing maka ketepatan makna akan bergantung 100% kepada penterjemah tersebut.

    

(Kiri) Harun Yahya ditahan polis Turki pada 1986 kerana menentang sekular (Kanan) Harun Yahya ditempatkan di Hospital Sakit Jiwa Barkikoy, Turki.

Kesimpulan

Apabila berlaku pertembungan dua orang Islam di hadapan masyarakat awam yang berebut memperbetulkan keadaan, harus bagi kita menilai siapakah di antara kedua mereka yang lebih gemar menyelesaikan masalah secara musyawarah berbanding tikam menikam lidah.

Wallhu’alam. Utara Online

 
Tinggalkan komen

Posted by di 4 November 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 10

Tok Ku Paloh Al-Aidrus pejuang Islam dan bangsa Melayu

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Pahlawan Datuk Bahaman pernah meminta perlindungan daripada Tok Ku Paloh Al-Aidrus.

DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De ‘El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah ‘Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus….”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba’ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H

 
Tinggalkan komen

Posted by di 31 Oktober 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 9

Tokoh-tokoh penyebar Islam di Asia Tenggara                                                                                        Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

KEDATANGAN Islam di Asia Tenggara telah banyak dibicarakan, terutama oleh para sarjana Islam. Walaupun sampai sekarang masih wujud perselisihan pendapat antara satu dengan yang lainnya, namun sebagai perkenalan diringkaskan di bawah ini:

Banyak pendapat mengatakan Islam tersebar di Asia Tenggara sejak abad 11, 12 dan 13 M. Ada berpendapat bahawa pengislaman negeri Kelantan datangnya dari negeri Patani. Sejak akhir abad ke- 2 Hijrah atau abad ke-7 Masihi telah datang pedagang Arab ke Patani yang kemudian terjadi asimilasi perkahwinan dengan orang-orang Melayu, dan dipercayai, sekali gus mereka menyebarkan Islam di pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu.

 

Pertemuan

Dikatakan seorang bangsa Arab bernama Sheikh Ali Abdullah yang dahulunya tinggal di Patani, mengislamkan raja Kelantan. Pengakuan Perdana Menteri Kelantan, Haji Nik Mahmud Nik Ismail tentang pertemuan mata wang tahun 577 Hijrah atau 1181 Masihi, tulisan dengan angka Arab, juga tertulis dengan huruf Arab sebelah menyebelah mata wang itu masing-masing dengan Al-Julusul Kalantan dan Al-Mutawakkal ‘alallah.

Sekitar tahun 1150 Masihi, datang seorang Sheikh dari Patani menyebarkan Islam di Kelantan. Diriwayatkan pula oleh ulama Patani secara bersambung bahawa Islam masuk ke Patani dibawa oleh Sheikh Abdur Razaq dari Tanah Arab. Sebelum ke Patani, beliau tinggal di Aceh hampir 40 tahun.

Selain itu, tulisan Arab telah lama digunakan sekali gus bersama tulisan Melayu/Jawi. Hal ini dibuktikan dengan mata wang yang digunakan di Patani. Sebelah hadapannya tertulis dengan bahasa Melayu, “Ini pitis belanja di dalam negeri Patani”, manakala di sebelah belakangnya dengan bahasa Arab yang jika diterjemahkan ertinya seperti di atas, tetapi di sebelah bahasa Arabnya ditambah dengan kalimat Sanah 1305.

Mata wang itu dibesarkan tiga kali ganda dari aslinya, maka sebelah yang bahasa Melayunya tertulis, “Duit ini untuk perbelanjaan dalam negeri Patani”, manakala sebelah bahasa Arabnya tertulis kata-kata ‘tahun Masihi 1305’. Tulisan Arab bahasa Melayu pada mata wang Patani tersebut tidak berjauhan tempoh jaraknya dengan Batu Bersurat yang terdapat di Kuala Berang, Terengganu yang bertahun 702 Hijrah atau 1303 Masihi atau 786 Hijrah atau 1398 Masihi.

Dikatakan Kedah menerima agama Islam dibawa oleh seorang mubaligh bernama Sheikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Sheikh Ja’far Qaumiri dari negeri Syahrir, Yaman. Beliau sampai di Kedah pada tahun 531 Hijrah. Beliau berhasil mengislamkan Sri Paduka Maharaja dan menteri-menterinya.

Aceh termasuk negeri yang pertama diketemui oleh para pedagang Islam yang datang ke wilayah Nusantara tersebut. Di antara penyebar Islam yang terkenal bernama Sheikh Abdullah Arif (di abad ke 12M). Salah satu karya tasawufnya dalam bahasa Arab berjudul, Bahrul Lahut.

Dalam karya klasik karangan Tun Sri Lanang, dalam Sejarah Melayunya yang terkenal itu, bahawa beliau menceritakan kedatangan Sheikh Ismail yang berhasil mengislamkan seorang yang akhirnya terkenal dengan nama Sultan Malikush Shaleh.

Islam di Aceh sampai ke puncak kejayaannya di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Melalui Aceh sehingga negeri Minangkabau menerima Islam, walaupun pada mulanya berjalan agak lambat lantaran pengaruh agama Hindu yang masih sangat menebal.

Pada tahun 1440 Masihi, Islam mulai bertapak di Palembang (Sumatera Selatan) yang disebarkan oleh Raden Rahmat. Di Leren Jawa diketemukan batu nisan seorang perempuan bernama Fathimah Maimun bertahun 495 Hijrah atau 1101 Masihi. Kira-kira tahun 1195 Masihi, Haji Purwa iaitu salah seorang putera Raja Pajajaran kembali dari pengembaraannya, lantas mengajak semua keluarga kerajaan supaya memeluk agama Islam. Namun usaha beliau itu gagal.

Para penyebar Islam di Pulau Jawa memuncak tinggi dengan sebutan Wali Songo/ Wali Sembilannya, yang terkenal di antara penyebar itu seumpama Maulana Malik Ibrahim yang makamnya di Gersik tahun 1419 Masihi.

Pada abad ke-15 Masihi Islam berkembang di Maluku dengan pantas, terkenal penyebarnya bernama Sheikh Manshur yang berhasil mengislamkan Raja Tidore serta rakyat di bawah pemerintahannya.

Adapun Sulawesi berdasarkan buku Hikayat Tanah-Tanah Besar Melayu, tanpa nama pengarang, yang diterbitkan oleh Printed at the Government Printing Office, Singapore, Straits Settlement, 1875 dikatakan bahawa yang terakhir menerima Islam ialah bangsa Bugis. Barangkali lebih kurang tahun 1620 Masihi.

Tahun 1620 Masihi boleh disejajarkan dengan tahun kedatangan mubaligh-mubaligh penyebar Islam yang datang dari Minangkabau. Dato’ Ri Bandang (Khathib Tunggal Abdul Makmur) telah mengislamkan Raja Tallo I Malingkaan Daeng Manyore dan Raja Goa I Mangarangi Daeng Manrabia, yang memeluk agama Islam pada hari Jumaat 9 Jamadilawal 1015 Hijrah bersamaan 22 September 1605 Masihi.

Dato’ Ri Bandang dibantu oleh Raja Goa menyiarkan Islam di Wajo. Beliau meninggal dunia di Patimang negeri Luwu (Indonesia), maka terkenallah beliau dengan sebutan Dato’ Patimang. Penyiar Islam yang seorang lagi bernama Dato’ Ri Tiro.

Barangkali Islam masuk di Sulawesi lebih awal dari tahun tersebut di atas. Pada tahun 1412 Masihi, seorang ulama Patani pernah mengembara hingga ke Pulau Buton dengan tujuan menyiarkan agama Islam ke bahagian Timur. Raja Mulae i-Goa menyambut kedatangan ulama itu dengan berlapang dada.

Pada tahun 1564 Masihi, disusul oleh Sheikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman yang lama menetap di Johor lalu melanjutkan perjalanannya ke Pulau Buton. Walaupun beliau berasal dari Patani tetapi dikatakan masyarakat bahawa beliau adalah ulama Johor.

Seorang bangsa Portugis bernama Pinto pernah datang ke Sulawesi Selatan dalam tahun 1544 Masihi, beliau melaporkan bahawa di Sulawesi Selatan telah banyak pedagang Islam yang datangnya dari Johor, Patani dan Pahang.

Selanjutnya terjadi perkahwinan para pedagang yang beragama Islam itu dengan penduduk asli sehingga ramai rakyat memeluk agama Islam.

Pada tahun 1565-1590 Masihi, Raja Goa Tunijallo mendirikan sebuah masjid untuk pedagang Islam itu di sebuah kampong bernama Mangallekana berdekatan kota Makasar/Ujung Pandang (Indonesia).

Di dalam Hadiqatul Azhar, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa Al-Fathani menyebut Islam masuk ke Sulawesi pada tahun 800 Hijrah, dan raja yang pertama Islam bernama Lamadasilah (La Meddusala).

Kalimantan (Indonesia) dikatakan menerima Islam pada abad ke 16M, Raja Banjar yang pertama memeluk agama Islam ialah Raden Samudera yang menukar namanya kepada Sultan Surian Syah selepas memeluk Islam dan akhir pemerintahannya ialah pada tahun 1550 Masihi.

Dikatakan sebagai penolong kanannya dalam pemerintahan ialah bernama Masih. Beliau mengambil tempat di pinggir Bandar. Dari perkataan Bandar, lalu dikenali dengan nama ‘Kerajaan Banjar’ dan lama kelamaan menjadi ‘Bandar Masih’ kerana mengambil sempena nama ‘Masih’ dan kini terkenal dengan nama ‘Banjarmasin’. Tetapi huruf ‘h’ ditukar dengan huruf ‘n’.

Di antara ulama Banjarmasin yang paling terkenal ialah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari, penyusun kitab Sabilul Muhtadin dan Sheikh Muhammad nafis bin Idris Al-Banjari, penyusun kitab Ad-Durrun Nafis.

Sukadana menerima agama Islam yang dibawa oleh dua mubaligh bernama Sheikh Syamsuddin dan Sheikh Baraun, mubaligh yang membawa surat dari Mekah untuk memberi gelaran Raja Sukadana itu dengan Sultan Aliuddin atau juga digelar dengan nama Sultan Shafiuddin.

Sambas didatangi oleh mubaligh-mubaligh Islam yang paling ramai setelah Portugis menakluk Melaka dan setelah Aceh menakluk Johor. Di antara mubaligh yang sampai sekarang sebagai keramat (disebut keramat Lumbang) bernama Sheikh Abdul Jalil berasal dari Patani.

Ada juga mubaligh berasal dari Filipina, salah seorang keturunannya sebagai ulama besar, iaitu Sheikh Nuruddin kuburnya di Tekarang, Kecamatan Tebas, Sambas (meninggal dunia tahun 1311 Hijrah), Indonesia.

