RSS

TERENGGANU WAJAR MENDAPAT EMPAT LAGI KERUSI PARLIMEN BARU

29 Nov
http://propartiislammalaysia.blogspot.com/

Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.Dalam pilihanraya kecil bagi Parlimen P185 Batu Sapi yang lalu,jumlah pemilih berdaftar yang dicatatkan untuk Parlimen tersebut adalah seramai 25 582 orang pengundi berdaftar.Jika dipecahkan,jumlah pengundi di kawasan N43 Sekong adalah seramai 11 321 orang manakala jumlah pengundi bagi N44 Karamunting pula adalah seramai 14 261 orang pengundi.Berdasarkan statistik jumlah pemilih yang cukup rendah ini,penulis cuba untuk membuat sedikit penilaian terhadap semua kawasan Parlimen di Sabah. Kajian penulis menjurus ke arah jumlah bilangan pengundi dalam setiap parlimen di Sabah.Berikut adalah perinciannya:

Sebagai perbandingan antara Sabah dengan negeri Terengganu pula,penulis bawakan pula pemilih dalam setiap Parlimen di negeri Terengganu.Berikut adalah perinciannya:

Berdasarkan dua jadual di atas,Sabah mempunyai 25 buah parlimen manakala Terengganu cuma memiliki lapan buah parlimen.Mungkin kita lihat kepada jumlah pengundi di Sabah yang lebih tinggi daripada negeri Terengganu,maka wajarlah Sabah mempunyai lebihan Parlimen.Pun begitu,sekiranya kita menisbahkan jumlah parlimen dengan jumlah pemilih di kedua-dua buah negeri,maka secara puratanya,setiap parlimen di Sabah mempunyai bilangan pemilih seramai 32 314 orang manakala Terengganu mempunyai seramai 65 200 orang untuk setiap parlimen.Oleh itu,nyatalah betapa berlaku ketidaksamaan yang jelas dalam persempadanan pilihanraya yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya.

ASAS-ASAS DALAM MENENTUKAN JUMLAH PEMILIH BAGI SESEBUAH KAWASAN


Di bawah Jadual 13 dalam Perlembagaan Persekutuan,Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah diberi mandat bukan sahaja untuk menjadi badan yang mengendalikan pilihanraya,tetapi juga mengkaji semula persempadanan kawasan pilihanraya Persekutuan dan Negeri sekiranya difikirkan perlu; dan sekiranya perlu, mengesyorkan pemindaan persempadanan kepada kerajaan yang memerintah dari masa ke semasa.

Walaubagaimanapun,kajian hanya boleh dilakukan untuk tempoh lapan tahun sekali dan kajian tersebut mestilah disiapkan dua tahun berikutnya.Untuk rekod,semenjak merdeka SPR telah melakukan sebanyak lapan kali kajian persempadanan semula di mana kali terakhir ianya dibuat pada tahun 2003.Hal ini bermakna, kajian seterusnya sudah boleh dibuat bermula tahun hadapan,malah Najib dalam jawapannya di Parlimen telah membayangkan satu persempadanan semula dibuat ketika menjawab soalan dalam Dewan Rakyat.

Dalam menjalankan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya mematuhi prinsip-prinsip yang digariskan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Prinsip-prinsip ini adalah seperti yang berikut:-
Di samping memberi perhatian terhadap mustahaknya pemilih-pemilih diberi peluang-peluang kemudahan yang berpatutan untuk mengundi, sempadan bahagian-bahagian pilihan raya tidak harus memasuki sempadan-sempadan Negeri dan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Negeri tidak harus memasuki sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan;
Perhatian harus juga diberi kepada kemudahan-kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian-bahagian pilihan raya itu untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi pendaftaran dan semasa mengundi;
Bilangan pemilih di dalam tiap-tiap satu bahagian pilihan raya dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyaknya kecuali bagi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar di mana keluasan bahagian patut diberi pertimbangan memandangkan kepada lebih besar kesulitan untuk sampai kepada pemilih-pemilih dalam daerah-daerah kampung dan lain-lain kesukaran yang dihadapi;
Perhatian juga patut diberi kepada kesulitan-kesulitan yang akan timbul dengan perubahan-perubahan bahagian-bahagian pilihan raya dan juga memelihara hubungan setempat.

