RSS

PAS PERNAH MENANG SEBANYAK EMPAT KALI DI DUN KUALA BESUT

01 Jul
Walau pun sejak tiga PRU lalu (bermula 2004), Dun Kuala Besut menjadi milik BN, ia sebenarnya tidak senantiasa begitu sepanjang sejarah kewujudannya. Malah, sebagai pemerhatian pertama saya, bahawa pemenang pertama kerusi Dun Kuala Besut (menerusi PRU 1959) ialah PAS, bukannya BN (atau Perikatan ketika itu).

Bahkan, dalam PRU berkenaan, saingan terdekat PAS bukannya Perikatan, tetapi Front Sosial (SF). Calon PAS, Haji Wan Said Mohd Nor menewaskan calon “Parti Ppalo Kubar” (sepertimana disebut oleh warga tempatan Kuala Besut, secara literal bermaksud “Parti Kepala Kerbau”, merujuk kepada lambang SF), Wan Ali Wan Jusoh dengan majoriti 245 undi.

Wan Said memperolehi 1,303 undi berbanding Wan Ali dengan 1,058 undi. Manakala Abu Bakar Ahmad mewakili Perikatan hanya di tempat ketiga dengan 942 undi.

Kedua, kehadiran Wan Ali selaku tonggak utama SF Ranting Besut menjadikan Kuala Besut sebagai antara pangkalan utama parti itu di Terengganu. Beliau sendiri bertanding sebanyak tiga kali di situ, iaitu pada 1959 dan 1964 (atas tiket SF), diikuti PRU 1974 (atas tiket Partai Sosialis Rakyat Malaysia – PSRM). Tidak syak lagi mana-mana kawasan yang menjadi tumpuan parti tersebut banyak dicorakkan dengan isu-isu ekonomi dan kemasyarakatan. Kuala Besut tidak terkecuali.

Ketiga, sejarah juga mencatatkan bahawa PAS pernah mewakili Dun Kuala Besut sebanyak empat kali. Selain menerusi PRU 1959, parti itu memenanginya semula pada PRU 1969 menerusi Mohamad Said. Beliau menewaskan calon Perikatan, Zakaria Muda dengan majoriti 257 undi, sekali gus menjadi wakil tunggal pembangkang dari Besut.

Pada PRU 1974, PAS bertanding atas tiket BN. Kuala Besut adalah satu-satunya kerusi di Besut yang difaraidkan kepada PAS. Calonnya, Ustaz Husin Jusoh menang agak besar ke atas pencabarnya daripada PSRM, Wan Ali Wan Jusoh.

Kemenangan PAS kali keempat di situ ialah menerusi Ustaz Zawawi Salleh, iaitu pada PRU 1999. Beliau memperolehi 4,426 undi berbanding Dato’ Wan Zakaria Abd. Rahman, selaku penyandang, yang mendapat 3,939 undi.

Keempat, meski pun BN (Perikatan) lebih kerap menang berbanding PAS, kekuatan kedua-dua pihak kelihatan agak seimbang. Majoriti kemenangan terbesar BN ialah 2,631 yang dicatatkan pada 2008. Manakala pada kesempatan lain, angka itu jauh lebih rendah.

Bahkan, dalam beberapa pertarungan lain, kekalahan dialami PAS tidaklah seteruk mana. Contohnya, pada PRU 1964, ia kalah dengan hanya 330 undi. Begitu juga pada 1978 (875 undi), 1990 (263) dan 1995 (811).

Keupayaan PAS memberikan saingan sengit di situ meletakkan Dun Kuala Besut sebagai salah satu kerusi yang sentiasa menjadi sasaran PAS untuk dimenangi dalam perkiraan parti itu menakluki Terengganu ~ Dipetik dari tulisan kanda Mohd Nasir Awang di blognya http://padredeumares.blogspot.com/2013/06/analisa-prestasi-pas-di-dun-kuala-besut.html

 
Tinggalkan komen

Posted by di 1 Julai 2013 in Penerangan Pusat

 

Tinggalkan komen