Pengislaman Sulu dilakukan dengan aman, yang datang ke sana adalah seorang mubaligh yang berpengalaman sejak dari Mekah, dan beliau sampai di Sulu pada tahun 1380 Masihi. Nama beliau ialah Syarif Karim Al-Makhdum.

Selepas Syarif Karim Makhdum datang pula Syarif Abu Bakar pada tahun 1450 Masihi. Beliau juga dipercayai seorang mubaligh yang banyak pengalaman dan aktiviti dakwahnya dilakukan sejak dari Melaka, Palembang dan Brunei.

Selain itu yang agung juga namanya dalam pengislaman di Filipina ialah Syarif Kebungsuan. Nama asalnya ialah Syarif Muhammad bin Zainal Abidin yang datang dari negeri Johor. Adapun Syarif Zainal Abidin itu diketahui adalah keturunan Rasulullah yang menyebarkan Islam di Johor.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 18 Oktober 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 8

Sheikh Idris Al-Marbawi pengarang Bahrul Mazi

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAHAB Tafsir Surah Yasin karangan Imam Asy-Syaukani terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Al-Marbawi atas permintaan percetakan Musthafa Al-Baby Al-Halabi Mesir tahun 1353H.

ULAMA besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

Tok Kenali antara Guru Sheikh Idris al-Marbawi

Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.

Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut.

Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.

Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau.

Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

Karya-karya yang dihasilkan

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

A. Qamus Idris al-Marbawi

Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.

Paling luas penyebarannya

Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.

Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.

Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

B. Bahrul Mazi
Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau.

Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:

– Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.

– Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.

– Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.

– Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.

– Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.

– Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.

– Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.

– Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.

– Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.

Bab-bab jualan
– Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.

– Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.

– Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.

– Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.

– Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.

– Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.

– Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.

– Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.

– Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.

Minta izin
– Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.

– Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955.” Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.

– Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.

– Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.

Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

Kurang tersebar
Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.

Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu…”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
 
Tinggalkan komen

Posted by di 7 Oktober 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 7

Sheikh Abd. Qoder Al Mendeli.

Kitab karangan mahaguru kepada para ulama seNusantara , mengajar di masjidil Haram Mekah sekitar tahun 50an. Sheikh Abdul Qoder bin Abdul Mutalib Al-Mandeley rhm. Membahaskan persoalan berMAZHAB dengan terperinci. “Al Mazhab atau tiada haram bermazhab“.

Sheikh al- Allamah ini , seperti yang saya dengar kisahnya dari guru guru saya.

1. Satu ketika dulu lebih kurang lebih dari 25 tahun dulu , disatu kampong ,Kubur Panjang , Kota Setar Kedah, saya menziarahi sorang guru tua. Umurnya dkt 100 thn . Orang memanggil beliau dgn gelaran Pak Su Lah. Beliau salah sorang dari tiga sahabat Sheikh Abd. Qoder al mendeli yang datang musafir ke tanah melayu dgn tujuan menuntut ilmu. Seorang lagi , bernama haji Abbas, guru juga , dikatakan hj Abbas adalh menantu kepada Tuan Guru salah satu pondok diMerbok, Kedah. Cerita Pak Su Lah, mereka masuk ke Malaya mencari pondok pengajian. sampai ke Sebrang Prai, Kulim singgah ditiap2 pondok untuk memilih tempat belajar yang sesuai, akhirnya sampai di Pondok gajah Mati , pondok Tuan Guru Pak Cu Him. Sebelumtu pak Su Lah menceritakan sebelum sampai ke Pondok Gajah Mati mereka singgah disatu pondok di hujung negeri Kedah sempadan Perak, Tuan Guru disitu mengajar fekah , {mengajak (mengajar) kitab Kasful Litham.. ambooi.. haluihnya …(bahas) tapi (sayangnya disitu hanya ) baca kitab jawi ja.}.
Inilah ayat yang saya masih ingat dari arwah pak su. Pak su ni mempunyai sorang anak , ustaz Mahmud . Mengajar pondok almarhum ustaz Nikmat Derang.

2. Al Marhum Tuan Guru Haji Abd. Halim , guru saya, oleh kerana semasa dengan S. Qoder tetapi muda, pernah menghikayatkan kisah pembelajaran Sheikh Abd. Qoder , semasa masih menuntut di Pondok Gajah Mati, {Tuan Sheikh Qoder sangat kuat menghapai ( hafal matan-matan ilmu) , sedang mandi disungai, selesai je mandi selesailah satu matan (alfiyah – ilmu nahu). }. Satu ketika setelah S. Qoder digelar orang Sheikh , pulang menziarahi Malaya, datang kepondok Gajah Mati, menziarahi Tuan Guru beliau, ketika sampai di Pendang beliau disambut oleh Guru saya ( T. Guru Abd Halim) semasaitu beliau belum guru lagi, tapi sebab rapat tali persaudaraan beliau dgn Tuan Guru Pak Cu Him , beliau diarahkan menjemput S. Qoder di Pekan Pendang dengan basikal. Apabila sampai saja hampir Pondok, S. Qoder menyuruh berhenti, ( berenti, berenti Tok Guru, Tok Guru)… kata S. Qoder.. maksud beliau , hanya mahu berjalan kaki saja menuju kerumah Tuan Gurunya, tanda Hormat dan Tawadhu’…. itu le sifatnya ulama’ aamilin.

3.Al Marhum Tuan Guru Haji Yahya Telok, juga guru saya yang dikasihi.. menceritakan, S. Qoder ini , (sambil memukul padi pun menderaih matan…) maksudnya sangat kuat menjaga hafalan..kata beliau lagi , (satu masa Tok Sheikh Qoder, dijemput ke Perlis.. debat dgn puak kaum muda,,, abih lah alah depa… dia ingat sungguh…) maksudnya, Tuan Sheikh Qoder sangat hafal dalil-dalil, baik Quran mahupun hadis-hadis..

4.Al Marhum Tuan Guru Haji Husin , kampong kubang buaya, Derga , Alor setar, juga guru saya, menceritakan.. (masa saya naik pi Mekah , sekapai dengan Tok Sheikh Qoder, dalam kapai dia dok menderaih sittun mutun tuuh.. tulaa dia boleh alimm..orang pun mulaa kenai dia alimm. bila sampai mekah,,, mula-mula depa mintak dia baca mutammimah… paih tu naik naik ke kitab besak ..) . Kitab (Sittun Mutun), himpunan 60 matan-matan ilmu Islam. maasyallah.. tuan , saya ni 2 ,3 matan pun tak lepas… inikan pula 60 matan . saya pun itulah kali pertama mendengar nama kitab tu, dan itulah kali pertama dan terakhir disebut dan melihat nya dirumah Tuan guru saya tu.. kitab majmu’ kabir pun tak sampai 60 matan dalamnya…

5. Al Marhum Kiyai Ma’shum ..Kg. Sungai Tengar, Sabak Bernam Selangor…. beliau menadah kitab di Masjid al Haram mekah di halaqah Tuan Sheikh Qoder… ” Sheikh Qoder bila mengajar,,, beratus orang penuntut yg menadah , suaranya dengar jelas walaupun yg duduk jauh dihujung halaqah.. boleh dikatakan kalau musim haji semua ulamak dan awam dari nusantara tidak akan melepaskan peluang singgah mendengar dan mencenduk mutiara dihalaqah S. Qoder… semua, qodhi2, mufti2 duduk …”..

6. Mengenai hal murid-murid beliau , Al- allamah ini, mempunyai murid yang sangat ramai dikalangan para ulamak diNusantara. kalau kita berziarah ke Fathoni, didapati majoriti Tuan-tuan Guru disitu adalah murid beliau atau murid kepada murid beliau. Al-Marhum2 Tuan Guru Rashid wara’, dan Tuan Guru Baba Yeh serta beberapa lagi ulama besar Fathoni . Tak kurang juga di Malaysia…Tuan Guru Haji Abdullah pondok Lubuk Tapah,, pasir mas. Tuan Guru Haji Hashim pondok Pasir Tumbuh..

7. Adapun mengenai anak beliau yang tidak sefahaman dgn fahaman ayahndanya… maka telah meriwayatkan oleh al alim Tuan Guru Haji Abdullah Sarah, pondok bendang badang, Fathoni.. daripada guru beliau, berkata T.G. Hj. Abdullah ” mullah baba ghoyat… {mulonyo baba .. anak tok seaa ngaji, gi ata masuk sekolah Saudi metaa, belaa2 ngaji,,, pah.. tarik kelek, celoh tu baba maati. emmh paah habiih kok tuu}”..

inilah alkisahnya.. tak boleh lah nak disalahkan atau nak dinegatifkan al allamah ini.. sudahlah nasib dan cubaan diakhir zaman.. kalau kita ,, kalau boleh jangan lah sekali-kali menghantar anak2 ke pendidikan yang tidak sesuai dgn pegangan kita.. masalahlah nnti dimasa depan..

8. Adapun mengenai pelajaran yang diajar oleh al-Allamah ini, berkata murid beliau Tuan Guru Pak lang Zakaria, Pondok Kubang Rotan , Alor Setar, Kedah… ” Pak Lang,,, kitab Fathul Wahhab, khatam dengan Sheikh Qoder,,, 8 tahun “.. maksudnya beliau menghabiskan pembacaan kitab ilmu fiqah , Fathul Wahhab karangan Sheikhul Islam Zakaria al-Anshori selama 8 tahun menadah kulit ke kulit sampai tamat pada S. Qoder.. maasyallah.. tuan.

Tuan Guru-tuan guru di Fathoni pula boleh dikatakan kebanyakan mereka meriyawatkan nota-nota kitab al Mahalli dari al Allamah ini.

Al-marhum Tuan Guru Baba Hasan Leweh, ketika mengajar kitab al Mahalli , akan menyebut dgn detail dhobit2/note S. Qoder yg diriwayatkan dari 2 orang Guru beliau , iaitu Tuan Guru Baba Yeh dan Tuan Guru Baba Rashid wara’. Ini menunjjukkan pengaruh uslub ibarah kitab fiqah yang ilmiah untuk memahami isi kandungan kitab fiqah peringkat tinggi, yang diwarisi dari S. Qoder sangat berpengaruh diNusantara ini.

Al- marhum Tuan Guru Hj Halim, menceritakan ” Shekih Qoder, kadangtu, tengah mengajar mahalli , berenti berdiri minum air“.

Al- Marhum Tuan Guru Hj Yahya menceritakan ” Ada sorang tu kawan saya, lepaih pondok bunut payung , pi mekah , mengaji dgn S. Qoder kitab Tafsir Baidhowi (arab).. habih.. (khatam).. dhobit S. Qoder“.

Menceritakan oleh Tuan Guru Hj Abdullah Sarah , Pondok Bendang Badang, Fathoni, ” Baba Sid Wara’ tu,, abih Sunnan Sittah dgn muloh Sheikh Qoder, sumo yeng naik ke mekoh dari jawi gi telaah ngan dio blako“..