Selain itu,SPR sendiri juga telah meletakkan syaratnya yang tersendiri dalam menentukan    jumlah pemilih di sesebuah kawasan pilihanraya berdasarkan geografi kawasan tersebut:

ADAKAH SPR MEMATUHI GARIS PERSEMPADANAN MEREKA SENDIRI?

Secara umumnya,Terengganu mempunyai dua buah PBT bertaraf Perbandaran yang dimasyhurkan iaitu Kemaman dan Dungun,sebuah Bandaraya iaitu Kuala Terengganu manakala empat yang lain bertaraf daerah. Justeru,antara kelapan-lapan Parlimen tersebut,berikut adalah kriteria bagi setiap Parlimen:

BANDAR

Kuala Terengganu   (80 325) – lulus kriteria

Kemaman               (75 006) – lulus kriteria

Dungun                   (64 851) – lulus kriteria

SEPARUH BANDAR

Kuala Nerus           (61 124) – melebihi kriteria

Marang                  (74 813) – melebihi kriteria

Besut                     (58 353) – lulus kriteria

LUAR BANDAR

Setiu                      (54 520) – melebihi kriteria

Hulu Terengganu    (52 215) – melebihi kriteria

Sebenarnya,daerah-daerah mengundi di Terengganu dilihat hampir serupa dengan daerah Pihak Berkuasa Tempatan di negeri tersebut kecuali bagi kawasan Parlimen Kuala Nerus.Walaubagaimanapun,desas-desus bahawa kerajaan negeri bercadang memisahkan Kuala Nerus sebagai sebuah daerah baru yang dikenali sebagai daerah Kuala Terengganu Utara bakal menyamakan nisbah satu daerah satu parlimen di Terengganu.

Sepatutnya,SPR melakukan kajian bersungguh dan tepat bagi mewujudkan satu kawasan pilihanraya yang adil di Terengganu.Sebagai contoh,dua buah daerah iaitu Kemaman dan Dungun mungkin dikategorikan sebagai bandar dalam aspek PBT,namun dalam konsep Parlimen,kawasan-kawasan tersebut dianggap sebagai kawasan bercampur.

Di Kemaman misalnya,Dun Kemasek dan Chukai adalah kawasan bandar yang berkepadatan penduduk tinggi manakala Dun Air Puteh dan Kijal pula adalah kawasan kampung dan tanah rancangan.Justeru,Parlimen Kemaman sepatutnya dipecahkan kepada dua bagi mewujudkan kawasan Separuh Bandar iaitu Parlimen Kemaman yang mengandungi Dun Chukai,Dun Air Putih dan Dun Kijal manakala Parlimen baru iaitu Parlimen Kerteh diwujudkan dengan memasukkan Dun Kemasik dan Dun Paka (dalam Parlimen Dungun) ke dalam Parlimen yang baru.

Oleh itu,pecahan pengundi akan menjadi seperti berikut:

PARLIMEN KEMAMAN – anggaran 64 000 pengundi (kawasan bandar)

Dun Chukai   (anggaran 24 000 pengundi)

Dun Air Putih (anggaran 23 000 pengundi)

Dun Kijal       (anggaran 17 000 pengundi)

PARLIMEN KERTEH  –  anggaran 39 000 (separa bandar)

Dun Kerteh  (anggaran 17 000 pengundi)

Dun Paka    ( anggaran 22 000 pengundi)

Di Parlimen Dungun pula,Dun yang perlu dikekalkan adalah dua buah Dun iaitu Sura dan Rantau Abang manakala sebuah lagi Dun iaitu Bukit Besi dicantumkan bersama Dun Ajil dan Dun Telemung di Hulu Terengganu bagi mewujudkan sebuah Parlimen baru yang dinamakan Parlimen Terengganu Tengah sesuai kedudukannya dalam kawasan KETENGAH.Oleh itu,Parlimen Dungun dan Parlimen Terengganu Tengah akan menjadi seperti berikut:

PARLIMEN DUNGUN  – anggaran 36 000 pengundi (separa bandar)

Dun Sura               (anggaran 18 000 pengundi)

Dun Rantau Abang (anggaran 18 000 pengundi)

PARLIMEN TERENGGANU TENGAH – luar bandar

Dun Bukit Besi  (11 520)
Dun Ajil           (dipecahkan)
Dun Telemung  (dipecahkan)

Dun Telemung adalah terlalu besar kerana faktor geografinya, Dun tersebut perlu dipecahkan dua di mana separuh pengundinya perlu dipecahkan ke dalam Dun Kuala Berang.Katakanlah Dun tersebut mempunyai 14 000 orang pengundi,lima ribu daripadanya perlu dimasukkan ke dalam Dun Kuala Berang maka Dun tersebut akan hanya tinggal sembilan ribu pengundi,oleh itu kekurangan tersebut ditampung dengan memasukkan satu atau dua daerah mengundi dari Dun Ajil ke dalam Dun Telemung.

Oleh itu,berkemungkinan Dun Telemung mempunyai 10 000 pengundi manakala Ajil mempunyai 14 000 pengundi secara anggaran.Maka sesuailah jika Parlimen tersebut diiktiraf sebagai Parlimen luar bandar sesuai dengan geografinya yang sebenar yang meliputi hampir keseluruhan kawasan Wilayah KETENGAH dan hutan negeri Terengganu.

Untuk Parlimen Hulu Terengganu pula,tiga buah Dun dimasukkan ke dalam Parlimen tersebut termasuklah Dun Kuala Berang yang menerima pertambahan pengundi daripada Dun Ajil,Dun Manir dan dimasukkan satu lagi dun iaitu Dun Alur Limbat di Marang.Berikut adalah anggaran jumlah pengundi jika persempadanan dibuat:

PARLIMEN HULU TERENGGANU anggaran 51 000 pengundi (separa bandar)
Dun Kuala Berang  (anggaran 19 000)
Dun Manir              (anggaran 12 000)
Dun Alur Limbat     (anggaran 20 000)

PARLIMEN MARANG anggaran 58 000 pengundi (separa bandar)
Dun Bukit Payong           (anggaran 18 000)
Dun Rhu Rendang           (anggaran 20 000)
Dun Pengkalan Berangan (anggaran 20 000)

Di kawasan Kuala Terengganu pula,kepadatan pengundi sehingga mencecah 80 000 orang pemilih perlu dipecahkan.Oleh itu,sebuah Kuala Terengganu berhak mendapat dua buah Parlimen baru iaitu Parlimen Kuala Terengganu Selatan yang mengandungi kawasan Batu Buruk dan Ladang manakala Parlimen Kuala Terengganu Utara pula mengandungi Dun Wakaf Mempelam,Bandar dan dimasukkan Dun Bukit Tunggal dalam Parlimen Kuala Nerus sama seperti di Ipoh dan Petaling Jaya.Oleh itu, berikut adalah pecahan pengundi di dua buah Parlimen tersebut:

PARLIMEN KT SELATAN  anggaran 44 000 pengundi (separa bandar)
Dun Batu Buruk  (anggaran 26 000 pengundi)
Dun Ladang        (anggaran 18 000 pengundi)

PARLIMEN KT UTARA  anggaran 56 000 pengundi (separa bandar)
Dun Wakaf Mempelam (anggaran 22 000 pengundi)
Dun Bandar                  (anggaran 20 000 pengundi)
Dun Bukit Tunggal        (anggaran 14 000 pengundi)

PARLIMEN KUALA NERUS anggaran 53 000 pengundi (separa bandar)
Dun Seberang Takir  (anggaran 14 000 pengundi)
Dun Tepuh                (anggaran 21 000 pengundi)
Dun Teluk Pasu         (anggaran 18 000 pengundi)

Di kawasan Utara Terengganu pula,Setiu dan Besut mempunyai lapan Dun.Oleh itu,tiga Parlimen mungkin boleh diwujudkan di mana terdapat dua Parlimen yang mempunyai tiga Dun manakala satu Parlimen baru mengandungi dua buah Dun.Parlimen baru yang mungkin boleh dibentuk di kawasan tersebut adalah Parlimen Hulu Besut yang mengandungi Dun Pasir Akar (Dun Hulu Besut) dan Dun Jabi daripada Parlimen Setiu.Oleh itu,sekiranya Parlimen Hulu Besut tersebut diwujudkan,ianya sesuai dengan dapat merancakkan lagi pembagunan Kawasan Pertanian KETARA yang merangkumi Besut dan Setiu.Parlimen Besut dan Setiu pula akan kekal dengan tiga buah Dun.