Dan berbagai-bagai lagilah ilmu yg disampaikan oleh al Allamah ini..menurut maklumat anak2 murid beliau… wslm..

 
Tinggalkan komen

Posted by di 2 Oktober 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 6

Abdul Rahman Al-Kalantani – Mufti terakhir kerajaan Mempawah

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Ulama-ulama yang dikisahkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia sebelum ini, sebahagian besarnya adalah ulama-ulama pendatang ke Malaysia, terutama yang berasal dari Patani. Berlainan dengan ulama yang diceritakan ini, beliau adalah ulama yang berasal dari Kelantan, Malaysia yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, Indonesia. Beliau ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani. Tahun kelahirannya tidak diketahui. Beliau meninggal dunia pada tahun 1391 Hijrah/1971 Masihi dalam usia melebihi 80 tahun. Kuburnya terletak di Kampung Pulau Pedalaman, Mempawah.

Terdapat beberapa ulama yang berasal dari Malaysia dan datang ke Kalimantan Barat sebelum Abdur Rahman, antara mereka ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah. Makamnya terletak di Kuala Secapah, Mempawah. Haji Ismail bin Abdul Majid berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti di Kerajaan Pontianak. Beliau meninggal di Kelantan.

Pendidikan

Abdur Rahman adalah murid peringkat awal Tok Kenali. Menurut keterangannya sendiri bahawa beliau sempat menadah kitab sewaktu Tok Kenali mengajar di bawah pohon getah, kerana pada waktu itu beliau belum memiliki bangunan surau atau madrasah. Perkara yang sangat ditekankan dalam pendidikan tersebut ialah ilmu nahu dan sharaf. Abdur Rahman sempat mempelajari kedua-dua ilmu itu daripada Tok Kenali mulai peringkat yang paling asas hingga peringkat tertinggi. Sampai hari tuanya, beliau masih tetap menghafal Matan Alfiah Ibnu Malik yang terdiri daripada 1000 bait dan sangat terkenal. Selain Matan Alfiah, beliau juga menghafal matan-matan lainnya.

Antara murid Tok Kenali yang menjadi ulama besar terkenal dan sama-sama belajar dengan Abdur Rahman, bahkan tinggal sepondok, ialah Syeikh Idris al-Marbawi, penyusun Kamus al-Marbawi, tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan Malaysia pertama.

Selanjutnya setelah memperoleh ilmu yang sangat banyak di pondok pengajian Tok Kenali, Abdur Rahman melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Beliau tinggal di Mekah selama belasan tahun.

Perantauan

Begitu lama Abdur Rahman belajar sambil merantau di Mekah dan sekitarnya, sehingga ketika pulang ke Kelantan beliau tidak begitu mesra tinggal di Kelantan, negerinya sendiri. Menurutnya, pada mulanya beliau akan merantau ke Banjar, kerana di sana sangat terdapat ramai ulama. Perancangan awalnya, dari Banjar beliau akan ke pulau Jawa kerana sewaktu berada di Mekah beliau sempat belajar kepada beberapa orang ulama yang berasal dari Jawa, antaranya, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor.

Dari Kelantan Abdur Rahman menuju ke Singapura dan selanjutnya belayar menuju Sambas. Pada zaman itu Sambas juga terkenal dengan ulamanya yang ramai. Di Sambas beliau tinggal di rumah Syeikh Muhammad Basiyuni Imran, Maharaja Imam Sambas yang sangat terkenal.

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran menyarankan supaya Abdur Rahman tinggal di Kerajaan Sambas dan tidak perlu merantau ke Banjar atau ke Jawa kerana Kerajaan Sambas masih memerlukan para ulama. Atas kehendak Syeikh Muhammad Basiyuni, beliau diberikan seorang isteri di Kampung Semperiuk, Sambas. Sekali gus diberi tugas mengajar di daerah tersebut dan beberapa daerah yang berdekatan dengannya.

Mufti dan guru penembahan Mempawah

Setelah beberapa tahun Abdur Rahman menetap di Sambas, beliau diminta pula oleh Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin, Penembahan Mempawah untuk berpindah ke Mempawah bagi mengajar di Istana Mempawah dan sekali gus mengajar di masjid-masjid dan surau-surau dalam pemerintahan Mempawah.

Sebelum tawaran itu diterima, terlebih dulu Abdur Rahman mengadakan perundingan dan persetujuan daripada Syeikh Muhammad Basiyuni Imran.

Semua yang dijanjikan oleh Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin kepada Abdur Rahman dipenuhi. Pangeran Muhammad Taufiq membahagikan dua jalur penyebaran Islam dalam Kerajaan Mempawah, iaitu sebelah utara ditugaskan kepada Abdur Rahman Kelantan dan sebelah selatan kepada Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ahmad yang berasal dari Banjar. Kedua-dua ulama tersebutlah yang paling terkenal dalam Kerajaan Mempawah sebelum perang dunia kedua.

Selain sebagai Mufti, mengajar kerabat istana, mengajar di masjid-masjid dan surau-surau, Abdur Rahman juga mendirikan pondok pengajian menurut sistem pondok Patani dan Kelantan yang diberi nama Darul `Ulum.

Catatan peribadi

Pertama kali sampai di Mempawah pada tahun 1969, penulis tinggal di rumah Tuan Guru Haji Abdur Rahman Kelantan. Di sini penulis sempat bergaul dan belajar kepada beliau, maka dirasakan perlu merakamkan beberapa catatan penting mengenai beliau.Sewaktu perang dunia kedua, ramai pemimpin dan ulama di Kalimantan Barat dibunuh oleh Jepun tetapi Abdur Rahman terlepas daripada tangkapan Jepun.

Menurut ceritanya bahawa pada suatu hari sesudah sembahyang Subuh, tiba-tiba ada seorang yang tidak dikenali datang ke rumahnya. Orang itu menyuruh beliau segera meninggalkan rumah. Abdur Rahman segera mengikut arahan tersebut. Beliau kemudiannya pergi ke Sungai Bundung, kira-kira 30 km dari Mempawah, iaitu sebuah kampung yang ramai muridnya. Tidak lama kemudian tentera Jepun sampai ke rumahnya tetapi Abdur Rahman tidak berada di rumah. Oleh kerana itu, tentera Jepun langsung menuju Istana Mempawah dan menangkap Penembahan Pangeran Muhammad Taufiq Aqamuddin dan pembesar-pembesar lainnya.

Sekiranya beliau berada di rumah, sesudah Maghrib biasanya beliau mengamalkan wirid hingga masuk waktu Isyak. Sesudah makan malam beliau akan berjalan mundar-mandir sekurang-kurangnya seratus langkah. Menurutnya amalan sedemikian untuk penghadaman makanan yang tujuannya menjadikan badan sentiasa segar dan sihat. Sambil melakukan riadah tersebut, kedengaran beliau membaca surah-surah al-Waqi`ah, al-Mulk dan lain-lainnya secara hafalan.

Beliau akan berhenti mengajar kira-kira pukul 11.00 malam. Pukul 3.00 pagi akan terdengar suaranya mengucapkan zikir dan surah al-Ikhlas sehingga kedengaran azan Subuh.

Peristiwa ini diketahui penulis kerana penulis tidur di bilik yang disediakannya, iaitu bersebelahan dengan bilik tempat beliau tidur dan beramal.

Jika beliau berada di kediaman muridnya, mengajar di kampung yang berjauhan dari rumahnya, beberapa amalan di atas tetap dikerjakan, ditambah lagi mengajar hingga pikul 12.00 malam. Sesudah mengajar beliau terus mengerjakan beberapa jenis sembahyang sunat dan berwirid kira-kira satu jam lamanya. Sekitar

pukul 1.00 pagi barulah beliau merebahkan badannya di atas tempat tidur. Kira-kira pukul 3.00 pagi, beliau bangun lagi untuk berwirid selama satu jam.

Lebih kurang satu jam sebelum Subuh beliau mandi. Biasanya, air mandinya disediakan oleh murid-muridnya. Cara mandinya juga mempunyai cara tersendiri, Setiap gayung air yang disiramnya, diiringi dengan bacaan doa. Siraman air sekurang-kurangnya 40 gayung.

Selain hal-hal yang tersebut, biasanya murid-muridnya menyediakan kopi yang asli, telur ayam kampung dan madu asli. Semuanya beliau adun dalam air panas. Menurut beliau, amalan tersebut diamalkannya sejak muda lagi dan khasiatnya supaya badan tidak lemah.

Menurut keterangan anaknya Drs. Haji Abdul Malik, sepanjang pergaulannya dengan beberapa orang ulama di Banjar, Kalimantan Selatan, beliau tidak berjumpa cara-cara melakukan amalan-amalan dengan rutin atau istiqamah seperti yang dikerjakan oleh orang tuanya itu, bahkan tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa bidang penguasaan ilmu Islamnya juga sangat sukar untuk dicari gantinya.

Segala yang penulis sebutkan di atas mungkin ada benarnya, kerana umur beliau ketika itu telah mencecah lebih 70 tahun. Penulis pernah mengikutnya berjalan kaki sejauh 8 km ke tempatnya mengajar. Beliau berjalan dengan laju tanpa berhenti walaupun sekejap.

Karya dan keturunan

Karya yang sempat dihasilkannya hanya sebuah, iaitu Qawaninul Mubtadi fil Fiqh yang diselesaikan pada 22 Zulhijjah 1353 Hijrah/27 April 1935 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang fikah dalam bentuk soal jawab. Ia dicetak oleh Mathba’ah al-Masawi, 14 Ulu Palembang.

Abdur Rahman Kelantan berkahwin dua kali. Perkahwinan pertamanya di Kampung Semperiuk, Sambas, memperoleh seorang anak bernama Haji Aziqqi. Beliau memperoleh pendidikan Universiti Al-Azhar, Mesir dan selanjutnya menjadi pensyarah di sebuah universiti di Banjar. Haji Aziqqi meninggal dunia di Banjar. Semua anaknya berada di Banjar, Kalimantan Selatan. Perkahwinan kedua di Mempawah, memperoleh dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Antara anak-anaknya dengan isteri di Mempawah ialah Drs. Abdul Malik yang telah meninggal dunia. Jawatan yang pernah disandangnya ketika hidupnya ialah Kepala Kantor Urusan Wilayah Propinsi Kalimantan Barat di Pontianak. Anak perempuan Abdur Rahman yang bernama Mahfuzah berkahwin dengan Ustaz Hasan Basri, yang aktif memimpin Thariqat Naqsyabandiyah Muzhhariyah.

Antara murid-murid Abdur Rahman yang masih aktif hingga sekarang ialah Ustaz Haji Zainal Arifin bin Ahmad, Ketua Majelis Ulama Daerah Tingkat II Kabupaten Pontianak di Mempawah. Murid beliau pula ialah Drs. Haji Bujang Rasni, Kepala Pondok Pesantren Usuluddin di Singkawang.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 28 September 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz Khalifa yang agung

Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz Khalifa yang agung

Pendidikan

Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka spt Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)

Sifat-Sifat Peribadi

Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah   Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk  jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Pada suatu hari beliau berkhutbah yang mana antara isinya adalah spt berikut ;

“Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah.”

“Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi  hari tidak akan sampai ke   petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian ditengah-tengahnya”

“Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat.”

“Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin”.

“Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya.”

“Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : “Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga” Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang”

Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah :

        1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata : “Dari anakku (zuriatku)  akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan”

        2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik  telah berkata : “Aku  tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul  Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah”

        3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata : “Aku telah beberapa kali mendengar     suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : “Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil”.” Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya”.

        4) Qais bin Jabir berkata : “Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun”

        5) Hassan al-Qishab telah berkata :”Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz”

        6) Umar b Asid telah berkata :”Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang  lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai :”Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu”. Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya”

        7) ‘Atha’ telah berkata : “Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha’ setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara  satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka.” 

 Umar Ibnu Aziz Sebagai Khalifah

Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem fuedal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :

            1) menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran

            2) merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal

            3) memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah

            4) menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan    beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.

Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.

Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa’  Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.

Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab ! yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya…..

Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan

2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan….

Tetapi Khalifah Umar b Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat………..kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri..

Semua ini adalah jasa Khalifah Umar b Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada  pemerintahan  zaman moden ini….hanya   852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman..satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan ornag yang benar-benar ikhlas…..!!!

Biodata Ringkas

 

Nama                  : Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu            : Laila binti ‘Asim bin Umar bin Al-Khatab
T/Lahir                : 61H
Umur                  : 39 tahun
Tarikh M/Dunia    : 101H
Jawatan              : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah
Tarikh Lantikan    : Safar 99H @ 717M
Lama Berkhidmat : 2 tahun 5 bulan

http://al-futhuhat.blogspot.com

 
Tinggalkan komen

Posted by di 22 September 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 5

Ulama rujukan Sheikh Daud Abdullah al-Fathani

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PARA ulama yang sering disebut-sebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebahagian besar adalah ulama-ulama ikutan beliau.

Tulisan ini adalah ringkasan daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang dipetik daripada pelbagai karya beliau.

Memperkenalkan biografi para ulama yang ditulis oleh beliau, bererti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah juga seorang tokoh sejarah terutama tentang sejarah Islam.

Adapun para ulama dan para imam yang disebut-sebut beliau ialah:

1. IMAM SYAFIE

Sheikh Daud al-Fathani adalah seorang yang mengikut mazhab Syafie, maka didahulukan Imam Syafie daripada ulama-ulama lain. Beliau menulis di dalam Bughyatuth Thullab, yang ringkasannya sebagai berikut:

“Aku sebut sebahagian daripada manaqib radiallahu anhu kerana mengambil tabarruk. Bahawa dia adalah Sultan A’immah, namanya Muhammad, kuniyahnya Abu Abdullah bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafi’e bin Saib bin Ubaid bin Abdi Yazid bin Hasyim bin Abdul Muthalib bin Abdi Manaf nenek Nabi s.a.w”.

Dilahirkan di Ghuzzah (satu kampung di Palestin) tahun 150 H (756 M). Dari Saib itulah dibangsakan kepada Syafie, dan dapat berjumpa dengan Nabi s.a.w..

Dalam keadaan muda remaja Saib dan Syafie itu masuk Islam pada Perang Badar. Beliau adalah yang tunggal dalam golongan Bani Hasyim yang turut tertawan dalam perang Badar kerana pada mulanya beliau belum Islam, lalu dia menebus dirinya dengan masuk agama Islam.

Muhammad bin Idris Syafie pada umur kira-kira dua tahun dibawa ke Mekah, dan dibesarkan di Mekah. Pada usia tujuh tahun, beliau telah hafal 30 juzuk al-Quran dan pada usia 10 tahun, beliau menghafal kitab Kitab Muwathath karangan Imam Maliki.

Beliau mempelajari ilmu fikah dengan Muslim bin Khalid, Mufti Makkatul Musyarrafah. Hidup beliau dalam keadaan yatim dan serba kekurangan. Sifat-sifatnya sejak kecil sangat suka menghadiri majlis ulama.

Dalam waktu belajar, beliau selalu menulis pelajaran di atas tulang dan lain-lain yang seumpama itu, sehingga dikumpulkan memenuhi tempat kediamannya.

Imam Syafie berpindah pula ke Madinatul Munawwarah untuk belajar dengan Imam Maliki. Pada tahun 195 H beliau berpindah ke Baghdad, tinggal di Baghdad selama dua tahun. Banyak ulama belajar dengan Imam Syafie hingga mengikut mazhabnya.

Di Baghdad beliau mengarang kitab yang terkenal dengan sebutan Qaul Qadim. Sesudah itu kembali ke Mekah. Setelah beberapa lama menetap di Mekah, beliau kemudian ke Baghdad pada 198 H. Setelah sebulan di Baghdad berangkat pula menuju Mesir, selama di Mesir berkhidmat menyebarkan ilmu pengetahuan.

Beliau adalah seorang yang bekerja bebas merdeka di lingkungan jemaahnya. Akibat dipukul secara aniaya, beliau sakit dan kembali ke rahmatullah.

Imam Syafie meninggal dunia pada Jumaat, akhir bulan Rejab tahun 204H dan dikebumikan di Arafah setelah selesai sembahyang Asar.

Bertaburanlah ilmu pengetahuan seluruh negeri. Sekelian imam mengutamakannya sama ada yang bersifat khilafiah, mahupun yang telah disepakati oleh ulama padanya.

Bahawa Imam Syafie adalah orang yang pertama sekali mencipta ilmu usul fiqh. Beliau juga yang pertama mengadakan taqrir tentang Nasikh dan Mansukhnya dalam Ilmu Hadis. Selain itu beliau juga yang pertama mengarang beberapa bab pada ilmu fikah.

Sesuai dengan apa yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. Ilmu alim Quraisy itu memenuhi lapisan bumi.

 

2. IMAM HANAFI

Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Adapun Imam Nu’man Abu Hanifah adalah pada beliau ini, agama kuat, mempunyai martabat yang mulia. Beliau ibarat lampu yang sangat menyala terang benderang bahkan seumpama matahari menerangi seluruh alam maya pada ini.

“Beliau adalah penghulu sekalian fuqaha pada masanya, mengepalai sekalian ulama di tempatnya. Nama lengkapnya ialah Nu’man bin Stabit bin Nu’man yang berasal dari peranakan Parsi.

Orang pernah menanyakan kepada Imam Malik tentang Imam Abu Hanifah. Berkata Imam Malik : “Aku lihat seorang laki-laki, kalau melihat tiang ini adalah dia daripada batu padahal dia adalah daripada emas, nescaya dia mendirikan hujahnya”.

Berkata Imam Syafie: “Barang siapa berkehendak kepada hadis maka lazimkanlah dengan Imam Malik. Barang siapa berkehendak kepada tafsir maka di atas Maqatil bin Sulaiman. Barang siapa berkehendak atas jadal maka atasnya dengan Abi Hanifah”.

Beliau wafat pada 150 H di Baghdad semasa berusia 70 tahun dan dimakamkan di Baghdad.

3. IMAM MALIKI

Sheikh Daud al-Fathani menulis di dalam Fathul Mannan sebagai berikut: “Dialah Imam Darul Hijrah dengan permuafakatan, dan dia Saidul Ummah. Keistimewaannya ialah dengan kefasihan lisan, tangan terbuka untuk bersedekah dan berani memisahkan yang hak dengan yang batil. Nama lengkapnya Malik bin Anas bin Abi Amir Asbahani bin Usman bin Ubaidillah dari keturunan Taim bin Ka’ab.

Berkata Yazid bin Daud: “Aku lihat dalam mimpi kubur Rasulullah terbuka. Tiba-tiba Rasulullah duduk sedang manusia berkeliling di sekitarnya. Ada orang memanggil katanya: “Di mana Anas bin Malik?”. Maka dia pun datang, mendekati Rasulullah. Rasulullah memberikan sesuatu kepadanya, sabdanya: “Bagikanlah olehmu kepada manusia!”. Di dalam hadis Nabi diriwayatkan: “Hampir-hampir manusia memukul unta pelari, mereka mencari orang alim. Maka tiadalah mereka mendapatkan seorang alim yang lebih alim daripada alim Madinah!”.

Imam Maliki wafat pada 14 Rabiulawal tahun 179H ketika berumur 85 tahun dan dimakamkan di Baqi’. Riwayat yang lain menyatakan 90 tahun.

4. IMAM HANBALI

Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Maka Imam Ahmad bin Sahibul Maqam al-Ahmad. Dia adalah seorang yang sangat penyabar. Di otaknya banyak terkumpul sunah atau hadis Nabi s.a.w. Nama lengkapnya ialah Imam Ahmad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Abdullah bin Hibban bin Abdullah bin Abbas bin Aun bin Qasith bin Syaiyan.

Dikatakan pada hari wafatnya kalau ditaksir kitabnya kira-kira dapat ditanggung di atas 12 unta, kitab-kitabnya itu semuanya telah beliau hafal.

Beliau wafat pada 12 Rabiulawal tahun 24H dalam usia 77 tahun. Jenazahnya disembahyangkan oleh 800,000 orang lelaki dan 60,000 perempuan. Orang-orang yang bukan Islam juga menghadiri yang ditaksir berjumlah 20,000 orang. Jenazah beliau juga dimakamkan di Baghdad.

Di dalam kitab Ad Durrust Stamin, Sheikh Daud al-Fathani meriwayatkan perjuangan Imam Hanbali tentang pegangannya yang menyatakan bahawa al-Quran itu adalah kalamullah bukan ‘makhluk’ seperti yang dipaksakan oleh pemerintah di kala itu. Cerita tersebut diperlengkap dalam kitab Warduz Zawahir dengan lebih jelas lagi.

5. SUFYAN AST STURI

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis: “Maka Sufyan Ast Sturi, laqabnya Abu Abdullah Sufyan bin Said bin Masruq Ast Sturi bin Abdullah bin Abdu Munnah bin ‘Ud bin Thabikhah bin Ilyas bin Mudhur al-Kufi. Adalah beliau ini ‘Syeikhul Islam, Saidul Huffazul A’lam Amir pada Ilmu Hadis’.

Beliau dilahirkan pada tahun 97H wafat di Basrah pada bulan Syaaban tahun 161 H. Mazhabnya hanya berkekalan sampai 500 tahun sahaja.