PARLIMEN BESUT anggaran 47 000 pengundi (separa bandar)
Dun Jertih           (anggaran 14 000 pengundi)
Dun Kota Putera (anggaran 17 000 pengundi)
Dun Kuala Besut (anggaran 16 000 pengundi)

lebih kurang 3000 undi perlu dilarikan daripada Dun Jertih ke Parlimen Hulu Besut bagi meramaikan bilangan pengundi di Parlimen tersebut:

PARLIMEN HULU BESUT  anggaran 34 000 pengundi (luar bandar)
Dun Pasir Akar  (anggaran 18 000 pengundi)
Dun Jabi            (anggaran 16 000 pengundi)

PARLIMEN SETIU anggaran 46 000 pengundi (separa bandar)
Dun Permaisuri  (anggaran 18 000 pengundi)
Dun Langkap     (anggaran 15 000 pengundi)
Dun Batu Rakit  (anggaran 13 000 pengundi)

Jika parlimen-parlimen baru diwujudkan seperti contoh di atas,Terengganu bakal mempunyai keseluruhan 12 buah Parlimen dengan tambahan empat buah Parlimen baru iaitu Kerteh,Terengganu Tengah,Kuala Terengganu Selatan dan Hulu Besut di mana terdapat lima buah Parlimen mempunyai dua buah Dun manakala tujuh buah lagi Parlimen mempunyai tiga buah Parlimen.Apa yang menariknya,susunan jumlah pengundi di setiap kawasan dianggap sekata di antara 30 000 hingga 60 000 orang pengundi.Dengan pertambahan Parlimen seperti ini,usaha pembangunan di Terengganu mungkin akan dipermudahkan selain meramaikan lagi suara rakyat Terengganu di Parlimen.

ADAKAH PERSEMPADANAN MENGUNTUNGKAN PAS ATAU UMNO?

Secara umumnya,pertambahan kerusi Parlimen di Terengganu bakal mencorakkan kembali kekuatan kedua-dua buah parti di Terengganu.Pas mungkin akan menguasai Parlimen Kuala Terengganu Utara dan Selatan selain Marang.Malah,Pas juga mempunyai peluang besar di Dungun sekiranya Dun Bukit Besi dikeluarkan selain mempunyai kekuatan seimbang di Parlimen Kerteh dan Kuala Nerus.Walaubagaimanapun,sekiranya SPR mewujudkan Parlimen Terengganu Tengah,Pas dijangka kalah teruk di mana hampir kesemua kubu kuat UMNO tertumpu di sana.Selain itu,kedudukan seimbang bakal menidakkan Hulu Terengganu daripada pegangan UMNO,namun kerusi Besut,Setiu dan Hulu Besut adalah sesuatu yang sukar untuk dikuasai Pas.

Seperti yang diketahui,apabila SPR membuat satu-satu persempadanan,kawasan tersebut mestilah memberikan keuntungan kepada UMNO.Oleh itu,mahu tidak mahu,SPR terpaksa memecahkan kubu-kubu mereka untuk membina Parlimen baru termasuklah di Terengganu Tengah,Kemaman dan Terengganu Utara di samping cuba mengelakkan pertambahan kerusi di kawasan pesisir pantai dan bandar yang dikuasai Pas. Walaubagaimanapun,pemecahan kubu UMNO daripada parlimen asal sebenarnya bakal menguntungkan Pas kerana Pas dilihat tewas tipis kebanyakannya disebabkan oleh peti undi pedalaman.

Apapun,Pas perlu bersedia seadanya untuk menghadapi proses persempadanan semula walaupun keputusan mutlak persempadanan dibuat di Parlimen.Kekuatan Pas dan UMNO bukan isunya dalam persempadanan ini,akan tetapi lebih daripada itu adalah menmberikan hak dan suara yang lebih ramai untuk rakyat Terengganu di Parlimen.

Pertambahan parlimen memudahkan proses
pilihanraya di negeri yang terpanjang di
semenanjung Malaysia ini

nota:
Parlimen-parlimen yang ditulis di atas hanyalah cadangan penulis semata-mata,dibuat atas sumber rujukan yang terhad.

 
Tinggalkan komen

Posted by di 29 November 2010 in POLITIK

 

Tinggalkan komen