6. AL-LAIST BIN SAAD

Al-Laist adalah Syeikhul Islam Ilmu A’lam. Beliau adalah orang alim di negeri Basrah. Kunniyahnya Abdul Harist al-Laist bin Saad bin Abdur Rahman Fahimi. Beliau wafat pada tahun 175 H.

7. SUFYAN BIN ‘UYAINAH

Ibnu ‘Uyainah iaitu imam yang mempunyai hujah yang hafiz lagi luas ialah Sufyan bin ‘Uyainah bin Abi Imran Maimun al-Hilali. Beliau adalah imam ahli pengetahuan dan ahli hadis. Dia telah mendengar fatwa Imam Syafie dan Imam Ahmad.

Berkata Imam Ahmad: “Tiada aku lihat yang terlebih ahli dengan matan selain daripadanya”. Beliau wafat pada tahun 198H.

8.AL-AUZA’I

Auza’i ialah seorang Syeikhul Islam

dari Aimmatul A’lam, ialah Abdur Rahman bin Amru Muhammad al-Auza’i ad-Dimsyaqi. Adalah nama Abdul Aziz, kemudian menamakan dirinya dengan Abdur Rahman, nama inilah yang dimasyhurkan.

Beliau seorang yang bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang malam dan tilawatil Quran. Beliau telah memberi fatwa dalam 70,000 masalah. Beliau wafat pada 2 Safar 157H.

9. Sheikh JALALUDDIN AL-MAHALLI

Sheikh Jalaluddin al-Mahalli lahir tahun 768H, wafat tahun 864H. Beliau lahir di Kaherah, Mesir.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam penyusunan kitab Furu’ul Masail telah mengambil pedoman dua kitab besar. Satu daripadanya ialah kitab Kasyful Listam karangan Sheikh Husein bin Muhammad al-Mahalli.

Pada permulaan kitab Furu’ul Masail Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani menulis: “Dan kitab Kasyful Listam ‘an as-Alatil Anam bagi Sheikh yang Allamah lagi Muhaqqiq sebahagian orang mutakhirin Husein anak Muhammad al-Mahalli r.a..

10. SYEIKHUL ISLAM ZAKARIA AL-ANSYARI

Dilahirkan di Kaherah, Mesir pada tahun 826H, dan wafat 926H. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam penyusunan beberapa kitab yang besar-besar telah mengambil pedoman karya-karya Sheikh Zakaria al-Ansari sebagai buku-buku rujukan.

Antara karangan Sheikh Daud al-Fatani yang sebahagian besarnya dipetik daripada karangan Sheikh Zakaria al-Ansari seumpama Bughyatuth Thullab dan Nahjur Raghibin.

11. Sheikh IBNU HAJAR AL-HAITAMI

Nama lengkapnya ialah Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haitami. Lahir dalam tahun 909H di Mesir. Wafat di Mekah tahun 974H. Sewaktu menuntut di Universiti al-Azhar, beliau belajar daripada Sheikh Islam Zakaria al-Ansari.

Kitab-kitab karangan beliau adalah termasuk kitab-kitab pokok yang dikaji oleh Sheikh Daud al-Fathani. Sehingga banyak pendapat Sheikh Ibnu Hajar al-Haitami diterjemahkan Sheikh Daud al-Fathani terdapat dalam beberapa karya beliau.

Berdasarkan tulisan Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani bahawa Sheikh Daud al-Fathani menemui tahun-tahun kehidupan (mungkin Sheikh Daud al-Fathani sempat belajar daripada anak Sheikh Ibnu Hajar tersebut) anak Sheikh Ibnu Hajar.

12. KHATHIB SYARBAINI

Nama lengkapnya ialah Muhammad as-Syarbaini al-Khathib. Dalam mengisi Ilmu Fiqh Mazhab Syafie, beliau ini juga termasuk yang penting tidak ubahnya seumpama Sheikh Zakaria al-Ansari dan Sheikh Ibnu Hajar al-Haitami. Beliau juga termasuk salah seorang murid Sheikh Zakaria al-Ansari. Ulama besar yang terkenal ini meninggal dunia pada tahun 977 H.

13. IMAM RAMLI

Nama lengkapnya ialah Sheikh Syamsuddin Muhammad bin Abil Abbas Ahmad bin Hamzah Ibnu Syihabuddin ar-Ramli. Lahir di Kaherah, Mesir. Beliau digelar ‘Imam Syafie Kecil’ dan wafat tahun 1004H.

14. IBNU RUSLAN

Nama lengkap ialah Ahmad bin Husein bin Ruslan. Lahir di Ramlah, Palestin tahun 773H dan wafat tahun 844H. Beliau banyak mengarang kitab, antaranya yang sangat terkenal kerana banyak dikaji di berbagai pengajian bersistem pondok di seluruh Asia Tenggara ialah Matan Zubad.

Matan Zubad tersebut telah disyarah oleh Sheikh Ramli (bukan Imam Ramli pengarang Nihayah) atau nama lengkapnya ialah Syihabuddin ar-Ramli Ahmad bin Aminuddin Husein bin Hassan bin Ali bin Yusuf bin Ruslan al-Muqaddisi as-Syafi’i. Tahun wafatnya sama dengan tahun kewafatan Ibnu Ruslan yakni tahun 844 H.

Kitab Matan Zubad yang telah beliau syarah itu beliau namakan Safwatuz Zubad. Sheikh Daud al-Fathani telah menterjemah (mungkin beliau juga sebagai pensyarahnya, atau mungkin beliau hanya sebagai penterjemahnya saja) satu syarah daripada Matan Zubad yang beliau namakan dengan Fathul Mannan li Safwatiz Zubad.

Bahawa tulisan Sheikh Daud al-Fathani dalam permulaan karyanya tersebut adalah, “Maka tatkala faqir melihat kitab bernama Safwatuz Zubad karangan Wali Allah iaitu Syeikhul Islam dan ‘Alimul Hamam Abil Ahmad Syihabuddin Ibnu Ruslan ad-Damsyiqi, Allah telah menyirami dengan hujan rahmat ke atas kuburnya, Ridhwan Allah atasnya. Bahawa sangat indah susunan nazhamnya. Banyak manfaat yang terbit daripadanya, dua keindahan dari dua asal iaitu Ilmu Fiqh dan Ilmu Tasauf.

Seterusnya Sheikh Daud al-Fathani menulis: “Aku namakan terjemahan ini dengan Fathul Mannan li Safwatiz Zubad bagi Wali Allah Ahmad bin Ruslan”.

15. IMAM SYARQAWI

Nama lengkap ialah Sheikh Abdullah bin Hijaz bin Ibrahim. Lahir tahun 1150H dan wafat 1227H, dimakamkan di Mesir. Beliau lebih terkenal dengan sebutan Imam Syarqawi. Mungkin beliau ini termasuk salah seorang guru Sheikh Daud al-Fathani atau mungkin sahabat beliau.

Antara beberapa kitab Sheikh Daud al-Fathani ada menyebut nama ulama ini, sedang kitab yang ditulis Sheikh Daud al-Fathani itu di masa Imam Syarqawi belum wafat seumpama Nahjatur Raghibin (1225H). Tahun meninggal Imam Syarqawi sama dengan tahun meninggalnya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari iaitu tahun 1227H.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 19 September 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Imam Maliki: Teladan Ulama’ Tegas

Oleh: Agung Pribadi

Imam Syafi’i pernah berkata, “Imam Malik adalah pendidik dan guruku. Darinya kita mempelajari ilmu pengetahuan. Tidak seorangpun yang jujur dan benar bagiku selain Imam Malik. Aku menjadikan beliau sebagai saksi antaraku dengan Allah.”

Ada beberapa pendapat yang berbicara tentang tahun kelahiran Imam Malik. Ada yang berkata tahun 93 H, ada yang mengatakan pada tahun 94 H, dan ada yang mendakawa pada tahun 95 H, juga ada yang berkata pada tahun 97 H. Tapi perbezaan pendapat itu biasa dalam penulisan sejarah.

Imam Malik nama lengkapnya adalah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir bin Amrul Bin Khaiman bin Huthail bin Amrul bin Al Haris Al Ashbahy. Setelah dewasa dan berijtihad cara berfikir dan berpendapat Imam Malik dalam urusan fiqh disebut Mazhab Maliki dan beliau jauh lebih terkenal di Indonesia dengan nama Imam Maliki.

Imam Maliki dilahirkan pada zaman pemerintahan Al Walid bin Abdul Malik Al Umawi dan meninggal di zaman pemerintahan Harun Al Rasyid, Khalifah Abbasiyah. Maka beliau hidup sezaman dengan Abu Hanifah. Imam Maliki juga bersahabat dengan Iman Abu Hanifah (Imam Hanafi).

Dengan silsilah di atas jelaslah bahawa Imam Maliki adalah seorang dari keturunan bangsa Arab dari dusun Dzu Ashbah, sebuah dusun di kota Himyar, Yaman.

Nama Anas bin Malik—ayahnya Imam Maliki—bukanlah Anas bin Malik sahabat dan pembantu rumah tangga Rasulullah SAW yang terkenal itu. Anas bin Malik ayahnya Imam Maliki adalah termasuk tabi’it tabi’in. Datuk Imam Maliki iaitu Malik bin Amr, bergelar Abu Anas inilah yang tabi’in.

Diriwayatkan dari Umar, Thalhah, Aisyah, Hasan, dan Tsabit RA bahawa datuk Imam Maliki adalah salah seorang dari empat orang yang mengantarkan, memandikan, dan menguburkan Khalifah Usman di malam hari. Beliau juga turut bersama Khalifah Usman dalam menaklukkan Afrika. Datuk Imam Maliki ini termasuk salah seorang penulis ayat suci Al-Qur’an ketika Khalifah Usman memerintahkan untuk mengumpulkan ayat-ayat tersebut. Abdul Aziz (Ayah Khalifah Umar bin Abdul Aziz) juga pernah meminta pendapat dan nasihat dari datuk Imam Maliki ini.

Adapun nama Ibu Imam Maliki ialah Al-‘Aliyah binti Syuraik bin Abdurrahman bin Syuraik Al-Azadiyah. Menurut banyak sumber sejarah dikatakan bahawa Imam Maliki Berada dalam kandungan ibunya selama dua atau tiga tahun, tapi kebenaran berita ini harus diselidiki lebih jauh mengingat secara ilmu kedoktoran agak sukar untuk diterima berita ini.

Waktu usia belum dewasa (akil Baligh) Imam Maliki telah hafal Al Qur-an. Para ulama banyak yang meramalkan bahawa Imam Maliki ini bakal menjadi ulama besar. Kemudian pada waktu usianya 17 tahun, beliau telah mempunyai kepandaian tentang berbagai macam pengetahuan agama dan cabang-cabangnya. Selanjutnya beliau menyelami ilmu hadith dengan sedalam-dalamnya dan seluas-luasnya, sehingga banyak ulama besar dari luar kota Madinah yang datang berduyun-duyun kepada beliau untuk menyerap ilmu pengetahuan Imam Maliki yang sangat luas itu.

Imam Maliki sering berceramah tentang hidup sederhana dan tidak berlebihan. Tapi beliau sering memakai pakaian yang bagus dan berharga mahal dengan hujjah firman Allah SWT: “Fan Qalabu bini’matin minallahi wa fadlin lam yamsashum su’un.” Yang ertinya, “Maka mereka kembali dengan membawa kurnia Allah dan anugerah dari-Nya, tidaklah sekali-kali kejahatan menimpa mereka.”

Lagipula buat Imam Maliki yang kaya-raya kerana membuat pelaburan pada pedagang-pedagang di Madinah hal itu tidaklah berlebihan. Lagipula kalau diberi wang yang banyak oleh Khalifah ia langsung memberikan itu untuk biasiswa murid-muridnya yang pintar. Sebagai contoh ia pernah diberikan wang emas 3000 dinar oleh Khalifah Harun Al-Rasyid ia menerima lalu memberikan itu untuk beasiswa Imam Syafi’i yang tidak lain adalah muridnya yang terpandai.

Imam Maliki juga mempunyai banyak kuda tetapi tidak pernah dipakai dengan alasan ia tidak mahu memijak bumi dengan kaki kuda, padahal di bumi ini ada kuburan Rasulullah SAW.

Begitulah Imam Maliki kalau menghormati Rasulullah. Hadith Rasulullah pun sangat ia hormati. Kalau ada orang bertanya tentang fiqh, kalau ia boleh langsung menjawab tapi kalau ada orang bertanya tentang hadith Rasulullah ia mandi dan memakai wangi-wangian dulu sebelum menjawabnya. Iapun kalau mengajar di Masjid Nabawi di tempat Nabi Muhammad duduk ia selalu mempunyai wudhu. Suatu ketika ia tidak mahu mengajar lagi di tempat Nabi Muhammad duduk. Para penduduk Madinah mendesak Imam Maliki agar mengajar lagi di sana. Setelah bertahan tidak mahu membuka rahsia, akhirnya iapun membuka rahsia bahawa ia mempunyai penyakit air kencing menitis sehingga wudhunya selalu batal. Itulah alasannya tidak mahu mengajar di tempat Nabi duduk kerana ia tidak punya wudhu.

Imam Maliki juga sering hati-hati kalau ada orang yang bertanya masalah-masalah fiqh. Pernah Imam Maliki ditanya 40 masalah, 32 daripada pertanyaan tersebut dijawabnya dengan kata-kata, “Saya tidak tahu.”

Suatu ketika Khalifah Harun Al-Rasyid memerintah beliau untuk membacakan kitab Al-Muwatha karangannya dengan cara datang ke istana di Baghdad. Ia menolak. Ia menjawab kepada utusan Khalifah, “Semoga Allah memuliakan raja-raja Islam. Ilmu itu asalnya dari kamu (kerana Harun Al Rasyid dari keluarga Nabi Muhammad SAW).

“Jika kamu memuliakan ilmu, ilmu itu tentu jadi mulia, dan sebaliknya ilmu itu akan jadi hina jika kamu menghinakannya. Ilmu itu haruslah dicari bukan ilmu yang mencari penuntutnya. Jadi ilmu harus didatangi bukan mendatangi.” Akhirnya Harun Al-Rasyid mendatangi Imam Maliki di Madinah bersama dua anaknya.

Suatu ketika Imam Maliki pernah berfatwa bahawa tidak sah Thalaq (cerai) seorang laki-laki apabila ada yang memaksanya. Gubernor Madinah tidak suka fatwa ini. Lalu menghukum cambuk Imam Maliki sampai kedua bahunya nyaris putus. Setelah
itu, Imam Maliki ditidurkan di atas punggung kuda. Gubernor berkata, “Kalau kamu yakin dengan fatwamu katakanlah dengan cara berkeliling di atas punggung kuda ini!” Imam Maliki lalu diikat baring di atas punggung kuda sambil berkata, “Tidak sah thalaq seorang laki-laki kalau ada yang memaksanya!” Begitu terus berkali-kali sambil berkeliling. Itulah gambaran seorang ulama yang konsisten dan berani mengritik pemerintah.

Ketika Khalifah Abu Ja’far Al Mansur mengetahui kelakuan Gubernur Madinah ini ia menanyakan kepada Imam Maliki apakah Khalifah perlu menghukum Gubernor ini. Imam Maliki berkata, “Saya sudah memaafkan Gubernor Madinah! Lagi pula ulama itu pewaris para Nabi. para Nabi ada yang dipenggal, ada yang disalib, ada yang digergaji hingga mati, ada yang dipenjara, ada yang dibakar. Jadi kalau seorang ulama dicambuk oleh penguasa ini adalah hal yang biasa! Ini adalah risiko pekerjaan seorang ulama!” Tapi Gubernor Madinah ini tetap dipecat oleh Khalifah kerana dianggap memalukan Khalifah.

Iapun menolak jabatan Qadhi (Hakim) Kerajaan dengan alasan seorang ulama harus bebas dan ia tidak mahu pindah dari Kota Nabi iaitu Madinah kerana ada hadith Nabi yang mengatakan bahawa penduduk yang utama adalah penduduk Madinah.

Imam Maliki mempunyai masterpiece yaitu kitab Al Muwatha. Imam Maliki hafal 100,000 hadith lalu ia menyisih berkali-kali hingga hadith yang ada di kitab Al-Muwatha hanyalah 500. Begitulah! Begitu hati-hatinya Imam Maliki. Kitab Al -Muwatha ini
sebenarnya adalah kitab fiqh bukan kitab Hadith sebagaimana pandangan umum.

Khalifah Harun Al-Rasyid ingin menetapkan Al Muwatha sebagai pegangan utama di Negara Islam itu dan menggantungkannya di dinding Ka’bah. Imam Maliki melarangnya dengan mengutip hadith bahawa perbezaan pendapat di antara umat Islam itu adalah rahmat. Imam Maliki juga mengatakan kalau pendapatnya bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah maka tinggalkanlah.

Meskipun sepanjang hidupnya Imam Maliki pernah mengalami penyeksaan dari penguasa, sehingga punggungnya patah, akan tetapi beliau seorang yang dikurniakan umur yang panjang (90 tahun). Menjelang akhir hayat, Imam Malik menderita sakit selama 20 hari. Pada saat beliau akan menghembuskan nafas yang penghabisan kebetulan Bakar Sulaiman As-Sawaf ada di samping beliau bersama keluarga. Orang yang hadir menanyakan bagaimana keadaan beliau. Bakar menjawab, “Aku tidak tahu apa yan harus aku katakan kepadamu. Cuma aku ingin juga menyatakan apakah kalian akan dapat kemaafan dari Allah SWT di hari kiamat? Tidak berapa lama kemudian beliaupun mengucapkan dua kalimah syahadat lalu berserah diri kepada Allah.”

Beliau wafat pada tanggal 14 Rabiul Awal 179 H. Sedangkan An-Nawawi berpendapat bahawa Imam Maliki wafat pada bulan Shafar. Beliau dimakamkan di pekuburan Al Baqi’ dekat pintu tengah pekuburan tersebut. Semoga Allah merahmati dan meredhai beliau.

Demikianlah Imam Maliki dengan kebesaran jiwanya adalah sosok ulama dan intelektual yang mahu dikritik dan tidak malu dikritik dan tidak malu untuk mengatakan tidak tahu. Ia juga tidak mahu tunduk kepada pemerintah walaupun menerima sumbangan dari pemerintah yang ia gunakan untuk biasiswa murid-muridnya. Benar, memang sukar untuk mencari sosok ulama dan intelektual seperti ini di zaman sekarang ini!

 
Tinggalkan komen

Posted by di 17 September 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 4

Pengkaryaan ulama Sambas, Sanggau dan Sintang

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Sultan Muhammad Shafiyuddin 1 Sultan Kerajaan Sambas


KERAJAAN Sambas telah melahirkan beberapa orang ulama yang terkenal di peringkat dunia Melayu. Namun yang paling terkenal dan tersohor ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang hidup sezaman dengan Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani bahkan ulama besar tersebutlah yang bertanggungjawab membawa Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Mekah dan mengajarnya pelbagai ilmu keislaman.

Kesohoran Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada di peringkat nusantara mahupun antarabangsa pada zamannya, memang tidak dapat dinafikan. Ini kerana pada zamannya di Mekah, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan mursyid yang teratas sekali. Ia bukan saja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-ulama dunia luar.

Ini dapat dibuktikan bahawa salah seorang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berasal dari Uzbekistan yang bernama Syeikh Abdul Murad. Beliau ini adalah ulama tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua tarekat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Namun, penulis tidak ingin melanjutkan pengenalan mengenai Syeikh Ahmad Khathib Sambas kerana telah penulis perkenalkan pada Utusan Malaysia, Isnin 6 Disember 2004.

Pada artikel kali ini, penulis ingin memperkenalkan ulama Sambas, Sanggau dan Sintang yang belum pernah dibicarakan orang. Di antara mereka yang menghasilkan karya, penulis mulakan dengan memperkenalkan:

Haji Khairuddin ibnu Haji Qamaruddin Sambas.
Karya-karya beliau ialah;

lIlmu ‘Aqidah dan Fiqh, diselesaikan sebagaimana tercatat,”… daripada masa hijrah Nabi kita Muhammad SAW kepada masa faqir menyuratkan risalah ini seribu dua ratus empat puluh tahun lamanya (1240H)”. Daripada maklumat ini berertilah kitab ini diselesaikan pada tahun 1240H/1824M. Tahun selesai penyalinan pula 1256 H. Kandungan membicarakan akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dan fiqh. Di antara kenadiran pada kandungan mengenai nasab Nabi Muhammad SAW ialah disebut secara lengkap dari Nabi Muhammad SAW sampai kepada Nabi Adam a.s., sedangkan pada kitab-kitab lain hanya menyebut nasab sampai kepada Adnan saja.

lIlmu Sharaf, diselesaikan sebagaimana tercatat, “Terkhatam kepada empat hari bulan Rabiulawal, waktu Asar, yang menyuratnya Haji Khairuddin ibnu al-Haji Qamaruddin al-Marhum, orang kampung Angus kepada tahun 1277H”. Kandungan membicarakan ilmu sharaf secara lengkap, merupakan pemberian gantungan makna kalimat-kalimat bahasa Arab ke bahasa Melayu.

lIlmu Tajwid, tanpa catatan tarikh. Kandungan membicarakan ilmu tajwid secara lengkap untuk peringkat asas.

lJadwal Hukum ‘Aqli, Hukum Syar’i dan Hukum ‘Adi, tanpa catatan tarikh. Kandungan merupakan jadual perbandingan tiga asas hukum dalam Islam iaitu hukum ‘aqli, hukum syar’i dan hukum ‘adi.

lHadits dan Akhlak/ Adab, tanpa catatan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran akhlak dalam pelbagai bidang yang dilengkapi dengan hadis Nabi SAW, dan pendapat ulama terutama imam al-Ghazali.

l‘Aqidah/ Sifat Dua Puluh, tanpa catatan tarikh. Kandungan perbahasan akidah dalam bentuk soal dan jawab dengan huraian yang lengkap dan mendalam.

Semua manuskrip-manuskrip yang tersebut (no.1 hingga 6) diperoleh di Sambas, bekas dimiliki oleh Imam Muhammad Arif, salah seorang ulama Sambas. Tidak terdapat nama pengarang tetapi penyalinnya ialah Haji Khairuddin ibnu Haji Qamaruddin Sambas. Diperoleh pada hari Khamis, 15 Jumadilakhir 1421H/14 September 2000M.

Haji Abdur Rahman Bin Marhum Haji Qamaruddin
Kampung Angus, Sambas. Karya beliau yang telah ditemui hanya sebuah, iaitu;

lTafsir Bermakna, diselesaikan sebagaimana tercatat, “Tammat kalam kepada tujuh belas hari bulan Safar tahun hijrah Nabi 1280 (17 Safar 1280H, pen:). Yang menyurat faqir Haji Abdur Rahman ibnu Marhumi Haji Qamaruddin, Kampung Angus…”. Kandungan merupakan terjemahan al-Quran mulai ayat 1 hingga akhir surah al-Baqarah. Manuskrip tersebut diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422H/22 Disember 2001M.

Penterjemah surah di atas iaitu Haji Abdur Rahman ibnu Marhum Haji Qamaruddin. Ini dapat dipastikan adalah adik-beradik dengan Haji Khairuddin ibnu al-Marhum al-Haji Qamaruddin yang juga berasal dari Kampung Angus Sambas tersebut.

Dengan dijumpai manuskrip Tafsir Bermakna tersebut adalah merupakan terjemahan al-Quran klasik bahasa Melayu yang ketiga terawal berdasarkan tarikh yang telah diketahui. Dua yang terdahulu daripada ini ialah Tafsir al-Baidhawi oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan Tafsir Jamal oleh Syeikh Maksum bin Jamaluddin al-Fathani.

Terjemahan surah al-Baqarah tersebut pula oleh Haji Abdur Rahman ibnu Marhum Haji Qamaruddin Kampung Angus, Sambas yang dibicarakan ini. Pada manuskrip halaman depan tercatat, “Haza waqaf Pangeran Bendahara balu isterinya di Kerinci nazhir pada Haji Ismail ibnu Rajab Samsu al-Marhum sanah al-wau 1285”.

Haji Muhammad Yasin Bin Al-Haji Muhammad Sa’ad Sambas
Ulama Sambas yang hidup sezaman dengan ulama-ulama Sambas yang tersebut di atas yang juga perlu dicatatkan ialah Haji Muhammad Yasin ibnu al-Haji Muhammad Sa’ad. Karya beliau yang telah ditemui ada dua judul, iaitu;

lIlmu Tajwid, diselesaikan di Mekah, waktu Dhuha, hari Sabtu, pada 20 Syawal 1285H. Kandungan membicarakan ilmu tajwid al-Quran. Pada bahagian awal ditulis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu. Bahagian kedua semuanya menggunakan bahasa Melayu. Manuskrip diperoleh di Pontianak, Kalimantan Barat. Ia pernah dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak. Tarikh perolehan pada hari Jumaat, 11 Rabiulawal 1423H/24 Mei 2002M.

lSyair Ushul, diselesaikan tahun 1305 H. Kandungan membicarakan akidah dalam bentuk puisi/syair. Salinan manuskrip dilakukan oleh cucu pengarang bernama Ahmad Daud. Tarikh salinan dinyatakan, “Telah selesai daripada menulis ini surat pada lima belas hari bulan, waktu Zuhur, Syaaban pada 1329 (15 Sya’ban 1329H), hamba al-faqir Ahmad Daud menyalin surat nenda Al-Muhammad Yasin ibnu Al-Haji Muhammad Sa’ad…”.

Seri Paduka Sultan Muhammad Shafiyuddin.
Sebagaimana sultan-sultan atau raja-raja di Kerajaan Pontianak, Kerajaan Mempawah, dan lain-lain, yang mereka menghasilkan karangan, demikian juga dengan Sultan Sambas, Seri Paduka Sultan Muhammad Shafiyuddin, beliau merupakan murid kepada Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani.

Beliau telah menghasilkan karya berjudul Silsilah As-Sulthan Muhammad Shafiyuddin /Almarhum Sultan Sulaiman Raja Sambas Yang Pertama, diselesaikan malam Jumaat 17 Ramadan 1321 Hijrah / 4 Disember 1903 Masehi. Kandungan membicarakan asal-usul Sultan Muhammad Shafiyuddin I, Sultan Sambas yang pertama. Iaitu berasal dari Brunei, dan seterusnya berasal dari Johor. Mulai dari beliau terus diceritakan keturunannya, hinggalah Sultan Muhammad Shafiyuddin II, itulah penyusun karya di atas. Manuskrip di peroleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/ 20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadiriyah (Istana Kerajaan Pontianak).

Ulama Sanggau dan pengkaryaan
Sanggau, pada zaman dulu juga mempunyai kerajaan sendiri dan sekarang adalah sebuah Kabupaten Daerah Tingkat II di Kalimantan Barat. Tidak banyak diketahui mengenai ulama yang berasal dari Kerajaan Sanggau ini, namun begitu seorang tokoh bernama Haji Abbas bin Ahmad bin Hamzah as-Sanggau Maul Kapuas, iaitu seorang Penghulu Agama di Sanggau, menghasilkan sebuah karya berjudul Fat-hul Qulub, yang diselesaikan pada sepertiga malam Jumaat, 29 Jumadilakhir 1328H.

Kandungan membicarakan tentang tasawuf, akhlak, doa dan ungkapan syair dalam bahasa Melayu. Selain itu, sebagai tambahan membicarakan takwim haribulan dan perjalanan bintang dua belas untuk mengetahui ketika yang baik dan buruk. Mengenai ini dapat digunakan untuk permulaan perjalanan (pengembaraan), waktu yang baik dan kurang baik ketika mendirikan rumah dan lain-lain.

Cetakan pertama, huruf batu atau litografi oleh Mathba’ah Al-Qadimah Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Arab Street, No.82, Singapura, pada 20 Syaaban 1328H. Diperoleh hanya sebuah naskhah di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau yang asalnya daripada bekas milik Raja Haji Abdullah Hakim Riau. Beliau pula memperoleh melalui Raja Muhammad bin Raja Muhammad Shalih pada 11 Rabiulawal 1420H/25 Jun 1999M.

Dimaksudkan dengan perkataan as-Sanggau Maul Kapuas ialah suatu tempat di Sanggau yang terletak di tepi Sungai Kapuas.

Antara yang berasal dari Sanggau dari daerah Sekadau pula ialah Abang Bujang Ibnu Sekadau. Beliau telah menulis kitab berjudul, Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan tahun 1328H. Kandungan membicarakan ilmu akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Manuskrip judul di atas diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422H/22 Disember 2001M. Pada halaman depan tercatat, “Ali-milk faqir haqir ilallah Ta’ala al-Haji ‘Abdur Rahim Banjar mustautin fi balad Sekadau….”.

Ulama Sintang dan pengkaryaan
Sintang juga sebagaimana Sanggau, pada zaman dulu mempunyai kerajaan sendiri dan sekarang adalah sebuah Kabupaten Daerah Tingkat II Sintang. Mengenainya juga tidak banyak diketahui berkenaan ulama yang berasal dari Kerajaan Sintang ini.

Pun begitu, terdapat seorang tokoh yang berasal dari Sintang bernama Abang Jarman Sintang menghasilkan karya berjudul, Silsilah Kerajaan Sintang dan Asal Usul Pendiri Kerajaan Sintang, yang diselesaikan bulan Rabiulakhir 1289 H. Kandungan menceritakan salasilah dan asal usul Kerajaan Sintang, iaitu seorang yang bernama Uji Melayu yang berasal dari Melaka dan berkahwin dengan suku Dayak. Manuskrip judul di atas diperoleh di Sintang, Kalimantan Barat bekas dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Sintang. Tarikh perolehan pada Sabtu, 12 Rabiulawal 1423H/ 25 Mei 2002M.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 16 September 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`

 

Tokoh-tokoh Ulama Asia Tenggara – siri 3

Tuan Guru Ahmad al-Kalantani pengarang kitab Darul Hasan

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Syeikh Wan Ali Kutan sahabat kepada Tuan Guru Haji Ahmad Al-Kalantani.


Ulama Nusantara
SEJAK artikel mengenai ulama dikeluarkan dalam Utusan Malaysia mulai tahun 2004 hingga kini telah ramai ulama negeri Kelantan yang penulis perkenalkan. Di antara mereka ada yang terkenal di peringkat alam Melayu bahkan antarabangsa seperti Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang terkenal dengan kitab karangannya, Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub (Mengenai Hadis) juga mengajar di Masjidil Haram Mekah.

Yang terkenal hanya di peringkat negeri alam Melayu/Nusantara sahaja seperti Sheikh Abdus Shamad (Tuan Tabal) yang mana beliau merupakan penyebar Tarekat Ahmadiyah yang pertama di Nusantara.

Ulama yang diperkenalkan pada kali ini ialah sahabat kepada Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang sama-sama belajar, baik di Kelantan mahupun di Mekah namun peranan dan pengaruhnya hanya sekitar negeri Kelantan sahaja.

Ulama yang diriwayatkan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani.

Asal-usulnyaDiriwayatkan bahawa datuk kepada tokoh ulama yang akan dibicarakan di atas iaitu, Sheikh Abdul Halim tersebut adalah anak angkat kepada Long Yunus (Sultan Kelantan). Long Yunus memperoleh anak angkat tersebut daripada salah seorang sahabatnya seorang peniaga Cina sebagai hadiah dan tanda persahabatan dengan sultan.

Long Yunus menghantar Abdul Halim bersama-sama putera baginda belajar ke Mekah. Ada yang menceritakan kejadian tersebut semasa dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani belajar di Mekah.

Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa Abdul Halim dan putera Long Yunus menjadi murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Setelah mendapat gelaran ulama, Sheikh Abdul Halim pulang ke Kelantan. Beliau adalah orang pertama mengajar menggunakan sistem pondok dengan kaedah Patani di Kelantan.

Beliau mempunyai dua anak iaitu Haji Muhammad Yusuf dan Haji Yaaqob. Haji Muhammad Yusuf ialah ahli dalam bidang seni bina dan seni suara manakala Haji Yaaqob pula adalah seorang ulama yang mengajar sebagai pengganti ayahnya. Haji Muhammad Yusuf memperoleh anak bernama Tuan Guru Haji Ahmad atau tokoh yang akan dibicarakan ini.

PendidikannyaTuan Guru Haji Ahmad dilahirkan di Kelantan, namun tempat dan tarikh lahirnya yang tepat tidak dapat dipastikan. Pun begitu, pada masa kehidupan beliau terdapat catatan yang mengatakan ia adalah sezaman dengan Sheikh Wan Ali Kutan (lahir 1253 H/1837 M atau 1235 H/1820 M). Pendidikan asasnya diperoleh daripada bapa saudaranya sendiri, iaitu Haji Yaaqob bin Sheikh Abdul Halim al-Kalantani.

Diriwayatkan pula pengetahuan yang diperoleh daripada bapa saudaranya itu bukan sahaja ilmu pengetahuan yang bersifat asas, tetapi hingga beliau diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, dan ilmu-ilmunya tersebut diperoleh dari Haji Yaaqob sendiri. Walaupun beliau telah diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, namun beliau masih juga meneruskan pelajarannya ke Mekah sebagai pengesahan daripada ulama-ulama Mekah pada zamannya.

Sebagaimana yang dapat dicatat, teman-teman beliau ketika kecil yang sama-sama belajar kepada Tuan Guru Haji Yaaqob adalah seperti berikut; saudara beliau sendiri iaitu Haji Uthman bin Haji Muhammad Yusuf, Sheikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan, Sheikh Abdul Mutalib Kuta, Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Sulaiman dan lain-lain. Semua sahabat beliau yang tersebut adalah ulama-ulama besar Kelantan yang sangat berperanan dan berpengaruh di zaman mereka.

Adapun ilmu-ilmu yang telah dikaji, yang dapat diketahui adalah ilmu tauhid, fikah, tasauf, nahu, saraf, bayan, ma’ani, badi’, arut, qawafi, mantiq, tafsir, tajwid dan lain-lain. Ilmu-ilmu tersebut telah dikuasai sejak di Kelantan lagi. Belajar di Mekah hanya untuk mendalami lagi pengetahuan beliau terhadap ilmu-ilmu tersebut.

Para guru Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan di Mekah yang dapat dicatat antara lain ialah, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Adapun guru beliau selain yang tersebut tidak dapat diketahui dengan pasti. Ada kemungkinan semua guru kepada Sheikh Wan Ali Kutan adalah juga guru kepada Tuan Haji Ahmad Kelantan ini.

Karya-karyanyaKarya penulisan Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan yang diketahui hanya dua sahaja. Karya yang merupakan manuskrip asli tulisan tangan beliau itu tersimpan di Pusat Islam Malaysia di Bahagian Balai Pameran. Judul kitab tersebut adalah Darul Hasan.

Kitab Darul Hasan yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Ahmad tersebut adalah atas permintaan Raja Kelantan. Tahun yang tercatat adalah pada 30 Ramadan 1282 H (1865 M). Manuskrip yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia tersebut diberi nombor kelas iaitu MI 725. Belum diketahui apakah kitab Darul Hasan tersebut pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara.

Namun jelas bahawa kitab Darul Hasan tidak pernah ditemui di mana-mana kedai buku di seluruh Asia Tenggara. Adapun yang berupa manuskrip berkemungkinan hanya sebuah itu sahaja naskhah mengenainya yang ditulis dengan huruf yang sangat indah. Terdiri dari tulisan hitam dan merah yang memancar terang. Keadaan manuskrip masih baik, di samping halaman dari awal hingga akhir juga dalam keadaan lengkap.

Kandungan ringkas kitab Darul Hasan adalah sebagai berikut: Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan karangan beliau dengan puji-pujian dan selawat sebagaimana karangan-karangan tradisi Islam lainnya. Setelah itu menyebut dengan kalimat bahasa Arab bahawa ‘Sultan Kelantan’ meminta beliau menulis kitab ini. Tetapi pada terjemahan bahasa Melayu dari lafaz bahasa Arab itu tidak menyebut ‘Sultan Kelantan’ melainkan ‘Raja Kelantan’. Tentang nama kitab pula terjadi salah titik sama ada lafaz Arab mahupun lafaz Melayu iaitu tertulis Darul Hasaat dengan huruf ta sebenarnya adalah Darul Hasan iaitu dengan huruf nun. Hal ini tertulis di halaman terakhir.

Sesudah itu dimulai dengan menceritakan pohon kayu yang bernama ‘Syajaratul Yaqin’ yang mempunyai empat cabang. Dari cerita itu diteruskan dengan kejadian ‘Nur Muhammad’ sehingga dijadikan sekalian kejadian sesudahnya. Kejadian sekelian manusia pula diceritakan berdasarkan kepada mereka yang pertama memandang kepada Nur Muhammad. Maka ada yang menjadi Sultan, menjadi alim, yang mati syahid dan lain-lain.

Kemudian diceritakan pula asal tanah kejadian Nabi Adam a.s yang diambil dari beberapa negeri di dunia, seperti kepala Nabi Adam a.s berasal dari Baitul Maqdis, muka Nabi Adam a.s berasal dari syurga, kaki Nabi Adam a.s berasal dari tanah Kalkauthar dan lain-lain.

Selanjutnya menceritakan tentang kejadian ketua-ketua para malaikat, iaitu kejadian dan keadaan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, dan dicantumkan beberapa hikayat malaikat Maut mencabut nyawa makhluk terutama manusia.

Cerita dilanjutkan dengan peristiwa yang menakutkan dan menakjubkan di alam kubur, di padang Mahsyar sekalian manusia memerlukan pertolongan dan syafaat yang dimulai dari menemui Saiyidul Basyar Nabi Adam a.s hingga ditutup dengan menemui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya pula disambung dengan cerita neraka, syurga dan lain-lain.

Penutup sekali pengarangnya, Tuan Haji Ahmad Kelantan menyebut: “Telah selesai faqir ilallah Taala yang amat jahil al-Haji Ahmad bin al-Haji Yusuf bin Abdul Halim Kelantan menterjemahkan kitab Darul Hasan daripada bangsa Arab kepada bangsa Jawi supaya manfaat dengan dia sekelian mereka yang tiada tahu dengan bahasa Arab…..”.

Bahasa yang digunakan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan dalam kitab tersebut agak banyak dalam bahasa negeri Kelantan. Beliau tidak terikat untuk mengikut tatacara bahasa kitab yang digunakan tradisi zamannya. Seperti kalimat ‘bangsa’ dalam kalimat dalam penutupnya, kitab-kitab lain selain kitab beliau pasti akan menggunakan istilah ‘bahasa’ pada tempat tersebut, bukan ‘bangsa’ seperti yang beliau tulis itu. Walau bagaimanapun kitab Darul Hasan dapat diklasifikasikan sebagai sastera Sufi Islam Melayu Klasik.

Pada hari penulis selesai menulis riwayat hidup beliau di bilik Balai Pameran Islam Malaysia, penulis menyerahkan kepada pihak majalah DAKWAH, dan seterusnya ke Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Tiba-tiba di atas meja Siti Mariani (seorang kakitangan di PNM) terletak dua manuskrip.

Satu di antaranya adalah karya Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan. Dengan terdapatnya perkara baru tersebut, maka penulis tambah saja makalah yang telah selesai tadi dengan sedikit kalimat yang menerangkan perkara ini. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan menulis di akhir hayatnya pada manuskrip milik Pusat Manuskrip Melayu yang diberi nombor kelas dengan MS 780 itu, katanya: “Telah selesai Haji Ahmad ibnu Haji Yusuf menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu dengan tolong Tuhan Rabbul Izzah bijahi Saiyidina Muhammad pada 10hb Safar pada hijrah al-Nubuah 1287 H (1870 M)”.

Kandungan isi kitab nombor MS 780 Pusat Manuskrip Melayu tersebut ialah mengenai fikah. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan perbicaraannya tentang kitab thaharah (bersuci) dan disudahi dengan kitab solat. Ditulis atas kertas warna biru muda, memakai dakwat warna hitam pada sebahagian besar isinya dan di beberapa tempat ditulis dengan warna merah. Semua huruf dalam keadaan jelas dan berwarna agak memancar.

Susunan bahasanya agak berbeza dengan karyanya yang pertama. Nampaknya pada MS 780 ini bahasanya sudah disesuaikan dengan bahasa-bahasa kitab jawi yang ditulis di zamannya. Sebagaimana karya yang pertama (Darul Hasan), maka kitab yang kedua ini juga tidak pernah diterbitkan. Selain itu judul kitab ini juga tidak dijelaskan oleh pengarangnya.

PengaruhnyaPengaruh beliau sangat besar di kalangan masyarakat luas di Kelantan. Melalui karangannya iaitu kitab Darul Hasan tersebut atas permintaan Sultan Kelantan adalah satu bukti bahawa Tuan Haji Ahmad ini mempunyai pengaruh yang besar dalam lingkungan istana kerajaan Kelantan.

Beliau ialah sebagai generasi penerus, yang menyambung pekerjaan datuknya, Sheikh Abdul Halim dan bapa saudaranya Haji Yaaqob bin Abdul Halim dalam mengajar ilmu-ilmu yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Kelantan. Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari ialah usuluddin, fikah dan tasauf.

Tiga ilmu tersebut berkembang di kalangan masyarakat dan diteruskan pula oleh murid-murid beliau yang boleh dikatakan sangat ramai. Antaranya Tok Kenali, diriwayatkan bahawa sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah, beliau pernah belajar dengan Tuan Guru Haji Ahmad ini. Pada zamannya, Tuan Guru Haji Ahmad dalam membina umat Islam kearah berilmu pengetahuan dan amal saling bekerjasama dengan sahabatnya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Sulaiman, yang menjadi Perdana Menteri Kelantan (Menteri Besar menurut istilah sekarang) pada ketika itu.

Dari keterangan tersebut, kedua ulama Kelantan tersebut telah berhasil menyatupadukan kerjasama yang serasi antara umara (golongan pemerintah) dan ulama (golongan ahli ilmu pengetahuan dalam Islam).

Demikianlah riwayat ringkas Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yusuf Kelantan. Sejarah asal-usulnya, pendidikannya, karyanya dan pengaruhnya di kalangan lingkungan istana dan masyarakat Kelantan. Namun sebagaimana tarikh lahirnya, tahun wafatnya juga masih belum diketahui dengan pasti, yang masih memerlukan penyelidikan lebih mendalam untuk melengkapkan sejarah ulama ini.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 14 September 2008 in TOKOH-TOKOH ULAMA`